Makanan Anabolik Jun25

Kongsi

Makanan Anabolik

Makanan terbaik untuk membina otot adalah yang mengandungi keseimbangan dari segi kuantiti karbohidrat, protein dan lemak yang diperlukan badan. Pemilihan makanan agak mudah, cuma beberapa perkara yang perlu anda ingat. Pertama protein adalah bahan mentah untuk membina tisu otot. Kedua karbohidrat sebagai sumber tenaga dan dalam masa sama disimpan sebagai glikogen di dalam badan anda yang boleh ditarik keluar apabila tenaga diperlukan. Dan ketiga, lemak menjaga fungsi penting badan kita. Disini saya senaraikan beberapa pilihan makanan yang baik untuk otot:

Kursus Kecergasan 2017

Produk Gandum Penuh, Beras Perang, Oat

Produk gandum penuh, oat dan sebagainya adalah karbohidrat kompleks yang cerna sangat perlahan. Ia tidak akan meningkatkan rembesan insulin. Apa itu rembesen insulin? Cuba bayangkan insulin seperti polis yang mengawal lalu lintas dan salur darah sebagai jalan raya. Bila terlalu banyak glukosa (kereta) di dalam darah, polis akan keluar dan mengalirkan trafik ke tempat lain. Tempat pertama di alirkan adalah peti simpanan glikogen. Manusia normal dapat menyimpan sekitar 300-400 g glikogen, atlet daya tahan mungkin mencecah 500 g. Bila kawasan simpanan dah penuh, kereta-kereta ini akan dialirkan ke lemak. Lemak berbeza dengan otot (kawasan simpanan glikogen). Lemak menerima sahaja, tidak ada istilah penuh. Dalam sesuatu masa, salur darah manusia normal dapat menampung sekitar 5 g kepekatan glukosa. Makanan yang dihadam segera seperti gula ringkas akan terus masuk ke salur darah. Bila melebihi 5 g, insulin akan dirembeskan. Manakala makanan yang dihadam perlahan, akan tunggu giliran untuk masuk ke salur darah. Jumlah gula dalam makanan itu disukat dalam unit glisemik index.

Kentang

Kentang adalah antara sumber karbohirat termurah di pasaran di Malaysia. Satu guni kentang sekitar rm 8 sahaja. Kentang bersaiz sederhana ada sekitar 25-30 g karbohidrat. Rasanya kentang lebih mudah dimakan berbanding nasi yang mana 1 cawan nasi beras putih sekitar 29 g karbohirat.

Dada Ayam

Untuk mendapatkan turki agak mahal di Malaysia jadi pilihan terbaik yang tidak berapa mahal adalah dada ayam. Bahagian dada paling kurang lemak berbanding bahagian-bahagian lain. Saya tahu ramai yang suka makan kepak ayam berbanding dada ayam. Tetapi ingatlah anda ingin membina otot atau membina lemak? Dada ayam mengandungi sekitar 30 g protein bergantung kepada saiz.

Pisang

Pisang kaya dengan magnesium dan potassium serta serat larut yang menghalang perubahan radikal dalam darah. Jika ke gym, bawalah sekali pisang untuk dimakan serta merta selepas latihan.

Salmon

Salmon mungkin agak mahal. Sekitar rm 40 sekilo di sini tetapi salmon adalah sumber protein yang baik dengan kandungan asid lemak baik di dalamnya. Makanlah sekurang-kurang 1-3 kali seminggu jika mampu.

Bayam

Pernah tengok kartun Popeye? Kenapa popeye bila dalam kesusahan mencari bayam atau spinach? Kartun popeye hendak menunjukkan kebaikan bayam. Bayam adalah salah 1 makanan yang paling beralkali. Kebanyakan makanan harian kita berasid. Dalam perut pun berasid. Dimana alkalinya? Bayam mencegah kejatuhan otot dan tulang. Bayam juga bagus untuk mencegah kanser dan sakit jantung. Jadi contohilah popeye jika anda ingin memiliki tangan seperti popeye.

Kacang Campuran

Mengandungi lemak mono dan poli, protein, serat, vitamin E, zink, potassium, magnesium dan lain-lain. Kacang campuran adalah kalori yang padat. Contohnya seperti almond, walnut, cashew, hazelnut, dan sebagainya.

Beri

Antioksidan yang kuat dalam mencegah kanser, sakit jantung, penyakit mata dan sebagainya. Terdapat pelbagai jenis beri seperti carnberry, raspberry, dan sebagainya.

Daging Merah

Daging merah merupakan sumber protein yang baik. Daging merah mempunyai vitamin dan nutrien lain di dalamnya yang pentign untuk pertumbuhan otot. Daging merah juga kaya dengan kreatin yang membantu dalam pembentukan ATP. Lemak pada daging merah juga terbukti membantu meningkatkan testosteron anda.

Telur

Telur perlu jika anda cuba membina otot. Telur merupakan antara sumber protein yang baik. Telur amat mudah untuk diserap badan dan dipecahkan ke asid amino yang diperlukan dalam membina otot.

Air

Otot manusia dianggarkan 70-80% terdiri daripada air. Anda seharusnya minum sekurang-kurang 2-3 liter air sehari. Kenapa air penting? Pernahkah anda berlatih pada waktu puasa sebelum berbuka? Bila masuk sahaja masa berbuka, anda minum air dan kembali bertenaga dan boleh meneruskan latihan. Kenapa air dan bukan makanan? Fikirkan.

Jika anda merancang untuk membina otot, ia bukan berkenaan makan untuk besar tetapi makan benda betul untuk besar. Ada yang kata setiap hari makan banyak tetapi saiz tetap begitu. Adakah anda makan makanan yang betul dalam jumlah yang betul?

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Facebook Twitter YouTube