Kenapa Ada Individu yang Pengsan Selepas Deadlift?
Para pembaca pasti pernah terlihat video viral di media sosial dimana ada atlet bina badan atau strongman yang mengangkat deadlift berat, kemudian tiba-tiba pengsan di atas lantai. Kejadian pengsan selepas deadlift adalah sangat jarang berlaku dan boleh dielakkan jika anda tahu bagaima ia terjadi.
Penyebab utama kejadian ini adalah suatu kondisi yang dikenali sebagai vasovagal syncope. Definisi “sinkop” ialah kehilangan kesedaran sementara atau pengsan, dan “vasovagal” bermaksud penurunan tekanan darah yang disebabkan oleh saraf vagus yang secara tiba-tiba menjadi sangat aktif. (1)
Vasovagal syncope sebenarnya boleh terjadi bukan sahaja ketika melakukan deadlift ,namun apa-apa latihan beban yang berat seperti squat juga boleh menyebabkan Vasovagal syncope. Apabila seseorang mengangat beban yang tinggi, sistem kardiovaskular dalam tubuh akan meningkatkan kadar denyutan jantung dan menyebabkan rintangan vaskular sistemik yang besar. (1)
Kemudian, baroreseptor dalam jantung dan arteri mengesan peningkatan tekanan ini dalam dinding vaskular dan jantung yang kemudian menyebabkan sistem parasimpatetik untuk mengurangkan kadar denyutan jantung yang tinggi dan nada vasomotor. Tekanan darah akan turun dan tekanan perfusi serebrum juga akan menurun di bawah garis dasar yang kemudiannya menyebabkan vasovagal syncope. (1)
Vasovagal syncope juga boleh dikenali dengan memerhatikan beberapa gejala awal. Sebelum pengsan, individu yang terjejas boleh mengalami tanda atau simptom awal seperti pening kepala, loya, telinga berdenging, kekeliruan, kelemahan dan gangguan penglihatan seperti lampu yang kelihatan terlalu terang, penglihatan kabur dan perasaan gementar. Tambahan, gejala mungkin menjadi lebih parah selama beberapa saat hingga beberapa minit sebelum kehilangan kesedaran atau pengsan.(2)

Anda mungkin tidak selalu dapat mengelakkan kejadian ini. Jika anda mempunyai perasaan seperti ingin pengsan, baring dan angkat kaki anda. Ini membolehkan graviti mengekalkan darah mengalir ke otak anda. Jika anda tidak boleh baring, duduk dan letakkan kepala anda di antara lutut anda sehingga anda berasa lebih baik.(2)
Jika anda ingin melakukan latihan beban yang berat dapatlah bantuan dari kawan atau sesiapa di gym untuk memantau dan menjadi spotter anda. Jika anda mula berasa pening, tidak stabil atau mula melihat bintik-bintik atau mempunyai penglihatan yang kabur, dengan kadar segara berlutut di lantai. Spotter atau jurulatih yang berpengalaman boleh mengenali gejala ini dan bolah mencegah kemalangan. (2)
Tahukah anda, vasovagal syncope bukanlah satu kondisi yang parah, kerana anda akan sedar dengan cepat setelah tekanan darah anda kembali normal. Namun, masalah utama ialah anda berada dalam persekitaran gim, dikelilingi oleh objek yang sangat keras, berat dan berpotensi tajam.(3)
Dalam kebanyakan kes vasovagal syncope, rawatan di hospital adalah tidak diperlukan. Walau bagaimanapun, jika anda kerap mengalami kejadian pengsan atau berasa pening semasa latihan, dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat profesional dokter dan pemeriksaan klinikal untuk mengetahui sama ada terdapat sebarang masalah kesihatan yang lain.
1. Fenton AM, Hammill SC, Rea RF, Low PA, Shen W-KJAoim. Vasovagal syncope. 2000;133(9):714-25.
2. Lewis TJBmj. A lecture on vasovagal syncope and the carotid sinus mechanism. 1932;1(3723):873.
3. Krediet CP, Van Dijk N, Linzer M, Van Lieshout JJ, Wieling WJC. Management of vasovagal syncope: controlling or aborting faints by leg crossing and muscle tensing. 2002;106(13):1684-9.

