Otot Bisep Koyak: Apa yang Perlu Dilakukan?

Anda sedang sedih dan gementar kerana otot bisep anda koyak. Tidak dinafikan bahawa terdapat orang yang sudah mengambil langkah berjaga-jaga pun, masih terdedah kepada risiko untuk tercedera. Tidak mengapalah. Sekarang, mari kita sama-sama pelajari apa yang perlu dilakukan ketika otot bisep koyak:
Bisep koyak ini pernah dibincangkan dalam artikel terdahulu, namun dalam artikel ini akan diperbincang dengan lebih komprehensif dan menyeluruh.
Memahami Keadaan Bisep yang Koyak
Otot bisep terletak di bahagian depan lengan atas. Otot ini berperanan melakukan setiap pergerakan menarik dan mengangkat. Apabila anda menarik pintu, anda sedang menggunakan bisep. Apabila anda sedang mengangkat anak atau anak buah anda yang masih kecil, anda sebenarnya sedang mengaktifkan bisep. Selain daripada kekuatan, otot bisep juga mencantikkan badan anda. Anda akan kelihatan lebih tegap apabila mempunyai bisep yang besar.
Apakah maksud bisep koyak? Bisep koyak berlaku apabila otot bisep anda terputus daripada tulang. Dalam bahasa saintifiknya, dipanggil tendon otot. Bisep koyak bermaksud tendon otot bisep yang terputus. Kecederaan jenis ini boleh berlaku di bahagian bahu dan siku. Kedua-dua ini mempunyai darjah kesakitan yang berbeza.
Apakah yang menyebabkan bisep koyak? Antara sebabnya ialah otot anda “terkejut” dengan beban yang diangkat. Ini disebabkan anda secara tiba-tiba mengangkat beban yang luar biasa berat. Berat itu pula adalah melangkaui kemampuan anda. Ini sangat bahaya.
Selain daripada itu, teknik yang salah juga boleh menyebabkan otot bisep anda koyak. Anda perlu sentiasa memerhatikan teknik anda melalukan senaman. Sebab inilah bagusnya anda ada teman gim ada cermin untuk menilai.
Bagaimana hendak tahu bisep anda koyak atau tidak?
Pertama, anda tidak berasa nyaman pada otot bisep anda. Kedua, pergerakan yang menggunakan otot bisep anda terasa sangat sakit. Ini bermakna, pergerakan menarik dan mengangkat memberi anda rasa sakit pada otot. Ini salah satu simtom yang menunjukkan boleh jadi otot bisep anda koyak!
Dapatkan Nasihat Doktor
Apa-apa pun, anda perlu ke hospital untuk mengenal pasti keadaan otot anda. Pihak hospital akan x-ray badan anda dan sebagainya. Mereka akan memberitahu anda apa yang terjadi pada otot anda.
Dua Pilihan untuk Sembuh
Anda hanya ada dua sahaja pilihan bagaimana hendak menyembuhkan otot bisep anda yang koyak:
- Rehat sahaja: Secara tradisionalnya, anda boleh berehat sahaja dan membiarkan masa menyembuh otot bisep anda. Ini sesuai sekiranya anda mengalami koyak separa atau koyak sikit saja pada otot. Eloklah anda berehat sahaja. Di samping anda berehat, anda dinasihatkan untuk meletakkan ais selalu pada otot yang koyak. Tinggikan kedudukan tangan ketika tidur atau baring berehat. Selain itu, anda juga dinasihatkan untuk melakukan senaman ringan untuk menguatkan kembali otot. Pengaliran darah yang sihat akan mempercepat pemulihan pada otot.
- Pembedahan: Sekiranya otot bisep anda koyak habis, anda perlu mendapatkan rawatan segera di hospital. Anda tahu otot bisep anda koyak habis apabila pergerakan bisep anda tidak dilakukan langsung. Anda tidak mampu menarik dan mengangkat langsung, maka ini menunjukkan otot bisep anda koyak sepenuhnya. Anda perlu ke hospital dan jalani rawatan.
Rehabilitasi
Rehabilitasi mempunyai peranan yang sangat besar untuk memulih kefungsian otot. Antara perkara yang boleh dilakukan ialah:
- Latihan mobiliti: Gerakkan tangan mengikut julat pergerakannya yang penuh. Regangkannya sehingga teregang sepenuhnya. Pergerakan atau latihan mobiliti begini dapat menggalakkan penyembuhan otot dengan cepat.
- Latihan kekuatan: Anda perlu angkat berat, bukannya berhenti terus. Anda perlu angkat berat bagi otot-otot di sekeliling otot yang tercedera supaya sendi anda makin kuat dan dapat mengelak kecederaan di masa hadapan.
- Berehat dengan cukup: Anda memang perlu minimumkan pergerakan pada otot yang sakit. Selain daripada itu, anda perlu meletakkan ais padanya. Rehatlah dengan cukup supaya otot yang koyak dapat pulih semula.
Kaedah Pencegahan untuk Masa Depan
Pertama, anda perlu kenal pasti kemampuan anda supaya anda tidak terlampau latih. Kedua, anda perlu sentiasa menyemak teknik anda mengangkat beban supaya perkembangan otot berlaku dengan efektif. Terakhir, kata orang putih, “Listen to your body.” Jangan terlalu memaksa ketika anda telah berasa sakit. Ada perbezaan antara mencabar diri dan menyeksa diri.