Apa Nak Buat Kalau Makin Lama Makin Lemah?

Apabila anda sudah lama berlatih, saya berani jamin yang anda pernah merasa situasi ini di mana denga tiba-tiba sahaja anda menjadi lemah untuk 1-2 sesi latihan anda. Berat yang biasa anda buat 10 ulangan, mungkin hari ini dapat 4-5 ulangan sahaja. Apa dah berlaku?
Kebarangkalian besar, situasi tersebut berlaku hanyalah kerana terlebih latihan sahaja (overtraining). Boleh dikatakan (sebagai anggaran) yang anda patut menjangkakan sekitar 20% daripada jumlah latihan dalam program anda mungkin akan berlaku seperti itu. Sesi latihan menjadi kosong, kekuatan hilang entah ke mana perginya.
Tetapi, jangan biarkan kejatuhan yang sementara ini meracau minda anda selama-lamanya. Bertenang dan kekal fokus dengan program anda. Kehilangan 1-2 sesi adalah perkara normal. Apa kata anda pula ke rumah, makan, rehat, dan tidur untuk pulihkan tahap mental dan fizikal anda.
Dah baca artikel sebelum ini? Jika belum, klik di sini untuk membaca sekarang!
Saya Kehilangan Otot!
Ramai akan berfikir sedemikian, tatkala kekuatan makin menurun dan badan pula kelihatan seperti makin “susut”, semua berlari ketakutan melalak “otot saya dah makin hilang, kena masuk barang!” Sabar, kawan-kawan semua!
Jika anda berdiet dan ingin turunkan peratusan lemak badan, memang anda akan lihat perubahan pada saiz badan kerana lemak di simpan merata pada badan kita dan pembakarannya juga secara menyeluruh (tiada spot reduction). Dan, agak normal juga apabila anda berdiet, anda akan menjadi sedikit lemah daripada biasa kerana kemasukan kalori yang berkurangan daripada sebelum ini.
Sasaran anda sekarang adalah untuk cuba mengekalkan sebanyak mana kekuatan yang anda telah bina pada program latihan yang anda telah lakukan. Tetapi, sentiasa beringat, kehilangan sedikit adalah perkara biasa.
Kalau anda makan cukup, bukannya sedang berdiet untuk turunkan berat badan, semuanya cantik-cantik sahaja untuk latihan kekuatan tetapi anda masih tidak mampu membina atau mengekalkan tahap kekuatan anda, ini mungkin boleh kita anggapkan isu yang perlu kita baiki untuk elakkan pembaziran masa latihan.
Jawab Soalan-Soalan Ini
Jika anda masih mengalami masalah menjadi semakin lemah dalam latihan anda, cuba anda amati beberapa soalan ini dan fikirkan jawapan yang terbaik dengan situasi diri anda berada sekarang.
1. Adakah Anda Sedang Stress?
Stress boleh menjadi punca kepada kekacauan dalam latihan anda. Ia bukan sahaja mengganggu tahap mental untuk fokus pada latihan, tetapi turut menjejaskan kebolehan fizikal kita untuk memberikan prestasi terbaik.
2. Anda Tidur Cukup Sebelum Sesi Latihan?
Zaman sekarang, ramai yang asyik dan leka dengan telefon pintar mereka walaupun di ambang lena. Jasad sudah terbaring selesa diselubung selimut yang membebani badan sehingga sukar untuk bangun saat bilal memanggil untuk melakukan solat Subuh. Bila diselidik kembali kenapa susar benar nak bangun awal dengan perasaan segar-bugar laksana bunga memekar di awal pagi, rupanya mata masih terbuka luas jam 2-3 pagi bersama TikTok dan lain-lain lagi.
3. Adakah 1 latihan Sahaja Yang Terkesan?
Lihat kembali latihan-latihan sebelum ini, adakah ini kali pertama kekuatan anda hilang (secara berterusan beberapa hari) ataupun sesi-sesi sebelum ini semuanya baik-baik sahaja? Jika baik-baik, mungkin sesi kali ini sahaja yang tak kena. Datang lagi nanti, cuba semula.
4. Adakah Anda Baru Baik Sakit?
Sewaktu demam atau ditimpa sebarang sakit, kebanyakan daripada kita ambil keputusan untuk berehat daripada berlatih. Bagus juga, inilah masanya untuk anda betul-betul berehat dan biarkan badan pulih. Sesudah baik, ramai terus tergopoh-gapah nak berlatih dengan intensiti sama sebelum masa sakit. Sekali cuba angkat, oh beratnya kehidupan! Ambillah masa sedikit beberapa sesi dahulu sebagai “pengenalan” semula untuk biasakan badan balik selepas baru baik daripada apa-apa yang menyebabkan kita berehat seketika daripada gym.
Kesimpulan
Sengaja saya tunjukkan kegagalan saya untuk deadlift 242.6kg sebanyak 6-7 ulangan. Itu sasaran saya, 6-7 ulangan, tetapi saya hanya mampu buat 1 ulangan sahaja malam tadi. Lantas, muncullah ilham untuk menulis pada hari ini.
Jangan terlalu murung apabila anda mengalami sedikit kesukaran untuk mendapat kemajuan dalam latihan anda. Inilah sebabnya kita panggil perjalanan kecergasan sebagai maraton dan bukan larian pecut. Ia memakan masa, dan anda akan pelajari macam-macam benda hasil daripada pengalaman anda melalui situasi-situasi seperti ini dalam karier latihan anda.