Lari Pakai Baju Hujan Nov20

Kongsi

Lari Pakai Baju Hujan

Dah jadi satu fenomena sekarang, berlari dengan baju hujan walaupun tak hujan. Kalau ada yang kata berlari pakai baju angkasawan boleh kurus, rasanya lepas ini kita akan tengok ramai angkasawan berlari.

Ramai, mungkin termasuk kita, kalau boleh nak turunkan berat secepat mungkin tanpa sedar kita membesar ambil masa berpuluh tahun. Tetiba nak jadi super model dalam masa singkat. Jadi mungkin guna benda-benda pelik seperti suit sauna ini. Tambah lagi dengan hasutan peniaga produk ini dengan jaminan boleh turunkan berat. Adakah ianya benar?

Badan kita mengeluarkan tenaga. Tenaga dikeluarkan melalui haba. Setiap kali kita bergerak, contohnya berlari, badan perlu keluarkan haba tersebut untuk kekalkan suhu badan sekitar 37 darjah. Kita berpeluh supaya suhu dikeluarkan. Bayangkan apabila haba dikeluarkan tapi tak boleh ke mana-mana disebabkan baju hujan yang dipakai, ia akan kekal di antara kulit dan suit tersebut. Akhirnya boleh jadi penyebab strok haba. Strok haba ini boleh berlaku pada bila-bila masa, walaupun anda berlari di waktu malam. Badan anda masa masih perlu mengeluarkan haba. Risikonya semakin bertambah di waktu tengahari.

Berlari dalam keadaan panas bukan bermaksud intensiti meningkat. Bila panas, secara tak langsung intensiti kita akan berkurang. Bila kita rasa semakin sukar nak bersenam, intensiti akan menurun. Ini adalah mekanism separa sedar badan yang menghalang kita daripada memberi terlalu banyak tekanan pada badan. Takde masalah pun untuk kita berlatih pada suhu yang rendah iaitu sejuk. Kalau anda berlatih dalam suhu sejuk, intensiti kita akan meningkat melainkan badan kita tak tahan sejuk.

Dalam suhu panas, badan cenderung guna karbohidrat dulu. Oksidasi lemak merosot, diikuti dengan penurunan intensiti latihan. Ada 1 kajian, mereka minta 13 pelumba basikal bersenam selama 40 minit. Pertama pada suhu 20 darjah, dan kedua pada suhu 40 darjah. Mereka ukur penggunaan glikogen di otot ketika senaman. Kajian menunjukkan, mereka mengunakan lebih banyak karbohidrat sebagai sumber tenaga berbanding lemak. Glikogen kita diikat dengan air. Jadi penurunan simpanan glikogen juga bermaksud penurunan air. Jadi berat lebih cepat turun. Apabila dimasukkan kembali glikogen baru, air pun ikut sekali. Bermaksud penurunan sementara sahaja. Tak perlu rasa seronok. Belum lagi cerita risiko dehidrasi disebabkan kehilangan air berlebihan.

Female runner having fun exercising outdoors in urban decor

Bila menggunakan suit, ada juga yang tunjuk peningkatan kadar nadi, kononnya tunjuk peningkatan penggunaan tenaga. Apabila suhu badan meningkat, darah dihantar ke kulit untuk turunkan kembali suhu. Jadi kurang darah di otot dan otak. Untuk memastikan badan kekalkan cardiac output, kadar denyutan jantung meningkat. Jam nadi akan gunakan kadar dengupan jantung ini dalam kiraan, yang mana sama sekali tak tepat. Kadar dengupan jantung pengguna suit sauna ini bukan meningkat disebabkan penggunaan tenaga meningkat. Contohnya, jam mungkin menunjukkan bakar 500 kcal, akan tetapi sebenarnya anda hanya bakar 300 kcal.

Ada juga dakwaan yang kata memakai suit sauna ini bantu buang toksin dan bertindak sebagai detoks. Untuk pengetahuan anda, kita tidak detoks melalui peluh. Peluh terdiri daripada air (99%), sedikit elektrolit seperti sodium, chloride dan potassium, urea, dan lactate. Peluh bersifat hipotonik berbanding plasma darah bermaksud kurang konsentrasi berbanding darah. Kalau detoks berlaku, peluh sepatutnya bersifat hipertonik. Tidak ada juga bukti pakai suit ini beri kebaikan pada sistem imunisasi.

Adakah suit sauna ini mengalakkan pemulihan daripada kecederaan? Biasanya kita guna hot pack untuk perbaik aliran darah ke tempat cedera. Cuma apabila pakai suit, suhu meningkat, tapi peningkatannya di kulit dan bukan tempat cedera. Jadi ianya tak galakkan pemulihan.

Kursus Kecergasan 2021

Jangan bandingkan diri kita dengan atlet yang gunakan kaedah ini pada minit terakhir sebelum pertandingan untuk menurunkan berat badan. Ia bukan kaedah yang sihat walaupun untuk atlet. Atlet-atlet ini cuba cari jalan paling cepat untuk turunkan berat badan supaya berada dalam kategori. Ada lagi kaedah ekstrim yang digunakan seperti penggunaan dadah deuretik. Kaedah diet air yang dipanggil water loading dan sebagainya. Penurunan ini hanya bersifat sementara untuk masuk kategori.

Kesimpulannya, suit sauna tak meningkatkan metabolism, ia meningkatkan suhu tapi bukan intensiti, ia tak menyebabkan anda bakar lebih lemak, ia tak bertindak sebagai detoks dan ia juga tak menyebabkan kita pulih daripada kecederaan. Anda juga tak boleh guna jam nadi untuk ukur kadar penggunaan tenaga semasa memakai suit sauna ini.

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 22 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Facebook Twitter YouTube