Kasut Lari dan Kasut Latihan: Bila Perlu Memakainya?

Pilih kasut yang sesuai supaya elak daripada kecederaan

Kasut lari dan kasut latihan mempunyai beberapa persamaan. Namun demikian, dalam konteks-konteks tertentu, semestinyalah kita perlu memakai salah satu yang sesuai.

Secara umumnya, berdasarkan nama sahaja kita sudah dapat faham bahawa kasut lari bertujuan untuk lari (jarak jauh), manakala kasut latihan bertujuan untuk apa-apa sesi latihan seperti di gim (jarak dekat).

Adakah kegunaan kedua-dua jenis kasut tersebut sampai di situ sahaja?

Kursus Kecergasan 2021

Mari kita bedah bahagian tapak pada kasut. Ini kerana tapak merupakan pembeza besar antara dua jenis kasut.

Tapak kasut

Bagi kasut lari, tapaknya kelihatan lebih tebal kerana tahap kusyennya yang lebih tinggi berbanding kasut latihan.

Ini kerana tahap kekusyenan tersebut bertujuan untuk menjaga dan melindungi lutut dan tumit daripada sebarang kecederaan ketika larian.

Selain itu juga, tapak kasut lari adalah lebih lembut di bahagian tepi tumit disebabkan pergerakan larian yang tidak selalunya lurus ke hadapan. Kadang-kadang, orang yang berlari akan ke sisi dan sebagainya. Jadi, ini memerlukan tapak kasut yang berkusyen tebal.

Dengan itu, pergerakan tumit kita akan lebih fleksibel dan anjal menerusi kasut lari.

Apakah semua kelebihan ini tidak ada pada kasut latihan?

Ada, tetapi tidak setebal dan setinggi kasut lari. Sebabnya jelas. Kasut latihan tapaknya nipis kerana ia tidak digunakan untuk jarak jauh, melainkan dekat sahaja seperti di gim.

Orang yang pergi ke gim mesti membeli kasut latihan. Tapak yang nipis amat baik untuk latihan kaki seperti squat dan sebagainya.

Sehubungan itu juga, kasut lari bukan sahaja bermanfaat untuk larian. Jikalau anda mahu melancong dan perlu berjalan kaki jauh, anda boleh memakai kasut lari. Nescaya, ia tidak akan mencederakan tumit anda.

Saya secara peribadi pun, sewaktu berjalan di Tokyo dahulu, saya memakai kasut latihan Under Armour, memang sakit tumit saya. Lain kali, pakailah kasut lari. Mudah untuk berjalan jauh.

Menurut laman web Asics, kasut lari elok dipakai bilamana kita perlu berjalan lebih daripada 5km.

Pilih kasut yang sesuai 

Ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan ketika memilih kasut:

  1. Tujuan. Kalau berjalan/berlari jauh, dapatkan kasut lari. Begitu juga sebaliknya.
  2. Tahap kusyen. Pilihlah kusyen yang tebal untuk tujuan berlari.
  3. Pergerakan lateral (kiri-kanan). Sekiranya aktiviti larian anda melibatkan banyak pergerakan lateral, maka anda perlu dapatkan kasut larian yang fleksibel tumit sisinya.
  4. Jenis tumit. Kalau anda bertumit lebar, carilah kasut yang bertumit lebar (flat foot).

Kesimpulannya, kedua-dua jenis kasut ini adalah amat penting sekali untuk dimiliki. Dapatkan kedua-duanya jika boleh.

Ini penting bagi kelancaran aktiviti sukan kita. Dan yang paling penting, elak daripada kecederaan.

Sadiq Salihoddin

Saya seorang penulis yang meminati sukan-sukan yang berorientasikan kekuatan (strength). Saya juga seorang atlet profesional gusti lengan yang bertapak di Kuala Lumpur. Saya menulis adalah untuk berkongsi pengetahuan. Saya berharap, perkongsian ilmu dengan cara begini secara tidak langsung dapat memperkembangkan literasi dalam bidang sains sukan umumnya. Selamat membaca!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: