Kaca Mata: Selangor Strongestman

Pertandingan Selangor Strongestman telah berlangsung pada 4 Disember 2016 yang lalu, bertempat di Shah Alam. Ini adalah pertandingan strongman saya yang ketiga dalam tempoh tiga bulan bagi tahun 2016, dan semestinya setiap pertandingan memberikan pengalaman baru yang saya rasa patut dikongsikan bersama!

Aiman Radzi - Selangor Strongestman

Dua minggu sebelum pertandingan ini, saya telah menyertai pertandingan di Taiping, iaitu Perak Strongest Man dan berjaya menempatkan diri di tangga yang ke-10 daripada 14 penyertaan. Niatnya, saya hanya akan menyertai pertandingan di Selangor jika saya berjaya mendapat 3 tangga teratas sahaja. Tetapi, disebabkan ini adalah pertandingan terakhir bagi tahun 2016 dan ia juga berhampiran dengan kawasan tempat tinggal, saya fikir masuk jugalah!

Kali ini, pertandingan dibahagikan kepada dua kategori mengikut berat, iaitu U90 dan Terbuka. Dengan berat badan 70.6kg sewaktu hari pertandingan, saya memasuki kategori U90 bersama berbelas-belas peserta yang lain. Sejujurnya, saya belum bersedia tapi perjuangan harus diteruskan!

Kursus Kecergasan 2024

Latihan Menghadapi Pertandingan

Selepas tamat pertandingan di Perak, saya bertekad untuk bertukar program latihan, daripada program melatih kekuatan kepada latihan hipertropi. Saya fikir, ini peluang saya untuk membina otot, menambah berat badan, dan memberi sedikit masa berehat kepada otot-otot serta sendi saya daripada bebanan berat. Walaupun begitu, program latihan hipertropi saya bukanlah mudah, kerana saya telah bertekad untuk menerapkan program GVT selama 3-4 bulan.

Jadi, saya berehat dua hari dahulu selepas pertandingan tersebut sebelum menyambung semula latihan. Selepas itu, saya meneruskan latihan saya dengan latihan dada mengikut konsep GVT. Sememangnya latihan ini sangat memenatkan dan dijamin akan mengalami DOMS selama 5-6 hari.

5 hari sebelum pertandingan di Shah Alam ini, saya berfikir saya sempat berlatih kaki. Apa lagi, saya pun teruskan dengan front squat menggunakan konsep GVT tersebut (10×10). Saya tidak menyesal, tapi saya juga tidak gembira. Kaki saya berasa sangat lenguh sehingga menyukarkan saya untuk berjalan, sampaikan ke hari pertandingan, masih lagi belum pulih 100%. Saya fikir, keadaan ini pasti akan menyukarkan dan merosotkan prestasi saya sewaktu berlawan kelak.

Jangan berlatih terlalu hampir dengan hari pertandingan kerana badan anda memerlukan masa untuk pulih secukupnya bagi memastikan prestasi maksimum nanti. Kesilapan yang harus diperbetulkan pada masa akan datang.

Acara-acara Yang Dipertandingkan

Setiap kali saya menyertai pertandingan strongman, acara-acaranya adalah berbeza. Kali ini, ia agak menarik juga kerana ada satu acara yang sememangnya menggerunkan (sekali dengar) dan saya pasti ia adalah acara yang dinanti-nantikan penonton dan peserta sendiri!

Antara acara yang dijalankan dalam Selangor Strongestman bagi kategori U90 ialah:

  1. Yoke Walk 220kg – 40m
  2. Axle Deadlift 180kg – AMRAP
  3. Farmer’s Frame 180kg – 40m
  4. Giant Dumbbell 55kg – AMRAP
  5. Truck Pull 18tan – 20m

 

 

Yoke Walk 220kg – 40m

Saya hanya pernah berlatih acara ini sebanyak 2 kali sahaja. Susah juga untuk berlatih acara-acara strongman jika anda tiada peralatan khasnya itu. Hanya ada beberapa tempat sahaja yang saya tahu boleh dijadikan tempat latihan strongman. Walaupun begitu, kita perlu gunakan apa yang ada sahaja untuk berlatih dan terus mara ke hadapan.

Jika anda tidak pernah dengar tentang acara ini, ia hampir sama seperti farmer’s walk, cumanya beban diletakkan di atas bahu (seperti squat) dan anda akan membawa beban ini untuk jarak yang telah ditetapkan. Memiliki keboleh untuk squat dengan beban yang tinggi sahaja tidak mencukupi, anda perlu juga mampu untuk berjalan dengan beban tersebut sepantas yang boleh.

Aiman - Yoke Walk 220kg

Dahulu, saya mengalami kesusahan untuk melepaskan beban ini daripada tanah, bermakna saya tidak mampu untuk mengangkat peralatan ini pun. Bagaimana hendak berjalan kalau mengangkatnya pun tidak mampu? Apa yang saya buat dalam latihan adalah melakukan senaman squat lock-out pada mesin Smith dengan beban tinggi sekitar 5 rep untuk beberapa set. Tujuan saya adalah untuk menguatkan otot VMO (salah satu otot quadrisep) dan membiasakan bukaan kaki.

Sewaktu acara ini berlangsung, saya agak yakin yang saya mampu menghabiskan acara ini. Bukanlah mudah, tapi terasa agak lancar walaupun kaki saya lenguh akibat daripada latihan GVT yang lalu.

Nasib tidak menyebelahi saya, separuh jalan saya terhilang kawalan yoke tersebut dan saya menjadi kelam-kabut. Hasilnya, saya tidak dapat lagi mengawal pergerakan peralatan itu pada jarak 15m dan lutut saya semakin bergoyang sewaktu berjalan. Daripada 40m, saya hanya berjaya sampai 16m sahaja. Saya yakin saya mampu menghabiskannya, atau sekurang-kurangnya 35m. Mungkin saya perlukan lebih latihan dalam kawalan sewaktu bergerak.

Axle Deadlift 180kg – AMRAP

Acara deadlift adalah acara kegemaran saya. Inilah satu-satunya acara yang saya tahu saya dapat lakukan yang terbaik dan memberikan cabaran ke atas peserta-peserta yang lain. Tetapi, seperti kata Zaki Khan, strongman tidak boleh hanya kuat dalam satu acara sahaja, atlit perlulah kuat dalam kesemua acara. Gunakan kata-kata ini sebagai pembakar semangat kita!

Aiman - Axle Deadlift 180kg

Axle deadlift, bagi saya sama sahaja dengan deadlift yang biasa. Walaupun pemegangnya tebal dan menyukarkan genggaman, penggunaan wrist strap membantu kita memegang batang besi tersebut. Mungkin dengan ketiadaan bar whip ataupun fleksibiliti batang besi yang boleh menjadikannya sedikit sukar daripada biasa.

Kelebihan pada saya adalah mereka yang rendah dapat mengurangkan julat pergerakan secara drastik. Ibarat mengangkat barbell dalam senaman rack pull ataupun elevated deadlift. Jadi, ini memudahkan saya untuk menghabiskan gerakan dan mendapat rep penuh. Saya berjaya mendapat 9 rep dengan beban 180kg, tempat ke-4 daripada 14 peserta untuk acara ini.

Farmer’s Frame 180kg – 40m

Seperti biasa, apa sahaja acara yang melibatkan kekuatan cengkaman tanpa sebarang bantuan peralatan strap, pasti saya akan memaparkan prestasi yang tidak memuaskan hati.

Aiman - Farmer's Frame 180kg

Tiada sebarang komen, saya hanya perlu latih kekuatan genggaman saya supaya menjadi semakin kuat. Tiada kesalahan pada peralatan, tiada pula lenguh-lenguh badan, saya cuma lemah dalam acara sebegini. Daripada 40m, saya hanya dapat 23m sahaja.

Mungkin jenis kapur lain dapat membantu saya sedikit kerana saya pernah mencuba kapur kawan dan katanya dia membeli kapur untuk rock climbing. Kekesatan kapur tersebut sangat berbeza dengan kapur saya sekarang. Saya juga akan menambahkan lagi latihan farmer’s walk menggunakan dumbbell dan memberi fokus pada ketahanan masa.

Giant Dumbbell 55kg – AMRAP

Ini adalah acara yang sangat sukar kerana tidak biasa dibuat lagi. Disebabkan saiz dumbbell yang digunakan untuk acara ini tersangatlah besar, ia sangat berbeza dari segi teknik berbanding dumbbell biasa. Antara peraturan acara ini ialah:

  1. Anda dibernarkan clean menggunakan kedua-dua tangan
  2. Selepas menstabilkan dumbbell, hanya satu tangan sahaja dibenarkan pada dumbbell
  3. Selepas pressing, dumbbell perlu diletakkan semula ke bawah sebelum memulakan semula

Ramai tiada masalah untuk meletakkan dumbbell dalam posisi sedia untuk press, tetapi saiznya yang besar membuatkan ramai berasa kekok. Saya yakin ramai yang mampu melakukannya dengan baik, andaikan ada masa untuk berlatih teknik. Saya sendiri tersilap posisi tangan sekaligus membuatkan dumbbell 55kg tersebut menghentam belakang kepala saya.

Aiman - Giant Dumbbell 55kg

Hanya beberapa peserta sahaja yang berjaya mendapat mata bagi acara ini. Saya sendiri gagal menghabiskan walaupun satu rep. Apa yang saya akan buat selepas ini adalah berlatih untuk menguatkan kekuatan pressing serta melakukan kardio dengan pergerakan yang sama, cuma menggunakan dumbbell yang biasa sahaja.

Truck Pull 18tan – 20m

Kami berehat selepas acara giant dumbbell untuk bersolat Zohor seketika. Masa rehat yang diberikan hampir dua jam, dari jam 1 hingga jam 3. Ada yang pergi makan dahulu, ada yang berehat di dalam kereta sementara menunggu acara terakhir bermula. Cuaca pun mulai hujan seketika.

Saya hanya mampu tergelak apabila melihat sebuah lori bomba di hadapan khemah kami menunggu. Manakan tidak, dengan saiz yang sangat besar, saya hanya berfikir sambil tertawa kecil “Inilah lori yang aku perlu tarik sekejap lagi!”. Bukan setiap hari kita berpeluang untuk menarik lori bomba.

Aiman - Truck Pull 18tan

Perasaan saya mula-mula sangat seronok, bukannya gentar. Ini adalah peluang emas bagi setiap peserta untuk mencuba sesuatu yang mungkin sekali tidak dapat dijumpai di mana-mana! Acara dimulakan dengan peserta yang bernama Zaki Tajuddin, dan saya sangat terkejut apabila beliau berjaya menggerakkan lori tersebut sehingga garisan penamat.

Seorang demi seorang peserta berjaya, saya semakin gembira apabila hampir ke giliran saya. Tetapi, sampai sahaja nama saya dipanggil, perasaan gemuruh menyelusup masuk! Saya risau lori tersebut tidak bergerak langsung. Kata-kata seorang sahabat dari Brunei, “Jangan gentar! Kamu bisa buat kerana kamu kuat.”. Selepas harness dipasang dan wisel ditiup, saya menarik sekuat hati melawan perasaan takut saya. Sedar tak sedar, saya sedang berlari bersama lori tersebut hingga ke garisan penamat.

Sungguh seronok, cumanya saya kekurangan kuasa tolakan awal menjadikan saya antara yang terlambat (24 saat), sedangkan yang lain rata-rata dapat menghabiskan acara dalam 20 saat. Saya sepatutnya mencondongkan badan lebih lagi dan menggerakkan kaki dengan lebih pantas, bukan berharap pada tarikan tangan dan langkah kaki satu persatu.

Tahniah Kepada Semua

Saya berjaya mendapat tempat ke-10 dalam pertandingan kali ini. Tahun 2016 dihabiskan dengan pertandingan strongman yang paling meriah dan tersangatlah seronok!

Atlit Selangor Strongestman

Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang hebat-hebat belaka. Saya berharap dapat menjadi hebat seperti kalian semua. Tidak lupa, terima kasih kepada pihak penganjur yang bertungkus-lumus menjaya program ini. Semoga sama-sama kita mencapai sukses dalam apa jua perkara sekali pun!

Aiman Radzi

Aiman Radzi

Penggemar sukan melibatkan kekuatan fizikal, Aiman Radzi kini kembali lagi untuk berkongsi perjalanan dan pendapatnya tentang latihan dengan pembaca semua!

Facebook 

2 thoughts on “Kaca Mata: Selangor Strongestman

  1. Tahniah berjaya mengharungi kejohanan strongman dgn jayanya. Tengok yolk walk 220kg tu pun dah rasa gerun. Tak mungkin aku boleh membawanya. Berat gilos. Hehehe.

    1. Kena cuba baru tahu. Bila dah cuba, mesti akan ketagih! Seronok pertandingan macam ini sebab semua atlit sokong satu sama lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: