Kembali Bertenaga Dan Aktif Selepas Bersalin

Selepas melahirkan anak, seorang wanita melalui pelbagai perubahan fizikal, emosi dan psikologi. Walaupun tempoh ini penuh dengan detik indah bersama si comel yang baru lahir, ia juga merupakan satu fasa yang mencabar. Malangnya, di kalangan masyarakat Asia, terdapat satu kecenderungan yang membimbangkan dimana ramai wanita menjadi kurang aktif secara fizikal selepas bersalin. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan ibu dalam jangka masa panjang, tetapi juga boleh menyumbang kepada masalah kesihatan mental dan fizikal yang lebih serius seperti kemurungan, obesiti, diabetes jenis 2 dan tekanan darah tinggi (1).
Kajian terkini menunjukkan bahawa wanita Asia, khususnya di negara-negara seperti Malaysia, China dan India, menunjukkan tahap aktiviti fizikal yang rendah dalam tempoh postpartum. Antara faktor utama adalah kepercayaan budaya yang menasihatkan ibu untuk “berehat sepenuhnya” selepas bersalin. Walaupun niatnya baik, tafsiran ini sering disalah erti sehingga menyebabkan ibu tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal, walaupun yang ringan seperti berjalan kaki atau senaman pernafasan (2). Di samping itu, tekanan sosial, kekangan masa, tanggungjawab menjaga anak, dan ketiadaan sokongan daripada pasangan atau keluarga turut menjadi penghalang (3).
Namun, penting untuk kita memahami bahawa aktiviti fizikal selepas bersalin sebenarnya memberikan banyak manfaat. Antaranya termasuk membantu mempercepatkan pemulihan tubuh, menguatkan otot dasar pelvis, mengurangkan risiko inkontinens urin, meningkatkan tenaga dan kualiti tidur, serta mengurangkan risiko kemurungan postpartum (4,5). Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan wanita untuk mula melakukan aktiviti fizikal ringan seawal beberapa hari selepas bersalin (bergantung kepada jenis kelahiran dan nasihat doktor) kerana ia terbukti selamat dan berkesan (6).
Mitos bahawa wanita perlu berhenti sepenuhnya daripada bergerak selama 40 hingga 100 hari adalah tidak lagi relevan dalam konteks perubatan moden. Hakikatnya, senaman ringan seperti regangan, berjalan kaki atau senaman lantai pelvis boleh dimulakan lebih awal jika tidak terdapat komplikasi kelahiran. Kajian mendapati bahawa wanita yang kembali aktif lebih awal selepas bersalin mengalami tahap kesihatan mental yang lebih stabil dan kurang mengalami kenaikan berat badan yang melampau (7).
Masih ramai ibu yang merasakan bahawa menjaga bayi adalah satu-satunya keutamaan dan meluangkan masa untuk diri sendiri, termasuk bersenam, adalah satu bentuk keegoan. Hakikatnya, seorang ibu yang sihat secara fizikal dan mental adalah lebih bertenaga, lebih tenang dan lebih mampu memberikan perhatian kepada bayi mereka. Dalam filem fiksyen sains terkenal Limitless, watak utama memperoleh kecerdasan luar biasa dengan mengambil pil misteri.
Walaupun itu hanya rekaan, senaman secara konsisten sebenarnya adalah “pil sebenar” yang mampu memberi tubuh dan minda wanita kelebihan yang sangat besar—tanpa kesan sampingan. Bayangkan jika ibu-ibu boleh mengaktifkan potensi mereka setiap hari melalui langkah mudah dan selamat seperti berjalan 10 minit sehari atau bermain bersama bayi secara aktif. Itulah bentuk sebenar ‘Limitless’ dalam dunia nyata.
Sebagai masyarakat, kita juga harus memainkan peranan untuk menyokong wanita selepas bersalin agar kembali aktif. Pasangan hidup, ahli keluarga dan komuniti perlu memberikan ruang, dorongan dan pujian kepada ibu-ibu yang memilih untuk menjaga kesihatan mereka sendiri. Program kesihatan ibu selepas bersalin yang inklusif dan mesra keluarga juga harus diperluaskan di klinik kesihatan, pusat komuniti dan platform digital.
Kesimpulannya, menjadi seorang ibu tidak seharusnya menjadi halangan untuk aktif secara fizikal. Sebaliknya, ia boleh menjadi titik permulaan untuk gaya hidup yang lebih sihat dan seimbang. Kepada semua wanita yang baru melahirkan: tubuh anda telah melakukan sesuatu yang luar biasa. Sekarang tiba masa untuk memberi kembali kepada diri sendiri dengan kasih sayang dan penjagaan melalui pergerakan yang sihat dan bertenaga.
Rujukan
- Evenson KR, Barakat R, Brown WJ, et al. Guidelines for physical activity during pregnancy: comparisons from around the world. Am J Lifestyle Med. 2014;8(2):102–121.
- Lim S, Liang X, Hill B, Teede H, Moran LJ, O’Reilly S. Physical activity among women in Asia during pregnancy and postpartum: a scoping review. BMC Pregnancy Childbirth. 2021;21(1):123.
- Chen Y, Zhou L, Liu Y, Tan Y. Cultural beliefs and practices in postpartum recovery: a qualitative study among Chinese women. BMC Pregnancy Childbirth. 2022;22(1):489.
- Mottola MF, Davenport MH, Ruchat SM, et al. 2019 Canadian guideline for physical activity throughout pregnancy. Br J Sports Med. 2018;52(21):1339–1346.
- Daley AJ, MacArthur C, Winter H. The role of exercise in treating postpartum depression: a review of the literature. J Midwifery Womens Health. 2007;52(1):56–62.
- American College of Obstetricians and Gynecologists. Physical activity and exercise during pregnancy and the postpartum period. ACOG Committee Opinion No. 804. 2020;135(4):e178–e188.
- Ko YL, Lin PC, Chen CH. Effects of postpartum exercise program on fatigue and depression during “doing-the-month” period. J Nurs Res. 2011;19(3):199–205.