Manfaat dan Risiko Pengambilan Telur Mentah Ala Rocky

Telur mentah sering dikaitkan dengan bina badan dan kecergasan fizikal. Salah satu contoh popular adalah dalam filem “Rocky”, di mana watak utama, Rocky Balboa, yang dimainkan oleh Sylvester Stallone, meminum telur mentah sebagai sebahagian daripada rutin latihannya. Babak ikonik ini telah mencetuskan minat terhadap pengambilan telur mentah dalam kalangan peminat kecergasan dan ahli bina badan. Tetapi adakah pengambilan telur mentah benar-benar bermanfaat, atau adakah ia membawa risiko kesihatan?

 

Telur mengandungi protein berkualiti tinggi, asid amino penting, dan mikronutrien seperti vitamin A, B2 (riboflavin), B12, D, E, dan mineral seperti selenium dan zink. Protein dalam telur membantu proses pemulihan dan pembinaan otot, menjadikannya pilihan popular dalam kalangan ahli bina badan dan atlet (1).

 

Bukan itu sahaja, malahan sebutir telur mengandungi sekitar 6 gram protein dan protein adalah makronutrient yang sangat diperlukan oleh otot selepas senaman. Ini menyokong proses anabolisme otot, terutamanya selepas aktiviti fizikal berintensiti tinggi. Pengambilan protein yang mencukupi membantu mempercepatkan pemulihan otot dan mengurangkan risiko kecederaan (2).

 

Tambahan, telur juga mengandungi kolin yang penting untuk kesihatan otak dan saraf. Kolin ialah nutrien penting yang membantu fungsi otak, meningkatkan ingatan, dan menyokong kesihatan sistem saraf. Telur adalah sumber kolin yang baik, dan pengambilannya secara mentah atau dimasak tetap memberikan manfaat yang sama (3).
Kursus Kecergasan 2024

Salah satu kebimbangan utama ialah risiko jangkitan bakteria Salmonella. Bakteria ini boleh mencemari telur sama ada dari cangkerang atau daripada bahagian dalam telur itu sendiri. Jangkitan Salmonella boleh menyebabkan gejala seperti cirit-birit, kekejangan perut, demam, dan muntah. Kajian menunjukkan bahawa 1 dalam setiap 20,000 telur mungkin mengandungi Salmonella (4). Risiko ini lebih tinggi pada golongan yang mempunyai sistem imun yang lemah seperti kanak-kanak, wanita hamil, dan warga emas.

 

Disamping itu, putih telur mentah mengandungi avidin, sejenis protein yang mengikat biotin (vitamin B7) dalam badan, sekali gus menghalang penyerapannya. Biotin penting untuk kesihatan rambut, kulit, dan kuku. Pengambilan telur mentah yang kerap boleh menyebabkan kekurangan biotin dalam jangka waktu yang panjang (5).

 

Walaupun telur mentah mengandungi protein berkualiti tinggi, ia lebih sukar dicerna berbanding telur yang dimasak. Kajian menunjukkan bahawa badan manusia hanya dapat mencerna sekitar 50% hingga 60% protein dari telur mentah, berbanding hampir 91% protein dari telur masak (6).

 

Adegan ikonik Rocky Balboa minum telur mentah menjadi simbol kekuatan dan ketahanan. Namun, dari sudut pandangan saintifik, pengambilan telur mentah tidaklah lebih baik daripada telur yang dimasak. Malah, telur masak memberikan kadar serapan protein yang lebih tinggi dan mengurangkan risiko jangkitan bakteria Salmonella. Oleh itu, walaupun pengambilan telur mentah mungkin kelihatan “berani” dan “bersemangat”, kelebihan dari segi pemakanan adalah lebih rendah berbanding telur yang dimasak.

 

Telur pasteur telah melalui pemanasan ringan yang membunuh bakteria Salmonella tanpa merosakkan nutrien. Penggunaan telur pasteur mengurangkan risiko jangkitan. Jika anda bimbang tentang kekurangan biotin, seimbangkan pengambilan dengan sumber biotin lain seperti kekacang, bijirin penuh, dan daging organik. Elakkan telur yang retak, berbau busuk, atau sudah melebihi tarikh luput. Cuci cangkerang telur sebelum digunakan untuk mengurangkan risiko pencemaran bakteria.

 

Kesimpulannya, pengambilan telur mentah, seperti yang digambarkan oleh watak Rocky Balboa dalam filem “Rocky”, mungkin memberi inspirasi kepada ramai peminat kecergasan. Walau bagaimanapun, dari sudut Kesihatan telur masak adalah pilihan yang lebih selamat dan memberikan kadar penyerapan protein yang lebih tinggi. Risiko jangkitan bakteria Salmonella dan kekurangan biotin menjadikan pengambilan telur mentah kurang sesuai, terutama bagi individu yang mempunyai sistem imun yang lemah. Oleh itu, adalah lebih baik memasak telur sebelum dimakan bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan penyerapan gizi yang optimum.

 

1. Williams MH. Nutrition for health, fitness & sport. McGraw-Hill Education; 2020.
2. Phillips SM, Van Loon LJ. Dietary protein for athletes: From requirements to optimum adaptation. J Sports Sci. 2011;29(sup1):S29-38.
3. Zeisel SH, Da Costa KA. Choline: an essential nutrient for public health. Nutr Rev. 2009;67(11):615-623.
4. Patrick ME, Adcock PM, Gomez TM, Altekruse SF, Holland BH, Tauxe RV, Swerdlow DL. Salmonella Enteritidis infections, United States, 1985–1999. Emerg Infect Dis. 2004;10(1):1-7.
5. Wolf B. Biotinidase deficiency: “if you have to have an inherited metabolic disease, this is the one to have”. Genet Med. 2012;14(6):565-575.
6. Evenepoel P, Geypens B, Luypaerts A, Hiele M, Ghoos Y, Rutgeerts P. Digestibility of cooked and raw egg protein in humans as assessed by stable isotope techniques. J Nutr. 1998;128(10):1716-1722.

Dr. Vishnu Raj .S

Vishnu Raj

Saya adalah Dokter perubatan ( MD, Hasanuddin University), pemegang ijazah sarjana Masters in Public Health (MPH, University of Malaya) dan jurulatih peribadi bertauliah (CPT NASC) yang berminat dalam sukan bina badan dan pemakanan sihat. Objektif utama saya adalah memerangi ” Fad Diet ” dan ” Bro Science ” dengan mengongsi artikel yang disokong oleh fakta dan bukti saintifik.

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: