Bagaimana Meningkatkan Kelajuan dan Kekuatan Smash dalam Badminton?

Banyak senaman yang boleh dilakukan untuk meningkatkan daya smash

Pukulan smash merupakan satu pukulan yang laju, kuat dan tajam ke arah pihak lawan dan biasanya ia sukar untuk ditangkap. Sebab itulah, smash merupakan satu pukulan yang wajib untuk diperkuatkan supaya kita lebih mudah untuk menang.

Dalam banyak-banyak pukulan, sudah pastilah smash merupakan satu pukulan yang paling banyak membuatkan pemain menang. Hendak cepat menang, smash sahaja. Kalau tidak cukup kuat, perkuatkan. Pasti kemenangan itu lebih condong kepada kita.

Persoalannya, bagaimana untuk kuatkan smash kita?

Pertama sekali, kita berbalik kepada asas. Untuk menguatkan impak smash kita, kita mesti mempunyai teknik yang tepat.

Teknik-teknik smash

  • Gunakan otot pergelangan tangan

Kita harus melatih otot pergelangan tangan kita agar kuat baik dari segi pengecutan atau pelenturan (wrist flexion and wrist extension). Kita jangan menggenggam raket terlalu kuat, ia akan menghalang lengan kita untuk dihayun secara laju. Kendurkan genggamkan kita. Gunakan sepenuhnya pada pengecutan pergelangan tangan (wrist flexion). Pergerakan ini sama seperti latihan wrist curl.

Dengan itu juga, kita digalakkan untuk melakukan senaman wrist curl agar otot pergelangan tangan kita lebih kuat. Cadangan senaman adalah seperti berikut:

Wrist curl:

20-25 ulangan sebanyak 3-5 pusingan.

Sebab kenapa dicadangkan untuk melakukan pengulangan yang tinggi adalah kerana badminton merupakan satu sukan yang memerlukan ketahanan otot yang tinggi, bukan sekadar kuat. Maka, senamannya juga harus lebih kepada yang itu.

  • Latihan scissor jump

Ini sangat bagus untuk menguatkan smash lompatan (jumping smash). Apabila kita cuba untuk smash dari belakang gelanggang, maka smash lompatan merupakan satu pilihan yang tepat dan efektif untuk memperoleh mata.

Untuk meningkatkan kemampuan ini, maka kita perlu melakukan senaman scissor jump.

Bagaimana untuk melakukan scissor jump?

  1. Lakukan lunges
  2. Lompat
  3. Tukar posisi
  4. ulang

Daripada posisi lunges kaki kanan di hadapan, kita lompat. Ketika lompat itu, kita tukar posisi menjadikan kaki kiri pula di hadapan. Dengan itu, kita ulang perbuatan tersebut. Nama lainnya ialah jumping lunges.

Latihan ini bagus untuk kita memanfaatkan putaran pinggang kita agar ketika melakukan smash itu kita dapat memberi julat pergerakan yang penuh. Dengan itu, kekuatan smash kita akan meningkat dan lebih kuat.

Cadangan senaman scissor jump:

20 kali sebanyak 5 pusingan.

  • Pastikan bulu tangkis di hadapan kita

Bukan atas atau belakang. Sekiranya bulu tangkis sudah sampai di atas kepala kita, atau belakang kita, maka tidak digalakkan untuk melakukan smash kerana sasaran tidak akan tepat.

Pastikan bulu tangkis berada di depan (atas-depan) kita. Hal ini supaya apabila kita smash, sasaran lebih terarah dan julat pergerakan smash akan lebih cantik dan efektif.

  • Pastikan kita memegang raket dengan betul

Sekiranya kita smash untuk pukulan depan, maka gunakan grip sepertimana kita hendak salam tangan orang. Sekiranya kita hendak smash dengan pukulan kilas, maka gunakan grip yang menggunakan ibu jari untuk menekan tempat pegang raket tersebut.

  • Perbanyakkan melakukan senaman plank

Senaman plank sangat bagus untuk menguatkan teras badan kita. Maka dengan itu, melakukan senaman plank, ia akan meningkatkan kelajuan kita melakukan smash.

Pergerakan smash merupakan pergerakan seluruh badan, maka teras badan merupakan satu unsur yang sangat penting dalam menjayakan pergerakan seluruh badan yang pantas dan kuat.

Lakukan plank selama mana yang kita mampu sebanyak 3 pusingan. Cuba tingkatkan kadar masa kita melakukan plank. Tingkatkan sedikit demi sedikit.

Kesimpulan

Untuk meningkat prestasi satu pergerakan, konsistensi adalah satu elemen yang amat penting untuk diterapkan dalam diri kita. Lakukan setiap senaman yang menguatkan setiap otot yang terlibat dalam melakukan smash, maka dengan itu, smash kita akan bertambah baik.

Rujukan

  1. 7 Cara Melakukan Pukulan Smash yang Benar pada Badminton. https://review.bukalapak.com/sports/7-cara-melakukan-pukulan-smash-yang-benar-pada-badminton-80989
  2. Scissor Jump Guide: How to Do Scissor Jumps Properly. https://www.masterclass.com/articles/scissor-jumps-exercise-guide#3-benefits-of-doing-scissor-jumps
  3. How to Improve Your Badminton Smash. https://getgoodatbadminton.com/how-to-improve-your-badminton-smash
Sadiq Salihoddin

Saya seorang penulis yang meminati sukan-sukan yang berorientasikan kekuatan (strength). Saya juga seorang atlet profesional gusti lengan yang bertapak di Kuala Lumpur. Saya menulis adalah untuk berkongsi pengetahuan. Saya berharap, perkongsian ilmu dengan cara begini secara tidak langsung dapat memperkembangkan literasi dalam bidang sains sukan umumnya. Selamat membaca!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: