Berat Naik Selepas Senaman

Kenapa berat naik selepas bersenam? Ada juga yang timbang sebelum dan selepas senaman? Kenapa?
Ada beberapa kemungkinan, tapi dalam kebanyakan kes ia adalah apa yang kita panggil post workout inflammation. Ia bersifat sementara. Ia boleh jadi petanda anda bersenam dengan cukup. Senaman akan menyebabkan kerosakan pada tisu otot. Bila rosak, akan ada keradangan di tisu otot. Keradangan ini menyebabkan sel darah putih berkumpul di situ untuk proses pemulihan. Mereka akan bina cecair dan menyebabkan retensi sementara air untuk proses pemulihan. Selepas itu, anda akan rasa apa yang dipanggil delayed onset muscle soreness iaitu DOMS, hasil daripada keradangan dan pemulihan yang berlaku.
Ada masanya, ia mungkin disebabkan pengambilan makanan tambahan selepas atau semasa latihan. Contohnya, sesetengah atlet mungkin ambil makanan tambahan atau minuman berunsur karbohidrat. Anda mungkin dah bersenam untuk jangka masa lama, dan akhirnya menyebabkan simpanan glikogen berkurang. Karbohidrat kembalikan simpanan glikogen. Setiap 1 gram glikogen, ia akan menyimpan 3 gram air. Jadi ada kemungkinan berat naik.
Mungkin juga disebabkan creatine. Creatine menyebabkan retensi air. Creatine biasanya diambil semasa atau selepas latihan. Jadi memang ada kemungkinan penambahan berat sementara selepas latihan.
Apabila anda buat senaman aerobik, pada suatu masa mungkin ada peningkatan jumlah darah, yang mana merupakan 1 keperluan untuk meningkatkan kapasiti aerobik. Otot perlukan oksigen. Oksigen dibawa oleh darah. Jadi jumlah darah bertambah untuk bawa lebih banyak oksigen. Cuma proses ini tak jadi segera. Dia akan ambil masa sedikit.
Jadi, tak perlu risau dengan penambahan sedikit itu. Jangan terlalu taksub dengan penimbangan. Jika perlu timbang selalu, cuma ambil 1 timbangan sehari di waktu pagi. Jika tak perlu, boleh timbang seminggu sekali untuk tujuan merekod. Berat kita memang tak sama setiap masa.