Kepentingan Sauna kepada Perkembangan Otot

Kelebihan sauna pada perkembangan otot
Secara umumya, sauna ialah sejenis bilik atau ruang kecil yang tertutup bersuhu antara 65 hingga 90 darjah celsius.
Terdapat banyak manfaat yang ada pada sauna, antaranya ia menstabilkan emosi kita kerana sauna melepaskan endorfin, iaitu sejenis kimia semula jadi yang membuatkan emosi kita lebih baik. Bukan itu sahaja, sauna melancarkan peredaran darah di dalam badan kita. Jadi, fungsi seluruh badan akan menjadi lebih baik dan segar.
Dalam artikel ini, saya akan membincangkan hubungan antara sauna dengan perkembangan otot.
Sebelum apa-apa, izinkan saya membentangkan satu kertas kerja tentang implikasi sauna terhadap perkembangan otot.
Kajian ini dilakukan oleh Victor Toro dan lain-lain (2021). Tajuk kajian mereka ialah Effects of Twelve Sessions of High-Temperature Sauna Baths on Body Composition in Healthy Young Men.
Asasnya, pengkaji-pengkaji ini memerhatikan kesan sauna kepada perkembangan otot beberapa individu yang sudi menjadi sampel kajian.
Hasilnya, suhu panas sauna menyumbang kepada perkembangan jisim otot dan tulang.
Persoalannya, bagaimana hal ini boleh terjadi?
Nick English menerusi artikelnya Why Saunas Can Build Muscle, Boost Endurance, And Increase Strength telah menjelaskan fenomena tersebut.
Menurut beliau, sauna bukan sahaja membantu mengembangkan otot, ia juga meningkatkan kekuatan (strength) dan ketahanan (endurance) otot.
Kajian Michael N. Sawka dan C. Bruce Wenger (2011) telah mendapati sauna membantu meningkatkan ketahanan otot. Ini kerana sauna menambah baik kelancaran peredaran darah. Hasil daripada itu, oksigen dari otot dapat mengalir ke seluruh badan lalu mempercepatkan pemulihan otot.
Selain itu daripada itu, sauna membantu membesarkan otot menurut kajian. Bilamana kita bercakap tentang kesan hipertrofi, sauna juga bermanfaat bagi mengecapi matlamat pembesaran otot. Ini semua berpunca daripada pelepasan hormon perkembangan (growth hormone) kesan daripada suhu sauna.
Bagi peningkatan kekuatan otot pula, tidak ada kajian yang membuktikan hal tersebut secara langsung. Namun, secara tidak langsung, sauna membantu memulihkan otot yang “rosak” selepas sesi latihan beban dengan lebih pantas. Ini menyimpulkan bahawa sauna membantu meningkatkan strength.
Akhir sekali, pakar menyarankan kita untuk mengamalkan sauna sekurang-kurang 20 minit bagi satu sesi. Selepas melakukan latihan beban adalah masa yang terbaik.