Kepentingan Tidur Bagi Perkembangan Otot

Tidur membantu perkembangan otot

Tidur mempunyai banyak manfaat. Tidak ada masalah untuk kita tidur. Cuma, kita perlu teliti dengan masa yang diambil. Sepatutnya, masa tidur adalah tidak terlalu banyak dan tidak terlalu sedikit. Jadi, yang sepatutnya itu berapa lama?

Kursus Kecergasan 2021

Susan L. Worley mengulas tentang kelebihan tidur secara saintifik berdasarkan kajian-kajian terdahulu.

Sebenarnya, orang yang kurang atau mengalami gangguan tidur adalah berkait rapat dengan pelbagai jenis penyakit, antaranya hipertensi, gangguan mood, diabetes, demensia dan lain-lain.

Sebab itulah, tidur adalah amat penting bagi kesihatan tubuh.

Kebanyakan kajian mengusulkan masa tidur yang ideal adalah sekitar 7 hingga 9 jam sehari. Ini juga tertakluk kepada gaya hidup kita juga. Ada orang yang cukup tidur dengan 6 jam dan sebagainya.

Masa yang diperuntukkan ini cukup bagi membantu tubuh berfungsi dengan baik.

Dengan masa tidur yang mencukupi, kognitif kita juga akan bertambah baik. Mood kita lebih gembira berbanding dengan orang yang kurang tidur.

Otak kita juga dapat berfikir dengan sihat.

Orang yang kurang tidur, mereka diperlihatkan lebih stres. Disebabkan itu, fikiran mereka kurang tenang dan kurang fokus pada pekerjaan harian.

Ini adalah kepentingan tidur secara umum.

Sekarang kita masuk kepada hubungan tidur dengan perkembangan otot.

Tidur dan perkembangan otot, apakah kaitannya?

Yanbo Chen dan lain-lain telah mengkaji kesan tidur kepada peningkatan kekuatan otot pada pelajar-pelajar universiti di China.

Kajian memperlihatkan mereka yang tidur dengan cukup, perkembangan otot mereka berlaku dengan baik. Sebaliknya, mereka yang kurang tidur, otot mereka susah hendak berkembang, apatah lagi dari sudut kekuatan.

Dengan itu, tidur yang cukup membantu perkembangan otot dengan lancar.

Sebab apa?

M Dattilo dan pengkaji-pengkaji lain dalam kertas kerja mereka memperjelaskan fenomena ini. Sebenarnya, ketika kita tidur, badan kita akan melepaskan hormon perkembangan (growth hormone).

Sehubungan itu, amat penting untuk kita tidur dengan cukup supaya pelepasan hormon tersebut berlaku dengan lancar lalu memulihkan otot yang dilatih.

Tanpa tidur yang cukup, pelepasan hormon tadi akan terganggu dan akhirnya mengakibatkan pemulihan otot juga akan terganggu.

Dalam bahasa yang lebih mudah, hormon perkembangan inilah yang melancarkan pemulihan otot.

Kesimpulannya, kita perlu tidur dengan cukup! Selepas sesi latihan beban, tidurlah dengan cukup. Jangan abaikan masa rehat. Otot memerlukan rehat supaya ia berkembang dengan lebih kuat dan besar.

Percayalah, otot kita akan lebih berkembang selepas kita mendapatkan tidur yang secukupnya.

Sadiq Salihoddin

Saya seorang penulis yang meminati sukan-sukan yang berorientasikan kekuatan (strength). Saya juga seorang atlet profesional gusti lengan yang bertapak di Kuala Lumpur. Saya menulis adalah untuk berkongsi pengetahuan. Saya berharap, perkongsian ilmu dengan cara begini secara tidak langsung dapat memperkembangkan literasi dalam bidang sains sukan umumnya. Selamat membaca!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: