Adakah Peluh Petanda Lemak Terbakar?

Adakah peluh tanda lemak terbakar?
Bersenam sebab nak berpeluh?
Sering kali kita dengar atau baca penyataan begini. Benarkan penyataan peluh tanda lemak terbakar? Tidak. Berpeluh adalah cara badan untuk regulasi kembali suhu badan. Berpeluh juga bukan petanda anda bakar lebih banyak kalori. Anda masih bakar kalori walaupun bersenam dalam ruangan sejuk, bersenam dalam air dan sebagainya.
Berapa banyak kita berpeluh bergantung kepada beberapa faktor seperti;
- persekitaran
- genetik
- umur
- berat
- tahap kecergasan
- tahap kesihatan
- pakaian
Lagi tinggi tahap kecergasan kita, lagi cepat kita berpeluh. Badan cepat turunkan kembali suhu dan benarkan kita bersenam lebih lama.
Ada 2 jenis kelenjar am yang hasilkan peluh;
Kelenjar eccrine – ada di seluruh badan kita. Kebanyakan bertumpu di tapak tangan, kaki dan dahi. Fungsikan untuk mengawal suhu badan kita, atau apa yang dipanggil sebagai thermoregulasi.
Kelenjar apocrine – biasa dekat tempat berbulu seperti kepala, ketiak, bahagian kemaluan dan sebagainya. Peluhnya lebih konsentrasi dan biasanya hadir dengan bau badan.
Selain 2 kelenjar ini, ada juga kelenjar apoeccrine dan kelenjar sebaceous.
Ada sesetengah daripada kita mungkin berpeluh secara berlebihan atau dipanggil hiperhidrosis. Bukan bermaksud mereka ada kelenjar peluh berlebihan akan tetapi saraf simpatetik yang mengawal peluh terlalu aktif. Ia mungkin diwarisi melalui genetik. Jenis ini dipanggil hiperhidrosis pertama. Manakala, hiperhidrosis kedua boleh disebabkan penyakit seperti;
- diabetes
- masalah tiroid
- menopaus
- tekanan darah rendah
- masalah saraf
- gout
Jika anda sepatutnya berpeluh, tapi kurang berpeluh, mungkin ada ada masalah dehidrasi iaitu kurang minum air. Jika anda masih tak mampu berpeluh walaupun dah minum banyak, anda mungkin berdepan dengan masalah hipohidrosis. Jumpa doktor kalau perlu. Dikuatiri anda tak mampu sejukkan badan setelah bekerja keras. Boleh bawa kepada masalah seperti strok haba.
Jadi, kesimpulannya, berpeluh adalah proses kita menyejukkan kembali badan, bukannya petanda lemak terbakar.
Rujukan