Kesan Kopi pada Kesihatan Tubuh Manusia

Pencinta kopi di seluruh dunia yang minum kopi kegemaran mereka mungkin tidak terfikir mengenai manfaat atau risiko kesihatannya. Marilah pembaca sekalian membaca artikel kali ini yang berfokus pada kesan kopi pada kesihatan tubuh manusia.

Pada tahun 1991 kopi dimasukkan ke dalam senarai kemungkinan berkarsinogen oleh World Health Organization (WHO). Menjelang tahun 2016 ia dikecualikan, kerana penyelidikan mendapati bahawa minuman itu tidak dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser. Namun terdapat penurunan risiko beberapa jenis kanser di kalangan mereka yang minum kopi secara kerap setelah sejarah merokok diambil kira dengan tepat. Banyak penyelidikan juga menunjukkan bahawa apabila diambil secara sederhana, kopi boleh dianggap sebagai minuman yang sihat.(1-3)

Satu cawan kopi (sekitar 250 ml) yang dibancuh mengandungi kira-kira 95 mg kafein. Jumlah kopi yang sederhana adalah sekitar 3-5 cawan sehari, atau secara purata 400 mg kafein, menurut Garis Panduan Pemakanan untuk Orang Amerika. (3)
Kursus Kecergasan 2025

Tindak balas manusia terhadap kopi atau kafein adalah berbeza pada setiap individu. Dos kafein yang rendah atau sederhana (50–300 mg) boleh menyebabkan peningkatan fokus, tenaga dan keupayaan untuk menumpukan perhatian, manakala dos yang lebih tinggi mungkin mempunyai kesan negatif seperti kebimbangan, kegelisahan, insomnia dan peningkatan kadar denyutan jantung.(2)

Sebilangan besar kajian melaporkan bahawa pengambilan kopi berkafein tidak meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular dan kanser. Malah, pengambilan 3-5 cawan kopi setiap hari secara konsisten dikaitkan dengan pengurangan risiko beberapa penyakit kronik.(2)

Walau bagaimanapun, beberapa individu mungkin tidak dapat bertoleransi pada jumlah kafein yang lebih tinggi kerana gejala kegelisahan, kebimbangan dan insomnia. Khususnya, mereka yang mengalami kesukaran mengawal tekanan darah mereka mungkin mahu menyederhanakan pengambilan kopi mereka. Wanita hamil juga dinasihatkan untuk mengambil kurang daripada 200 mg kafein setiap hari, jumlah dalam 2 cawan kopi, kerana kafein melalui plasenta ke dalam janin dan telah dikaitkan dengan kehilangan kehamilan dan berat lahir rendah. (1, 2)

Kafein, asid klorogenik dan diterpen adalah komponen penting dalam kopi. Toleransi terhadap kopi sering bertindak sebagai modulator tindakan biologi kopi. Kopi juga mempunyai kesan impak yang positif pada sistem kardiovaskular dan metabolisme karbohidrat dan lipid.(1, 2)

Bertentangan dengan kepercayaan sebelumnya, pelbagai bentuk penyakit kardiovaskular, aritmia atau fungsi jantung nampaknya tidak terjejas dengan pengambilan kopi. Kopi juga dikaitkan dengan pengurangan dalam kejadian kencing manis dan penyakit hati. Perlindungan nampaknya wujud juga untuk penyakit Parkinson. (1, 2)

Namun kopi atau kafein juga mempunyai beberapa efek negatif terhadap tubuh kita. Kafein daripada kopi secara sederhana meningkatkan perkumuhan kalsium dan mengurangkan penyerapannya dalam tubuh. Dua kajian telah menunjukkan bahawa pengambilan kafein (dua hingga tiga atau lebih cawan kopi setiap hari) akan mengakibatkan kehilangan tulang, tetapi hanya pada individu yang kurang susu atau jumlah pengambilan kalsium yang rendah.Penambahan susu ke dalam kopi boleh mengurangkan kesan buruk kafein. (4, 5)

Kesan kafein pada Gastroesophageal reflux disease (GERD) atau lebih dikenali sebagai sakit gastrik adalah tidak jelas. Walaupun banyak profesional kesihatan sering menyedari bahawa kafein boleh memburukkan gejala refluks, sedikit bukti saintifik menyokongnya. Malah, garis panduan mengurus GERD tidak mengesyorkan menghapuskan kafein daripada diet. Kajian oleh Kim et al juga melaporkan yang tidak terdapat perkaitan yang signifikan antara pengambilan kopi dan GERD. (6)

Jika anda jarang minum kopi atau mempunyai effek yang negatif terhadap kopi anda tidak perlu mula meminumnya jika anda belum melakukannya atau menambah jumlah yang anda minum sekarang, kerana terdapat banyak strategi pemakanan lain untuk meningkatkan kesihatan anda.

Kopi tanpa kafein adalah pilihan yang baik jika seseorang itu sensitif terhadap kafein dan ia menawarkan manfaat kesihatan yang sama seperti kopi berkafein. Ia juga penting untuk mengingati cara anda menikmati minuman anda. Kalori tambahan, gula dan lemak tepu dalam minuman kopi dengan krim putar dan sirap berperisa mungkin mengurangkan manfaat kesihatan yang terdapat dalam kopi hitam.

 

  1. Bae J-H, Park J-H, Im S-S, Song D-KJImr. Coffee and health. 2014;3(4):189-91.
  2. Nieber KJPm. The impact of coffee on health. 2017;83(16):1256-63.
  3. Rehm CD, Ratliff JC, Riedt CS, Drewnowski AJN. Coffee consumption among adults in the United States by demographic variables and purchase location: analyses of NHANES 2011–2016 data. 2020;12(8):2463.
  4. Barrett-Connor E, Chang JC, Edelstein SLJJ. Coffee-associated osteoporosis offset by daily milk consumption: the Rancho Bernardo Study. 1994;271(4):280-3.
  5. Harris SS, Dawson-Hughes BJTAjocn. Caffeine and bone loss in healthy postmenopausal women. 1994;60(4):573-8.
  6. Kim J, Oh S-W, Myung S-K, Kwon H, Lee C, Yun J, et al. Association between coffee intake and gastroesophageal reflux disease: a meta-analysis. 2014;27(4):311-7.
Dr. Vishnu Raj .S

Vishnu Raj

Saya adalah Dokter perubatan ( MD, Hasanuddin University), pemegang ijazah sarjana Masters in Public Health (MPH, University of Malaya) dan jurulatih peribadi bertauliah (CPT NASC) yang berminat dalam sukan bina badan dan pemakanan sihat. Objektif utama saya adalah memerangi ” Fad Diet ” dan ” Bro Science ” dengan mengongsi artikel yang disokong oleh fakta dan bukti saintifik.

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: