Sazali Samad vs MBBF

Terlebih dahulu, sebelum saya menulis saya ingin mohon maaf jika ada yang terasa dengan penulisan saya ini. Saya cuba menjawab secara rasional isu ini. Maklumat dibekalkan oleh 13 orang yang terlibat tapi sebahagian minta dirahsiakan nama.

Apa pandangan saya tentang kes penggantungan tambahan Sazali Samad?

Daripada segala segi kalau ikutkan, Sazali Samad tetap bersalah sebab melanggar peraturan yang ditetapkan. Sazali Samad disahkan positif ujian penggunaan bahan larangan jenis Anabolic Steroid (S1) hasil ujian doping yang dijalankan pada 1 September 2015. Beliau dijatuhi hukuman penggantungan selama empat tahun bermula 22 September 2015 sehingga 22 September 2019. Kemudian beliau menyertai pertandingan di Shanghai, China Sport Show Fearless Bodybuilding Physique & Bikini pada 25 hingga 28 Mei yang lepas.

“Merujuk Perkara 10.12.1 Kod Anti-Doping Dunia menyatakan bahawa atlet yang menjalani tempoh penggantungan tidak dibenarkan menyertai apa-apa pertandingan, kejohanan dan aktiviti yang dianjurkan oleh Kod Penandatangan (Code Signatory) atau apa-apa badan yang berkaitan dengan kod berkenaan.”

Anda boleh baca Kod Anti-Doping Dunia secara penuh dalam pautan di bawah.

Rujukan
https://www.wada-ama.org/sites/default/files/resources/files/wada-2015-world-anti-doping-code.pdf

Sazali Samad terpaksa membayar harga tinggi menyertai pertandingan di luar dengan tambahan penggantungan 4 tahun sehingga 22 September 2023.

Sebagai seorang ikon dalam dunia bina badan di Malaysia, kenapa tidak tunjukkan imej yang baik dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan. Penggantungan cuma setahun saja lagi. Alasan mencari rezeki tidak releven.

Adakah keuntungannya begitu besar dengan sertai pertandingan di luar? Berapakah modal ke luar negara? Yuran penyertaan? Kos di sana? Kos menyiapkan badan untuk pertandingan dan sebagainya? Adakah rm 18,000 cukup untuk pulang modal? Ini hanya persoalan saja. Saya difahamkan Sazali Samad mendapat tajaan ke sana. Bagaimana pula dengan kos setiap bulan?

Rujukan
https://www.hmetro.com.my/arena/2018/06/347071/saya-pun-nak-hidup-metrotv

Dalam kenyataan akhbar, Sazali Samad mengatakan bahawa dia pergi atas sebab di jemput. Manakala menurut sumber dalaman, beliau minta tolong Takashi Ishihara, bekas Vice President WBPF untuk daftarkan beliau dan kemudian minta surat jemputan. Jadi kenyataan akhbar sepatutnya di jemput atau minta di jemput?

Kenapa dalam kes Dato Lee Chong Wei, penggantungan boleh dikurangkan, manakala kes Sazali Samad tidak?

Saya dah menjawab persoalan ini dalam entri sebelum ini.

Sazali Samad vs Lee Chong Wei

Sazali Samad mengaku bersalah dan tidak mahu sampel B diuji.

Apa pilihan yang Sazali Samad ada dalam kes penggantungan?

Sazali Samad boleh mengemukakan rayuan. Menurut maklumat daripada Persekutuan Bina Badan Malaysia, Sazali pernah mengemukakan rayuan sebelum ini, akan tetapi dalam masa sama buat kenyataan mengatakan Persekutuan Bina Badan Malaysia tidak mahu membantu dia. Jika anda pada pihak yang dirayu dan dihentam dalam masa yang sama, adakah anda akan membantu?

Adakah Persekutuan Bina Badan Malaysia atau disebut MBBF sahaja selepas ini tidak beri nasihat supaya tidak menyertai? Adakah Sazali Samad tidak tahu risiko yang bakal dihadapi?

Mengikut sumber yang sah, terdapat mesyuarat sebelum Sazali ke Shanghai. Beliau telah dinasihatkan untuk tidak mengikuti pertandingan tersebut.

“Kalau ikutkan memang mereka mengatakan saya tidak boleh pergi kerana ia tertera dalam peraturan. Tapi saya tahu apa sebab saya boleh pergi, salah laku daripada pihak mereka pun ada. Jadi, mereka kena ada budi bicara dengan saya.

“Saya tak tahu kena tindakan atau penambahan lagi, tapi itu terpulang kerana mereka yang membuat keputusan. Selepas Raya Aidilfitri akan lebih banyak kejohanan besar yang akan disertai,” ujarnya.

Rujukan
http://www.utusan.com.my/sukan/sazali-kecewa-layanan-mbbf-1.687008

Adakah hanya Sazali Samad sahaja yang bersalah dalam hal ini?

Satu persoalan yang menarik. Apabila lihat kembali gambar di Shanghai. Ada gambar beberapa orang yang menarik perhatian. Pertama, Shukri Ramli yang merupakan exco MBBF. Kenapa exco MBBF turun ke Shanghai? Kenapa exco MBBF tidak melarang Sazali daripada bertanding. Kedua, Halim Budin daripada Persatuan Bina Badan Putrajaya. Persatuan Bina Badan Putrajaya bernaung di bawah MBBF. Kenapa dia tidak melarang Sazali Samad daripada bertanding? Adakah mereka tidak berdepan dengan tindakan daripada MBBF? Adakah Persatuan Bina Badan Putrajaya bakal digugurkan daripada bernaung di bawah MBBF?

Bagaimana pula dengan isteri Sazali Samad, Hashrine Hashim yang bertindak sebagai pengurus beliau. Saya difahamkan setiap keputusan berkaitan Sazali dibuat beliau termasuk kes tak nak buka sample B. Keputusan bertanding di China keputusan siapa?

“Semasa hadir ke Sidang Jawatankuasa Disiplin (Tatatertib & Anti-Doping) semalam, Sazali juga memaklumkan bahawa beliau tidak bercadang untuk bernaung di bawah mana-mana persatuan bina badan negeri atau kebangsaan lagi dan akan membawa hala tuju sendiri,” katanya.

Sazali Samad menyatakan beliau tidak bercadang untuk bernaung di bawah mana-mana badan. Memang itu sahaja yang boleh dibuat disebabkan kebanyakan badan termasuk WBPF dan IFBB terikat dengan WADA. Cuma persoalannya, adakah mereka yang mengikutnya ke China juga sudah tidak bernaung?

Jika anda lihat keratan akhbar di atas, dalam kenyataan, Halim Budin mengaku menjadi jurulatih kepada Sazali Samad daripada 2011 sehingga selepas kes penggantungan. Menurut rekod MBBF sehingga awal 2016 Halim Budin memegang jawatan jurulatih kebangsaan sebelum dibuang. Atlet kantoi ujian doping di dalam tarikh beliau memegang jawatan sebagai jurulatih. Adakah atlet menggunakan steroid mengikut arahan dan saranan jurulatih? Kenapa kes ini tidak disebut?

Adakah MBBF menyekat punca rezeki atlet?

Penggantungan adalah mengikut Kod Anti-Doping Dunia. MBBF mengikut Kod tersebut. Cuma ada beberapa kelonggaran boleh dilihat di bawah MBBF supaya atlet boleh mencari rezeki.

“Mengikut Kod Anti-Doping mana-mana atlet yang menjalani tempoh penggantungan tidak boleh bertanding, atau menjadi jurulatih serta membabitkan diri dalam sebarang aktiviti sukan sehingga tempoh penggantungannya tamat.

Sazali Samad mempersoal, kenapa Othman Yahya boleh jadi juri, jadi jurulatih dan sebagainya.

“Mereka kata saya salah kerana bertanding di China dan ikut Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) memang tak boleh sertai sebarang aktiviti tapi mengapa ada atlet yang tengah digantung dipilih menjadi pengadil. Orang lain yang kena macam saya, kenapa mereka tak mengikut WADA?

“Ada daripada pasukan saya dulu, dalam pasukan polis pun ada tetapi tidak dikenakan tindakan, malah boleh menjadi jurulatih kebangsaan, jadi pengadil. Kenapa dia boleh dilantik sebagai jurulatih kebangsaan,” soal Sazali.

Rujukan
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2018/06/435253/sazali-dakwa%C2%A0mbbf-double-standard

Bagaimana pula menubuhkan Akademi? Mengajar di sana sini? Ianya juga boleh dipersoal sebagaimana Sazali Samad persoalkan Othman Yahya.

Saya difahamkan ada sedikit ketegangan di antara mereka berdua bermula daripada kes Othman Yahya dilantik jadi jurulatih. Rasanya ramai sedia maklum kes surat layang kepada MBBF memburukkan Othman Yahya sebelum ini yang mana bawa pergaduhan besar antara mereka berdua. Sehingga kini mereka kurang bertegur sapa memasuki 8 tahun. Bagi yang tak mengenali beliau, untuk pengetahuan, Othman Yahya merupakan jurulatih bina badan Malaysia selepas Halim Budin dibuang. Beliau juga merupakan bekas atlet bina badan.

Facebook
https://www.facebook.com/othman.intan.5

Nampak disini MBBF tutup sebelah mata supaya atlet boleh mencari rezeki, cuma tidak bertolak ansur apabila sertai pertandingan. Buat makluman, Othman Yahya tidak menyertai pertandingan ketika penggantungan. Cuma ada 1 lagi kes yang nama tidak perlu disebut, di mana atlet ini telah di gantung seumur hidup tapi menyertai pertandingan di luar. Adakah MBBF perlu panggil beliau untuk gantung seumur hidup lagi buat kehidupan seterusnya? Cuma beza antara kedua-dua atlet ini, Sazali memanggil media Astro Arena menyambut kepulangan beliau walaupun tahu bersalah, seolah-olah cabaran terbuka kepada MBBF.

Saya dimaklumkan, ini bukan kali pertama Sazali kantoi ujian doping. Beliau pernah kantoi pada tahun 1996. Benar ke? Siapa yang menolong beliau ketika itu?

Adakah terdapat unsur rasuah dan sebagainya seperti didakwa Sazali?

Kita boleh tuduh apa sahaja. Tapi di mana buktinya? Jika beliau ada bukti dianiaya, boleh terus kemukakan pada pihak berkuasa untuk siasatan, bukan hanya suruh menyiasat tapi tiada apa-apa bukti. Apa rasionalnya MBBF ingin menjatuhkan Sazali Samad sedangkan beliau merupakan permata negara, beliau naikkan nama Malaysia, beliau naikkan nama Persekutuan Bina Badan Malaysia? Adakah terdapat pihak bayar ratusan juta untuk jatuhkan beliau? Siapa yang bayar?

Benar ke Sazali Samad merangkul gelaran Mr Universe 10 kali?

Saya dihubungi oleh beberapa pihak termasuk Datuk Paul Chua yang merupakan Presiden Asia Bodybuilding Federation (ABBF) dan juga Setiausaha World Bodybuilding and Physique Federation (WBPF). Beliau memaklumkan dalam setahun hanya seorang sahaja yang pegang gelaran Mr Universe dan Mr Asia iaitu pemenang keseluruhan. Sazali Samad cuma menang kategori beliau. Jadi kalau ikutkan beliau tidak pernah memegang gelaran Mr Universe atau Mr Asia seperti diwarwarkan, menurut Datuk Paul Chua. Datuk Paul Chua meluahkan kekecewaan beliau apabila ada pihak menyalahkan guna gelaran Mr Universe dan Mr Asia. Lihat screenshot email di bawah. Bagi tujuan pengesahan, anda boleh hubungi beliau atau Lt Komander Bersara Kamaruzaman Kadir, Setiausaha Kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia.


Rujukan
http://www.utusan.com.my/sukan/sazali-cipta-rekod-dunia-juara-mr-universe-kali-ke-10-1.35031

Facebook
https://www.facebook.com/paul.chua.1420


Facebook
https://www.facebook.com/kamaruzaman.kadir.7

Rujukan Lain
http://www.stadiumastro.com/sukan/sukan-lain/artikel/sazali-beralih-arah-demi-nafkah-keluarga/95725
http://www.stadiumastro.com/sukan/sukan-lain/artikel/penggantungan-ditambah-empat-tahun-sazali-tidak-peduli/95869
http://www.utusan.com.my/sukan/pergantungan-sazali-ditambah-1.687652
https://www.hmetro.com.my/arena/2018/06/345479/habis-la-sazali

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 23 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Zaki Khan merupakan bekas atlet Strongman Malaysia. 2 kali bertanding di peringkat dunia, 2 kali peringkat Asia. Pernah dapat tempat ke 3 Arnold Classic.

Facebook Twitter YouTube 

2 thoughts on “Sazali Samad vs MBBF

  1. Apa barang Presiden Asia Bodybuilding Federation (ABBF) dan juga Setiausaha World Bodybuilding and Physique Federation (WBPF) guna email Yahoo? Nampak sangat menipu. Blog cap ayam.

Leave a Reply to Dakikan Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: