Kontroversi Eksperimen “Makan Ayam Mentah”

Seorang influencer kecergasan yang dikenali sebagai John telah mencetuskan kontroversi viral dengan “Eksperimen Ayam Mentah” yang luar biasa. Sejak 19 Januari 2024, John telah memuat naik video di Instagram di mana dia memakan ayam mentah setiap hari. Tujuannya adalah untuk melihat berapa lama dia boleh bertahan sebelum mengalami “sakit perut”. (1)

 

John berkongsi videonya memakan ayam mentah yang dipadankan dengan pelbagai lauk dan perisa. Dia percaya bahawa pengambilan daging mentah tidaklah “semenakutkan” seperti yang dipercayai oleh kebanyakan orang. Eksperimen ini menarik perhatian ramai pengikut di media sosial, yang menyatakan kebimbangan tentang keselamatan dan kesihatan John. Eksperimen ini bukanlah percubaan pertamanya. Bukan itu sahaja, malahan sebelum ini John juga pernah mendokumentasikan satu lagi cabaran pelik bertajuk “Makan daging mentah di Whole Foods setiap hari sehingga saya mati akibat bakteria” yang diteruskannya selama 200 hari sebelum akhirnya berhenti. (1)

 

Pakar kesihatan dan pakar keselamatan makanan telah memberikan amaran keras terhadap eksperimen ini. Mereka menjelaskan bahawa pengambilan ayam mentah boleh mendedahkan seseorang kepada bakteria berbahaya seperti Salmonella dan Campylobacter, yang berisiko tinggi menyebabkan penyakit bawaan makanan. Kedua-dua bakteria ini boleh menyebabkan cirit-birit, demam, dan kekejangan perut yang teruk. Dalam kes yang lebih serius, jangkitan ini boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang mengancam nyawa. (2)

Kursus Kecergasan 2024

Pengambilan ayam mentah adalah amalan berbahaya yang boleh menyebabkan jangkitan bakteria. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), daging mentah harus dimasak pada suhu dalaman sekurang-kurangnya 74°C (165°F) untuk membunuh bakteria berbahaya. Amalan ini bukan sahaja membahayakan kesihatan John, malah boleh mempengaruhi pengikutnya di media sosial, terutamanya golongan muda yang mungkin cuba meniru tingkah laku tersebut tanpa memahami risikonya. (2)

 

Rata-rata netizen memberikan reaksi negatif terhadap eksperimen ini. Ramai yang menganggap perbuatan John sebagai “tidak bertanggungjawab” dan “berbahaya”. Beberapa komen di Instagram menegur tindakannya yang tidak menghiraukan kesihatan dan keselamatan dirinya serta kesan buruk yang mungkin ditanggung oleh pengikutnya. (1)

 

Eksperimen “Makan Ayam Mentah” oleh John mencetuskan kontroversi besar dalam kalangan pakar kesihatan, netizen, dan media. Walaupun John mendakwa tidak mengalami kesan kesihatan negatif, pakar memberi amaran bahawa amalan ini boleh menyebabkan penyakit serius seperti keracunan makanan yang berpunca daripada Salmonella dan Campylobacter. Langkah-langkah keselamatan makanan, seperti memasak daging pada suhu yang disyorkan, adalah penting untuk mengelakkan penyakit yang berpotensi membawa maut.

 

1. Lal J. Influencer Eats Raw Chicken Every Day For Viral Food Experiment [Internet]. Navtarang; 2024. Available from: https://navtarang.com.fj/influencer-eats-raw-chicken-every-day-for-viral-food-experiment/
2. Anonymous. Influencer’s daily raw chicken diet sparks viral controversy [Internet]. InShorts; 2024. Available from: https://inshorts.com/en/news/influencers-daily-raw-chicken-diet-sparks-viral-controversy-1707063669990

Dr. Vishnu Raj .S

Vishnu Raj

Saya adalah Dokter perubatan ( MD, Hasanuddin University), pemegang ijazah sarjana Masters in Public Health (MPH, University of Malaya) dan jurulatih peribadi bertauliah (CPT NASC) yang berminat dalam sukan bina badan dan pemakanan sihat. Objektif utama saya adalah memerangi ” Fad Diet ” dan ” Bro Science ” dengan mengongsi artikel yang disokong oleh fakta dan bukti saintifik.

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: