María Lorena Ramírez: Atlet dari Pergunungan Mexico

Dalam era kecergasan moden yang sarat dengan teknologi sukan, daripada kasut larian canggih hinggalah kepada jam tangan pintar serta suplemen berprestasi tinggi. Tahukah anda tentang kisah seorang wanita daripada komuniti Orang Asli Rarámuri di Mexico menonjol sebagai simbol keaslian dan ketahanan sebenar. María Lorena Ramírez, seorang pelari ultra-maraton yang berasal dari pergunungan Sierra Tarahumara di negeri Chihuahua, telah memukau dunia dengan pencapaiannya yang luar biasa dalam sukan larian ketahanan, walaupun tanpa bantuan teknologi moden.

 

Pada tahun 2017, María Lorena mengejutkan dunia apabila beliau memenangi perlumbaan UltraTrail Cerro Rojo sejauh 50 kilometer di Puebla, Mexico. Apa yang menjadikan kemenangannya unik ialah cara beliau berlari – tanpa kasut sukan moden, tanpa pakaian larian berjenama, dan tanpa sebarang alat pengesan prestasi. Sebaliknya, beliau memakai pakaian tradisional Rarámuri dan huaraches, iaitu selipar buatan tangan yang diperbuat daripada getah tayar kitar semula dan tali kulit [1]. Dalam dunia sukan yang terlalu bergantung pada teknologi, kehadiran beliau merupakan simbol bahawa kekuatan sebenar datang daripada semangat dan ketahanan dalaman.

 

Masyarakat Rarámuri atau Tarahumara memang terkenal dengan kehebatan mereka dalam sukan larian jarak jauh. Dalam bahasa asli mereka, “Rarámuri” bermaksud “mereka yang berlari pantas”. Kajian saintifik telah menunjukkan bahawa golongan ini mempunyai kelebihan fisiologi semula jadi seperti kecekapan penggunaan oksigen (VO? max) yang tinggi, biomekanik yang efisien, serta adaptasi metabolik yang membantu mereka mengekalkan tenaga semasa aktiviti fizikal ekstrem [2,3]. María Lorena, seperti kebanyakan komuniti Rarámuri, tidak menjalani latihan formal atau mengikuti program kecergasan khas. Sebaliknya, rutin hariannya sebagai penggembala kambing – berjalan dan berlari berkilo-kilometer merentasi pergunungan – telah membentuk asas ketahanan fizikal dan mental yang mengagumkan [4].

 

Bukan itu sahaja, malahan kejayaan María Lorena turut dijadikan subjek dalam dokumentari Netflix berjudul Lorena, Light-Footed Woman, yang memberi gambaran lebih mendalam tentang kehidupannya sebagai seorang wanita dalam masyarakat tradisional dan sebagai atlet yang mengharungi kejayaan tanpa mengubah identiti budayanya [5]. Dokumentari ini membuka mata dunia kepada realiti bahawa kecemerlangan dalam sukan bukanlah milik eksklusif kepada mereka yang mampu membeli peralatan moden, tetapi juga boleh dicapai oleh mereka yang hidup sederhana, tetapi mempunyai semangat juang yang luar biasa.

Kursus Kecergasan 2025

 

Kisah María Lorena sering dibandingkan secara kreatif dengan filem Hollywood terkenal, Limitless (2011), di mana watak utama memperoleh keupayaan luar biasa selepas mengambil ubat khas. Namun, dalam kes María Lorena, tiada “pil ajaib” diperlukan. Apa yang beliau miliki adalah hasil gabungan kehidupan aktif, warisan budaya, dan disiplin harian. Jika watak dalam Limitless mewakili potensi otak manusia yang dimaksimumkan melalui sains fiksyen, María Lorena pula mewakili potensi tubuh manusia yang dimaksimumkan melalui kehidupan semula jadi dan hubungan erat dengan alam.

 

Kesimpulannya, kisah María Lorena Ramírez bukan sahaja memberikan inspirasi kepada pelari dan penggiat kecergasan di seluruh dunia, tetapi juga mencabar tanggapan moden bahawa kejayaan dalam sukan hanya boleh dicapai melalui teknologi dan peralatan mahal. Sebaliknya, kisahnya mengingatkan kita bahawa ketahanan sejati lahir daripada kesederhanaan, konsistensi, dan semangat juang yang tidak pernah padam.

 

Rujukan

1. BBC News. Mexican woman wins 50km race wearing sandals. [Internet]. 2017 May 10 [cited 2025 Apr 6]. Available from: https://www.bbc.com/news/world-latin-america-39870070
2. Lieberman DE. What we can learn about running from the Tarahumara. Nature. 2012;489(7415):541–543.
3. Bramble DM, Lieberman DE. Endurance running and the evolution of Homo. Nature. 2004;432(7015):345–352.
4. Balagué N, Hristovski R, Almarcha M, Garcia-Retortillo S, Tenenbaum G. On the contextual nature of athletic performance. Sports Med Open. 2019;5(1):45.
5. Netflix. Lorena, Light-Footed Woman. Directed by Juan Carlos Rulfo. Netflix; 2019.

Dr. Vishnu Raj .S

Vishnu Raj

Saya adalah Dokter perubatan ( MD, Hasanuddin University), pemegang ijazah sarjana Masters in Public Health (MPH, University of Malaya) dan jurulatih peribadi bertauliah (CPT NASC) yang berminat dalam sukan bina badan dan pemakanan sihat. Objektif utama saya adalah memerangi ” Fad Diet ” dan ” Bro Science ” dengan mengongsi artikel yang disokong oleh fakta dan bukti saintifik.

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: