Latihan Menggunakan Kasut atau Kaki Ayam?

Sejak zaman sekolah rendah kita pernah dididik oleh guru Pendidikan Jasmani yang menggunakan kasut sewaktu melakukan senaman dianggap sebagai bahagian penting dalam senaman yang baik. Tetapi akhir-akhir ini ramai jurulatih dan pakar kesihatan menggalakkan orang lain untuk mencuba bersenam tanpa alas kaki atau kaki ayam. Saya sendiri pernah dihukum oleh guru PJ kerana saya menyuarakan kepada beliau yang Arnold Schwarzenegger melakukan senaman berkaki ayam di filem dokumentasi berjudul Pumping Iron dan kenapa saya dilarang untuk menyertai sessi PJ berkaki ayam. Artikel kali ini membahas mengenai topik melakukan latihan kaki ayam dengan bukti klinikal melalui kajian-kajian terkini.

 

Kasut sukan boleh menawarkan sokongan, keselesaan dan kestabilan untuk membantu atlet cemerlang dalam sukan mereka dan mengelakkan kecederaan di gim. Tetapi ada yang mengatakan bahawa bersenam tanpa kasut memberikan pelbagai faedah lain seperti mobiliti yang lebih baik dan kesedaran proprioseptif yang lebih optimal. (1, 2)

 

Dr. Anna Balabanova menjelaskan yang bersenam tanpa alas kaki juga boleh memberi manfaat kepada kaki itu sendiri. Apabila orang berkaki ayam, otot kaki mereka perlu bekerja lebih keras kerana mereka tidak mempunyai sokongan yang disediakan oleh kasut sukan. Beliau juga menyatakan yang berkaki ayam memerlukan anda mempunyai lebih banyak kestabilan buku lali dan boleh meningkatkan sokongan plantar. (3)

 

Menurut kajian yang dilakukan oleh Ridge et al bersenam kaki ayam meningkatkan keupayaan untuk merenggangkan jari kaki anda yang mewujudkan permukaan sentuhan yang lebih besar dengan lantai dimana ia memberi kestabilan yang lebih besar. Bukan itu sahaja, malahan  senaman berkaki ayam juga boleh membantu menyesuaikan semula kaki yang telah berubah bentuk dari semasa ke semasa kerana kasut, sesuatu yang sangat memberi kesan kepada kestabilan.(4)

Kursus Kecergasan 2024

 

Senaman atau latihan berkaki ayam boleh mengurangkan atau menghilangkan pronasi kaki; ini kerana ia menguatkan kaki dan memperbaiki tona otot membolehkan lengkungan naik. Kajian oleh Ridge et al yang melibatkan lima puluh tujuh (n: 57) pelari menunjukkan bahawa memakai kasut minimalis boleh membantu menguatkan kaki. Keputusan menunjukkan bahawa berkaki ayam boleh sama berkesan dengan melakukan senaman kaki untuk menguatkan kaki.(4)

 

Berkaki ayam adalah fitrah manusia. Secara semula jadi ia adalah bagus untuk kita kembali kepada sifat semula jadi kita dengan mempelajari semula corak pergerakan kita dan meningkatkan penglibatan otot meningkatkan pengaktifan proprioseptor, koordinasi, kestabilan dan keseimbangan tubuh kita. Disamping itu, ini seterusnya membawa kepada sendi yang lebih sihat dan pengurangan ketara kepada risiko kecederaan, menjadikan kita lebih cekap dari segi biomekanik. (5)

 

Namun kajian yang dilakukan oleh Brian et al melaporkan yang individu yang melakukan latihan berkaki ayam dan menggunakan kasut tidak menunjukkan perbezaan yang ketara dalam lompatan menegak ketinggian, kekuatan maksimum tubuh, kelajuan pecut, dan ketangkasan. Bukan itu sahaja, malahan kajian ini juga melaporkan yang tiada peningkatan dalam mana-mana ukuran prestasi olahraga antara keadaan berkaki ayam dan bersepatu ketika latihan kekuatan selama 8 minggu.(1)

 

Kesimpulannya, jika menggunakan kasut adalah merupakan peraturan gim anda makan anda harus mematuhi peraturan atau etika di gim anda. Jika gim anda membenarkan anda melakukan latihan kaki ayam anda boleh melakukan latihan kaki ayam tetapi anda harus ingat yang kasut membantu dalam melindungi kaki anda dari cedera atau patah tulang jika berlaku kemalangan di gim seperti terjatuh dumbbell atau plate bebanan di atas kaki anda.

 

  1. Kownacki BR. Effects of Barefoot Strength Training on Athletic Performance: Southern Connecticut State University; 2018.
  2. de Villiers JE, Venter RE. Barefoot training improved ankle stability and agility in netball players. International Journal of Sports Science & Coaching. 2014;9(3):485-95.
  3. Ring M, Mehta DH, Majd I, Balabanova Shannahan A. FOODWISE (Fostering Optimal Outcomes through Dietary Wisdom, Integration, Spirituality, and Emotionality): A New Model of Integrative Culinary Medicine. Journal of Integrative and Complementary Medicine. 2024;30(2):95-8.
  4. Ridge ST, Olsen MT, Bruening DA, Jurgensmeier K, Griffin D, Davis IS, et al. Walking in minimalist shoes is effective for strengthening foot muscles. 2018.
  5. Sánchez-Ramírez C, Alegre LM. Plantar support adaptations in healthy subjects after eight weeks of barefoot running training. PeerJ. 2020;8:e8862.

 

Dr. Vishnu Raj .S

Vishnu Raj

Saya adalah Dokter perubatan ( MD, Hasanuddin University), pemegang ijazah sarjana Masters in Public Health (MPH, University of Malaya) dan jurulatih peribadi bertauliah (CPT NASC) yang berminat dalam sukan bina badan dan pemakanan sihat. Objektif utama saya adalah memerangi ” Fad Diet ” dan ” Bro Science ” dengan mengongsi artikel yang disokong oleh fakta dan bukti saintifik.

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: