Jangan Buat Regangan

Masihkah anda ingat zaman sekolah dulu kita dididik dengan regangan statik sebelum memulakan aktiviti sukan dalam subjek Pendidikan Jasmani. Ianya masih diamalkan oleh cikgu tangkap muat subjek ini. Sehingga kini kita masih kekurangan cikgu yang boleh mengajar Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) ini mungkin disebabkan kekurangan peruntukan.
Tahukah anda, terdapat lebih 100 kajian menunjukkan regangan statik sebelum aktiviti sukan atau senaman menurunkan prestasi kita. Ia mengurangkan kekuatan otot (strength) kita sekitar 5.5 peratus dan menjadi lebih teruk jika dilakukan lama. Ia mengurangkan power sebanyak 2 peratus. Ia juga mengurangkan kekuatan eksplosif kita sekitar 3 peratus. Disebabkan itu, jangan buat regangan statik sebelum aktiviti senaman anda. Apa? Anda masih buat?
Secara amnya regangan memperbaik pengaliran darah. Akan tetapi kajian menunjukkan apabila dilakukan lebih daripada 60 saat, ia mengurangkan pengaliran darah, membentuk ischemia dan menyebabkan pengumpulan asid laktik. Dalam bahasa mudah boleh merosakkan otot dan tendon anda apabila dibuat lebih daripada 60 saat.
Kalau tak boleh buat, nak buat apa sebelum senaman? Anda boleh buat regangan juga tapi dalam bentuk dinamik iaitu dengan pergerakan. Ia boleh dijadikan sebagai aktiviti memanaskan badan jika anda tak buat sesi memanaskan badan yang lain.
Jika berkesempatan, saya akan masukkan contoh regangan dinamik dalam video di masa hadapan.