Berat Naik Selepas Senaman
Saya kira, ramai yang terlalu obses dengan penimbang. Pagi timbang, petang timbang, sebelum dan selepas latihan timbang, tidur pun ada penimbang. Persoalan di sini, kenapa berat naik selepas senaman?
Ada pelbagai faktor yang menyebabkan berat naik. Boleh jadi perubahan retensi air, perubahan hormon, biasanya perempuan, corak pemakanan pada hari sebelum dan berapa banyak pengambilan liquid dalam sehari.

Apabila melakukan senaman dengan betul, serat otot akan koyak dan menyebabkan otot menyimpan lebih banyak air. Senaman kardiovaskular juga boleh menyebabkan otot menyimpan lebih banyak glikogen. Glikogen diikat dengan air. Senaman juga menyebabkan kondisi yang dipanggil otot edema, otot seperti dipam. Pertambahan berat sementara ini, bukan pertambahan lemak atau otot. Secara umumnya, penambahan saiz otot ambil masa sekitar 6 minggu. Mungkin lebih cepat bergantung pada beberapa faktor.
Dalam masa sama, selera makan juga akan meningkat selepas senaman, melainkan kondisi terlebih senaman sehingga tiada selera. Peningkatan selari dengan peningkatan metabolisme sementara disebabkan aktiviti yang dilakukan.




