Cara-cara Menurunkan Berat Badan Tanpa Bersenam

Saya faham bahawa setiap di antara kita tidak mempunyai kelapangan untuk bersenam, pergi ke gim dan sebagainya. Jadi, kita akan mencari alternatif untuk menurunkan berat badan dan mendapatkan bentuk badan yang ideal. Adakah boleh kita menurunkan berat badan tanpa bersenam? Ya, sudah tentu boleh!

Tetapi..

Kursus Kecergasan 2024

Tidak bersenam bukanlah satu pilihan yang baik untuk menurunkan berat badan. Setidak-tidaknya, senaman adalah satu kewajipan untuk mengekalkan kesihatan badan yang optimum. Siapa-siapa yang mahu sihat mesti bersenam.

Tidak mengapa, jikalau anda memang benar-benar sibuk atau mempunyai apa-apa jenis penyakit yang mengehadkan pergerakan badan, jadi anda boleh amalkan perkara-perkara ini untuk menurunkan berat badan.

Pengambilan Kalori yang Sepatutnya

Apa-apa pun, kita perlu memulakan dengan memastikan pengambilan kalori harian kita adalah pada tahap yang sepatutnya.

Mudah sahaja formulanya: Untuk menurunkan berat badan, pembakaran kalori mesti mengatasi kemasukan kalori. Atau dengan bahasa mudahnya, defisit kalori. Setiap hari, pengambilan kalori anda harus kurang daripada yang sepatutnya.

Bagaimanakah anda hendak mengenal pasti, berapakah kalori yang sepatutnya anda ambil setiap hari? Mudah sahaja, gunakan kalkulator pengambilan kalori harian di laman web ini: Calorie Calculator.

Selain daripada pengawalan jumlah pengambilan kalori, anda juga perlu teliti dengan sumber nutrien setiap makanan dan minuman yang masuk ke dalam badan anda. Bukan semua benda anda boleh makan! Pastikan anda makan makanan yang penuh dengan sumber nutrien yang sihat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, makanan yang mempunyai kandungan protein yang tinggi, bijirin penuh dan sebagainya.

Seterusnya, anda perlu makan dengan baik. Apakah maksud “makan dengan baik”? Maksudnya, cara anda makan hendaklah perlahan. Kunyah perlahan-lahan dapat meningkatkan rasa kenyang dengan cepat. Maka, lebih mudahlah anda hendak mencapai defisit kalori!

Dan juga, jangan makan ketika menonton filem dan sebagainya. Makan ketika melayani sesuatu hiburan akan cenderung membuatkan anda terlebih makan. Jadi, elakkan!

Pelajari cara-cara defisit kalori dengan puasa berkala melalui artikel ini: IF vs Defisit Kalori

Hidrasi

Pastikan anda sentiasa hidrat. Minumlah air putih dengan cukup. Minum air putih banyak-banyak akan membuatkan anda berasa kenyang. Sedangkan, air putih itu tidak ada kalori. Maka, air putih sangat baik untuk membantu anda menurunkan berat badan!

Minimumkan pengambilan air manis atau bergula. Kurang-kurangkanlah. Air manis mempunyai kandungan yang tidak sihat dan kalorinya tinggi. Sangat mudah berat badan anda akan naik dengan air-air manis ini.

Tidur dengan Cukup

Nampak seperti tidak ada kaitan, bukan? Sebenarnya, setiap di antara kita perlu mempunyai kadar tidur yang cukup, iaitu 7 hingga 9 jam setiap hari. Kurang tidur akan membuatkan hormon kita tidak stabil. Hormon yang tidak stabil itu pula akan membuatkan kita mahu makan makanan yang berkalori tinggi.

Sebagai nota tambahan, tidur itu pun dapat membakar kalori. Sebaliknya, jika anda kurang tidur, anda akan lebih cenderung untuk gemuk. Baca artikel berikut untuk ketahui lebih lanjut: Tidur Lewat dan Kegemukan

Pengurusan Stres

Stres yang melampai akan melepaskan kortisol, iaitu hormon yang menggalakkan penyimpanan lemak, terutama sekali di bahagian perut. Stres itu biasa bagi manusia yang waras, tetapi tidak menguruskan stres adalah satu sikap yang tidak bertanggungjawab. Stres tidak patut dipadamkan kerana memang tidak boleh dipadam, sebaliknya perlu diuruskan.

Amalkan mendengar lagu yang membuatkan kita gembira, membaca buku motivasi dan sebagainya untuk pengurusan stres yang berkesan.

Jikalau anda suka mandi sauna, anda boleh membaca artikel berikut untuk ketahui cara-cara menurunkan berat badan melalui mandi sauda: Mandi Sauda dan Penurunan Berat Badan

Sentiasa Menjejak Kemajuan Diri

Gagal dalam merancang adalah merancangan untuk gagal.

Setiap tindakan anda perlu dijejak dan direkodkan supaya anda kenal pasti keadaan terkini anda. Anda boleh membuatkan refleksi diri untuk menambah baik mana-mana yang terdapat kelompangan dan sebagainya.

Biasakan menimbang berat badan untuk melihat kemajuan penurunan berat badan anda.

Sadiq Salihoddin

Saya mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia penulisan. Saya telah mengarang empat naskhah buku. Sekarang, saya sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya dalam bidang manuskrip Melayu. Kini, saya juga merupakan atlet amatur gusti lengan kategori paling berat (105kg+).

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: