Minat Sukan Orang Kuat, Tapi Nak Mula Dari Mana?

Anda minat dengan sukan orang kuat atau strongman, tetapi anda tidak tahu hendak mula dari mana? Mari saya tunjukkan kepada anda.
Dalam sejarah, sukan orang kuat ini tidak dipertandingkan, tetapi sebagai satu pertunjukan. Selepas beratus tahun, barulah ia menjadi satu sukan yang sistematik. Sekiranya anda sangat berminat untuk menembus kapasiti fizikal anda untuk menjadi sekuat yang anda boleh, maka sukan orang kuat adalah sesuai untuk anda. Sukan ini bukan sekadar untuk “tunjuk kuat”, malah sangat teraplikasi dalam hal-hal lain seperti mengangkat barang, seni bela diri, tulang lebih kuat dan susah untuk patah dan macam-macam lagi. Jikalau anda tidak berminat untuk bertanding dalam sukan ini pun anda tetap akan dapat manfaat yang besar daripada latihan orang kuat.
Sejarah Ringkas Sukan Orang Kuat
Menurut Physical Culture Study, setiap tamadun manusia mempunyai budaya orang kuatnya yang tersendiri seperti China pada 6000 Sebelum Masihi. Selain daripada China, Mesir dan Yunani juga mempunyai pertunjukan khas orang kuat. Pada zaman tersebut, rata-rata orang kuat akan menayangkan kekuatannya dengan mengangkat benda-benda biasa seperti batu besar, batang pokok yang tebal dan hatta orang sekali pun.
Kelebihan Sukan Orang Kuat
Pertama, sukan ini memperkuat keseluruhan badan anda. Maka, kefungsian badan anda akan bertambah baik. Anda akan lambat penat, lambat lesu dan sebagainya.
Bagaimana Hendak Bersenam Seperti Orang Kuat di Gim?
Anda perlu melebihkan latihan-latihan kompoun seperti bench press, squat, deadlift dan sebagainya. Ini adalah kerana sukan orang kuat hendak mengaktifkan seberapa banyak otot yang boleh. Maka, latihan isolasi hendaklah dilakukan yang paling akhir.
Sepertimana yang anda ketahui, latihan orang kuat mempunyai barangannya yang tersendiri. Namun, ini tidak bermakna anda tidak boleh berlatih di gim dengan menggunakan beban di gim.
Aiman Radzi telah membincangkan senaman-senaman orang kuat yang biasa dipertandingkan seperti rack pull, zercher squat, barbell push press dan lain-lain.
Sebagai pemula, anda boleh menyesuaikan pergerakan sebenar dalam pertandingan orang kuat dengan latihan-latihan biasa di gim, contohnya:
- Anda boleh gantikan rack pull dengan deadlift.
- Zercher squat dengan front barbell squat.
- Barbell push press dengan military press.
- Farmer’s walk dengan farmer’s walk yang menggunakan dumbel.
Sebagai pemula juga, anda boleh lakukan kadar pengulangan yang biasa seperti 6 hingga 12 rep. Selepas otot anda sudah biasa dengan beban yang berat, anda boleh ke tahap yang lebih tinggi, iaitu kadar repetisi kekuatan 1 hingga 5 rep. Kadar repetisi yang rendah ini akan mengakibatkan seluruh badan anda lesu kerana badan anda akan berhempas pulas untuk mengangkat beban tersebut. Sebab itulah, rata-rata pakar menyarankan supaya anda berehat dengan lebih lama sekiranya anda melakukan kadar repetisi yang rendah dan beban yang sangat berat.
Cara Pemakanan
Asasnya, ada perlu makan lebih daripada pengambilan harian kalori anda. Atlet-atlet orang kuat akan makan dengan sangat banyak kerana mereka memerlukan tenaga yang sangat banyak juga. Seperti yang dibincangkan sebelum ini, bukan mudah untuk mengangkat beban yang hampir 100 peratus kapasiti fizikal anda. Maka, anda memerlukan tenaga yang banyak.
Dato’ Zaki pernah menulis tentang bagaimana Robert Oberst makan: 20 ribu kalori sehari!
Kesimpulan
Jikalau anda merupakan pemula kepada sukan orang kuat, mulakan dengan latihan-latihan kompoun di gim anda. Anda juga boleh lakukan latihan-latihan yang pergerakannya sama dengan yang dipertandingkan di sukan orang kuat.
Lama-kelamaan, anda boleh aplikasikannya pula dalam medan yang sebenar sukan orang kuat.