Portugal Mencipta Sejarah Piala Dunia Ragbi di Perancis!
Dalam dunia ragbi, Portugal bukanlah negara yang ditunggu-tunggu untuk ditonton perlawanannya.
Kalau tidak New Zealand, Afrika Selatan. Kalau tidak Afrika Selatan, England. Kalau tidak England, Ireland. Kalau tidak Ireland, Fiji.
Balik-balik, negara-negara ini sahaja yang disebut-sebut dalam medan ragbi di peringkat dunia.
Portugal? Hakikatnya, dalam bola sepak jauh lebih terkenal berbanding dalam ragbi.
Namun, siapa sangka? Negara yang telah melahirkan atlet-atlet kelas dunia dalam bola sepak ini telah membuat kejutan dalam Piala Dunia Ragbi 2023 di Perancis tempoh hari.
Menurut sejarah, pasukan ragbi Portugal berjaya mara ke Piala Dunia pertama kalinya pada tahun 2007.
Ketika itu, Portugal merupakan satu-satunya negara yang pertama kali ke Piala Dunia.
Ini kerana negara-negara lain yang sudah masuk ke Piala Duni bukanlah yang pertama kalinya. Mereka (negara-negara selain Portugal) rata-rata masuk ke Piala Dunia seawal tahun 2003.
Portugal berjaya mara ke Piala dunia dengan mengalahkan Uruguay di peringkat kelayakan.
Yang lebih memberangsangkan lagi, Portugal merupakan satu-satunya pasukan amatur yang berjaya masuk ke Piala Dunia ketika itu.
Dalam Piala Dunia Ragbi 2007, Portugal kalah teruk dalam setiap perlawanan. Dan, itulah kali pertama dan terakhir Portugal masuk ke Piala Dunia. Selepas itu, Portugal tidak melepasi pusingan kelayakan.
Pada tahun ini, Portugal telah membuat kejutan kepada semua peminat sukan ragbi di dunia. Mereka bukan sahaja berjaya masuk ke Piala Dunia Ragbi 2023 di Perancis.
Malah:
Mereka berjaya mengalahkan Fiji!
Fiji bukanlah pasukan yang calang-calang dalam dunia ragbi. Dalam Ragbi 7 sebelah, mereka merupakan antara pasukan terkuat di dunia. Mereka juga sering masuk ke final.
Namun apakan daya, Portugal telah mengejutkan kita semua dengan mengalahkan pasukan gergasi ini dengan 24 mata berbalas 23.
Perlawanan ini merupakan perlawanan yang sangat dramatik kerana Portugal berjaya menang di saat-saat akhir.

Di saat-saat akhir, Fiji mendahului Portugal dengan 23 mata berbalas 17.
Tetapi, di saat-saat akhir, Rodrigo Marta berjaya menghadiah satu trai buat pasukan Portugal.
Trai ini sahaja tidak cukup untuk memenangkan Portugal. Ini kerana trai hanya memberi 5 mata. Ini bermakna, Portugal perlu berjaya dalam konvesyen untuk menang.
Terima kasihlah kepada Samuel Marques kerana telah menendang bola dengan baik memasuki ke tengah gawang gol. Dengan konvesyen itu, Portugal telah memenangi perlawanan tersebut.
Fakta menarik: Kemenangan Portugal ke atas Fiji adalah kemenangan pertama Portugal dalam Piala Dunia Ragbi.
Kami ingin menunjukkan, ragbi di Portugal itu wujud! – Mike Tadjer (Hooker pasukan Portugal)
Selain daripada perlawanan menentang Fiji, Portugal juga telah seri menentang Georgia.
Ini sahaja sudah membuktikan ragbi di Portugal telah mengalami kemajuan yang pesat. Selepas ini juga, akan makin ramai anak-anak muda di Portugal akan meminati dan menyertai sukan ini.
Itulah pengaruh sebuah kemenangan. Apatah lagi ia berlaku di peringkat antarabangsa.
Sekiranya kita ingin mempromosikan sesuatu sukan di tanah air, kita perlulah mempunyai reputasi yang hebat. Contohi Portugal, berikan kejutan!
Untuk berjaya, manfaatkan ilmu pengetahuan, labur dalam penyelidikan
Ketua Prestasi Atletik bagi pasukan Portugal, Mika Dallery menyatakan bahawa mereka telah memanfaatkan sepenuhnya teknologi Catapult bagi memantau prestasi kekuatan dan kecergasan para atlet.
Beliau juga dapat mengakses prestasi atlet-atlet lain di dunia melalui teknologi ini. Ini adalah supaya beliau dapat menetapkan satu standard yang patut atlet-atlet pasukan Portugal kejar untuk menjadi setanding dengan atlet-atlet lain seperti New Zealand dan sebagainya.
Usaha ini menunjukkan bahawa kita perlu memanfaatkan segala ilmu untuk memajukan prestasi kita. Contohnya, kita perlu melabur kepada penyelidik-penyelidik sukan untuk memantau prestasi pasukan secara analitikal.
Ini bukan sahaja dilakukan oleh Portugal, tetapi juga oleh New Zealand, Afrikal Selatan dan sebagainya.
Kesimpulannya, kita mahu melihat lebih banyak pasukan ragbi yang mara ke Piala Dunia. Tidak mustahil satu hari nanti pasukan Malaysia akan menyertai Piala Dunia Ragbi.
Insya-Allah!
Rujukan
- Portugal: Rugby World Cup 2023 Review
- Portugal scores & results: Rugby World Cup
- ‘We showed Portugal rugby exists’: win over Fiji caps World Cup breakthrough
- Rugby World Cup 2023: How Portugal Rugby Leverages Catapult Technology



