Cabaran ‘Death By Burpees’

Baru-baru ini Google Trends mengeluarkan senarai senaman paling trending di tahun 2017. Cuba teka siapa di tangga kelima? Burpees. Untuk pengetahuan, senaman burpees ini sudah wujud sejak 1930-an lagi. Senaman ini dicipta oleh Royal H. Burpee, seorang pakar fisiologi dari Amerika Syarikat. Pada mulanya senaman ini hanya digunapakai sebagai ujian kecergasan bagi rekrut tentera ketika di Perang Dunia Kedua.
Teknik senaman Burpees:
- Berdiri tegak.
- Bergerak ke posisi squat dan cecahkan kedua telapak tangan ke atas lantai. Bersedia untuk posisi
- Lompat dan tolak kaki ke arah posisi plank. Luruskan kedua belah tangan.
- Bengkokkan lengan dan mulakan gerakan push-up.
- Kemudian, lompat semula ke posisi squat.
- Akhir sekali, bangun dan lompat dengan tangan terangkat ke atas.
- Kembali ke posisi mula.
Di dalam cabaran ini, pastikan dada mencecah ke lantai ketika melakukan push-up dan lompatan akhir haruslah sekurang-kurangnya setinggi 6 inci ke udara. Walau bagaimanapun, ada berbagai lagi variasi burpees bagi mereka yang ingin mencuba sesuatu yang baru. Paling penting, lakukannya dengan teknik yang betul bagi mengelakkan kecederaan.
Bagaimanakah cabaran ‘Death by Burpees’ dilakukan?
Cabaran ini dilakukan dengan menggunakan jarak masa dari minit ke minit. Pada minit yang pertama, lakukan satu burpees. Di minit yang kedua, lakukan dua burpees. Di minit yang ketiga, tiga burpees dan seterusnya sehinggalah anda tidak larat lagi untuk melengkapkan jumlah burpees yang telah ditetapkan mengikut minit.
Apakah manfaatnya?
Membakar lebih kalori
Burpees adalah antara senaman yang membakar banyak kalori dalam masa yang singkat. Dan pembakaran kalori ini tidak terhenti di situ sahaja tetapi secara berterusan sepanjang hari tersebut. Senaman ini ‘mengerjakan’ keseluruhan tubuh anda, daripada setiap inci otot sehinggalah ke paru-paru dan jantung. Menurut kajian terkini daripada American College of Sports Medicine, 10 gerakan pantas burpees dan 30 saat larian pecut menunjukkan peningkatan kadar metabolisme yang sama efektif.
Boleh dilakukan di mana-mana sahaja
Tidak perlu pergi ke gym untuk membuat senaman ini. Anda boleh melakukannya di rumah, di tempat kerja, di taman rekreasi, di mana-mana sahaja! Senaman ini boleh diselitkan ke dalam aktiviti harian anda juga, jadi carilah peluang untuk melakukan senaman ini sekiranya anda terlalu sibuk dengan kerja atau sebagainya.
Anda akan menjadi lebih kuat
Senaman burpees bukan sahaja membantu menurunkan berat badan dan meningkatkan tahap kecergasan, ia juga menjadikan anda lebih kuat di dalam melakukan aktiviti seharian seperti mengangkat barang-barang yang berat dan apa sahaja aktiviti yang memerlukan kekuatan otot.
Meningkatkan kapasiti anarobik
Senaman burpees mempercepatkan kadar dengutan jantung dalam masa yang singkat, sekaligus menjadikan ia sebagai latihan anarobik juga. Semasa latihan anarobik, tubuh akan menghasilkan tenaga dengan bekalan oksigen yang sangat terhad. Jadi senaman burpees yang konsisten akan meningkatkan kapasiti anarobik tubuh. Jantung dan paru-paru anda yang akan mendapat manfaatnya, bukan?
Jadi apakah azam tahun 2018 anda? Menurunkan berat badan? Kali ini cabarlah diri anda untuk melakukan senaman ini. Lakukan langkah demi langkah, tidak perlu tergesa-gesa untuk mencapai gerakan yang sempurna. Yang paling penting, lakukan secara konsisten, teknik yang betul bagi elakkan kecederaan yang tidak diingini.
Entri: Tini Lorna Lim