Kegunaan Kinesiology Tape

Kinesiology tape sangat bagus untuk menyembuhkan dan membantu otot untuk bekerja dengan efisien
Pernahkah anda lihat atlet memakai pita atau tape yang berwarna biru, merah jambu atau hitam pada mana-mana bahagian pada badan mereka? Itu dipanggil sebagai kinesiology tape. Mungkin anda tertanya-tanya, apakah kegunaannya benda tersebut?
Sebenarnya, kinesiology tape merupakan sejenis pita yang dihasilkan dengan kapas atau campuran kapas. Ia bersifat anjal dan boleh diregangkan. Mudah sekiranya ia dilekatkan pada badan. Apabila badan kita bergerak secara lasak, ia tidak akan menjejaskan pita tersebut. Kinesiology tape boleh bertahan selama tiga hingga empat hari. Ia juga kalis air. Anda boleh menggunakannya untuk mandi.
Kenapa pakai kinesiology tape?
Sebabnya, ia berperanan untuk melindungi otot yang cedera di samping melancarkan peredaran darah di sekeliling otot berkenaan. Kalau anda sakit otot trisep, maka lekatkan tape tersebut pada bahagian berkenaan. Begitulah dengan yang lain-lain. Secara tidak langsung, pita ini dapat memberi ruang kepada otot yang cedera untuk sembuh meskipun aktiviti sukan tetap berlangsung.
Contohnya, kita boleh lihat atlet sukan badminton memakai tape tersebut ketika dia dalam perlawanan. Maksudnya di situ, otot atlet tersebut ada yang cedera, tetapi untuk mengelakkan prestasinya terjejas, dia mengenakan kinesiology tape pada ototnya. Tape ini bagus untuk para atlet yang sibuk dengan perlawanan sehingga tidak ada masa yang lama untuk ototnya sembuh.
Berikut dilampirkan kelebihan-kelebihan penggunaan kinesiology tape secara terperinci:
- Kurangkan sakit pada otot
- Meningkatkan perlancaran darah dan mengurangkan keradangan
- Menyokong otot: Bagi otot yang lemah, tape ini akan membantunya untuk bekerja dengan efisien lalu mengurangkan risiko kekejangan
- Meningkatkan prestasi sukan: Kinesiology tape memberi tekanan pada otot pasif dan menstabilkan sendi
- Menyembuhkan otot yang sakit meskipun sedang bersukan
Bagaimana hendak memakai tape berkenaan?
- Pastikan kawasan yang hendak dilekatkan kering, boleh sapu losen terlebih dahulu supaya tape tidak terlalu melekat
- Regangkan tape itu, barulah lekatkan pada otot menggunakan ibu jari
- Gosok tape itu agar benar-benar sudah melekat
- Untuk ia melekat secara penuh, biasanya mengambil masa 20 minit
Berikut pula merupakan cara-cara untuk menanggalkan kinesiology tape pada badan kita
- Boleh sapu losen di atas tape berkenaan supaya ia menjadi lembut dan senang untuk ditanggalkan
- Jangan tarik ke atas dan laju-laju, tanggalkan ia perlahan-lahan
Ringkasan
Jika anda selalu menggunakan badan anda untuk bersukan dan sebagainya, bolehlah pertimbangkan untuk memakai kinesiology tape. Ia mempercepatkan penyembuhan dan membantu otot bekerja dengan efisien. Mudah-mudahan anda jauh daripada sebarang kecederaan yang serius!
Rujukan
- Benefits of Kinesiology Tape. https://www.oaidocs.com/2018/09/14/benefits-of-kinesiology-tape/
- What Is Kinesiology Tape? https://www.healthline.com/health/kinesiology-tape