Permulaan Kepada Tahun Baru – Apa Azam Anda Kali Ini?

Masa berlalu tak menunggu kita, tak kira kita umur berapa, pangkat apa, dan sumbangan kita pada dunia. Apa-apa sahaja di atas muka bumi (dunia) tuhan ini akan ditelan masa. Jadi, apa yang kita boleh buat? Tak ada apa yang boleh kita lakukan untuk melawan hukum ini, kecuali hanya lakukan yang terbaik setiap hari supaya kita menjadi insan yang lebih bermanfaat.

Rasanya, semua manusia mempunyai perasaan dan keinginan yang sama, iaitu ingin melakukan lebih lagi dan memperoleh lagi banyak dalam apa-apa jua yang diinginkan. Itulah lumrah manusia, tak pernah cukup, tapi bukanlah perkara yang salah untuk menginginkan lebih dalam sesuatu perkara yang baik.

Kita kaitkanlah dengan dunia kecergasan. Sebagai contoh, kita nakkan perubahan pada berat badan kita. Mungkin ada yang nak jadi lebih kurus, lebih besar, lebih berotot, lebih rendah lemak, dan sebagainya. Ada pula yang nak angkat lebih berat, nak lari lebih laju, nak berenang lebih lama, nak lompat lebih tinggi, dan senarai ini berpanjangan (kalau kita nak tulis kesemuanya).

Soalnya sekarang, hampir setiap tahun kita menginginkan benda yang sama, tetapi adakah kita (kian tahun) semakin hampir dengan apa yang kita telah tekadkan? Ataupun, kita biarkan angan-angan terus menjadi mimpi? Bila lagi kita nak jadikan ia sebagai realiti?

Azam Saya Sendiri Untuk 2024

Apa, tak bolehkah saya nak berkongsi azam saya dahulu sebelum saya masuk kepada azam anda semua? Sebelum itu, jangan lupa untuk baca tentang 10 senaman yang disarankan oleh seorang fitness influencer di sini.

Saya nakkan beberapa benda:

  1. Mulakan semula hobi menulis dan berkongsi.
  2. Lebih aktif dalam sosial media.
  3. Ada perniagaan sendiri untuk diuruskan.
  4. Jadi lebih bijak dalam pengurusan (duit, masa, pekerja, dll.).
  5. Pasang lagi satu (niat berani, buatnya tidak).

Ini azam saya, bukan azam anda. Jangan tiru azam saya!

Saya dah pun beli satu tab baru untuk tujuan penulisan dan kecekapan dalam pekerjaan saya (untuk bab pengurusan ketika di luar kawasan berkerja). Semoga saya boleh istiqamah kembali.

Apakah Azam Anda Pula?

Tujuan saya menulis kali ini adalah untuk memberikan gambaran kepada anda tentang cara bagaimana anda boleh mula mengorak langkah ke arah matlamat anda. Saya menulis ini dengan pengkhususan kepada mereka yang ingin menurun berat.

Kita akan cuba selami bahagian ini satu persatu.

Azam Menurunkan Berat

Saya mencadangkan kepada mereka yang ingin menurunkan berat badan, belajar untuk terima kenyataan yang anda akan banyak menghabiskan tenaga ke arah menahan nafsu makan. Punca kepada kegagalan banyak usaha diet adalah kerana nafsu makan yang tidak dapat dibendung.

Mulakan langkah diet anda hari ini dengan beberapa langkah penting:

  1. Buat diari pemakanan untuk kenal pasti kadar kalori harian anda.
  2. Belajar tentang pilihan makanan alternatif.
  3. Mula untuk masak dalam porsi yang besar untuk dibekukan.

Diari Pemakanan

Diari pemakanan ini sebenarnya mudah, meskipun anda tak mahir tentang kalori. Apa yang kita mahukan daripada diari ini adalah jumlah makanan anda setiap hari. Tulis apa yang anda makan dan berapa banyak anda makan (dalam unit yang anda faham; seperti sesenduk, sesudu, secawan). Tuliskan semua dan apa-apa sahaja yang anda makan. Cuba untuk makan yang hampir sama setiap hari untuk sekurang-kurangnya 2 minggu. Catat berat anda di permulaan penulisan diari, dan catat semula berat anda selepas penulisan diari selama 2 minggu.

Jika berat anda statik, maksudnya pemakanan anda selama ini berada dalam calorie maintenance. Anda kena kurangkan porsi makanan anda daripada rutin harian tersebut. Jika menaik, maksudnya? Calorie surplus. Kena kurangkan lebih banyak lagi. Kalau menurun pula? Teruskan, anda berada di jalan yang betul sebab anda sedang makan secara calorie deficit.

Cara yang cukup mudah tapi sangat berkesan terutama pada mereka yang belum mahir tentang kalori pemakanan harian mereka. Anda boleh terus kawal porsi makanan melalui diari yang anda catit. Lakukan perubahan berdasarkan matlamat anda.

Makanan Alternatif

Kita hidup di zaman yang canggih. Makanan pun dah ada pelbagai variasi. Ada yang rendah lemak, rendah kalori, kosong gula, rendah gula, ada pengganti gula tanpa kalori, dan macam-macam lagi kemudahan lain. Sekarang tinggal diri anda sendiri samada nak menggunakan kelebihan-kelebihan untuk menyelesaikan masalah anda ataupun tidak.

Anda nak minum minuman berkarbonat? Cari yang jenis zero calorie, tak ada masalah pun. Saya sendiri masa berdiet pun minum Pepsi Black setiap hari untuk mengurangkan keninginan kepada minuman manis (bergula dan berkalori).

Nak makan roti sapu dengan jem? Ada sahaja versi yang rendah gula dan jauh lebih rendah kalori. Tetapi, jika anda tak minat dengan rasanya, boleh juga pakai jenis yang biasa, cuma tak perlu sapu tebal-tebal. Sama dengan pilihan keju dan lain-lain, ambil yang rendah lemak dan rendah kalori. Hampir semua makanan ada variasinya yang rendah kalori.

Tak lupa juga, kalau anda nak mencari supplement sebagai pencukup kepada keperluan diet anda, disarankan anda mencuba yang ini.

Makanan Dimasak Dan Dibeku

Kunci utama untuk berjaya dalam usaha diet adalah persiapan. Jika anda persiapkan dahulu makanan anda, jadual anda, keputusan anda akan menjadi lebih mudah. Dan, paling penting ialah keputusan anda buat akan lebih cenderung menghala ke arah pencapaian matlamat anda.

Dalam hal diet, adalah lebih baik anda mula belajar untuk memasak dan membekukan makanan anda. Boleh sahaja anda masak nasi, masak ayam, ikan, daging, dan lain-lain, masukkan dalam bekas dan letak di dalam peti beku. Apabila tiba masa makan, keluarkan dan panaskan kembali. Jadi, tak adalah alasan untuk beli makanan luar atau makan makanan ringan (untuk mengisi perut).

Tak ada peti beku besar? Tak ada alat pemanas seperti microwave untuk menghangatkan makanan anda? Tadi kata anda dah bertekad, jadi anda kenalah seiringkan usaha dengan matlamat anda. Pengorbanan mesti anda untuk mencapai sesuatu yang anda mahukan.

Anda Buat, Anda Berjaya

Jika anda benar-benar mahukan tahun ini menjadi tahun anda mencapai hasrat anda, maka mulakan langkah. Ikut sahaja tips permulaan yang saya kongsikan sebentar tadi dan anda akan dapati yang perjalanan diet anda akan berjalan dengan lebih konsisten (secara tanpa sedar).

Pegang pada kata ini; fast action, fast result, slow action, no result.

Aiman Radzi

Aiman Radzi

Penggemar sukan melibatkan kekuatan fizikal, Aiman Radzi kini kembali lagi untuk berkongsi perjalanan dan pendapatnya tentang latihan dengan pembaca semua!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: