Mitos Menendang Pokok Pisang untuk Kuatkan Kaki

Sekiranya merupakan seorang peminat Muay Thai, anda pasti biasa melihat sesetengah pengamal yang menendangkan pokok pisang untuk membuktikan daya tendangan mereka.

Apabila pokok yang ditendang itu tumbang, maka itu mencerminkan betapa kuatnya daya tendangannya.

Namun, tahukah anda, menendangkan pokok pisang adalah satu mitos dan tidak wajar dipraktikkan?

Kursus Kecergasan 2024

Ada satu artikel yang membahaskan mitos menendang sesuatu benda yang keras untuk menguatkan tulang kering (bahagian hadapan kaki bawah). Menurut beliau, itu semua semata-mata untuk pertunjukan sahaja.

Menendang pokok pisang, kayu dan sebagainya bukanlah sebahagian daripada latihan Muay Thai.

Sebelum itu, anda perlu tahu bahawa penulis artikel yang dirujuk ini merupakan pengamal sukan Muay Thai lebih daripada 10 tahun.

Jadi, kita sedang sama-sama membaca perbincangan daripada ahlinya sendiri, bukan saya yang memandai-mandai.

Menendang pokok pisang adalah tidak praktikal

Ya, penulis menegaskan bahawa menendang pokok pisang untuk menguatkan tulang kering adalah tidak praktikal.

Sebaliknya, untuk menguatkan tulang kering, kita hanya perlu berbalik kepada asas sahaja seperti berlari/berjoging, latihan beban, menendang pad dan sebagainya.

Ini juga dibincangkan dalam artikel-artikel lain seperti Fight Quality, Suma Lee dan lain-lain.

Semua penulis atau persatuan Muay Thai yang berautoriti mengatakan perkara yang sama, iaitu menendangkan benda-benda keras untuk menguatkan tulang kering adalah tidak patut dipraktikkan sama sekali.

Apatah lagi, menendangkan benda-benda itu semua boleh membawa kepada kecederaan. Ini sudah tidak selari dengan matlamat seorang pengamal sukan mempertahankan diri, iaitu bersiap sedia untuk lawan.

Kalau sudah terdedah kepada risiko kecederaan, bagaimana hendak melawan?

Jadi, senaman yang diperlukan hanya yang asas sahaja.

Masalah sesetengah pengamal sukan tertentu adalah suka untuk melakukan sesuatu yang kelihatan hebat dan luar biasa, tetapi tidak selari dengan pandangan pakar.

Kata-kata pakar adalah untuk mengemukakan apa yang berkesan dan apa yang tidak berkesan.

Jadi, kita sebagai pengamal sukan perlulah memanfaatkan pandangan-pandangan mereka untuk meningkatkan prestasi kita dengan sistematik.

Cara-cara menguatkan tendangan

Asas-asas untuk menguatkan tendangan.

  • Teknik

Kadang-kadang, kita terlepas pandang terhadap teknik kita melalukan tendangan itu sendiri. Di sini, amatlah baik untuk kita merujuk jurulatih yang berwibawa.

Ini adalah kerana mereka mampu nampak kesalahan-kesalahan halus yang kita buat.

Contohnya, pergerakan menendang adalah melibatkan keseluruhan anggota badan meskipun yang menyerang sesuatu permukaan itu adalah hanya kaki.

Tangan anda perlu memainkan peranan sebagai momentum.

Pinggang anda perlu putar supaya dapat menendangkan dengan kuat.

Jadi, anda perlu sentiasa menyemak teknik anda menendang supaya tendangan itu berlaku dengan efektif dan eksplosif.

  • Senaman-senaman pliometrik

Senaman pliometrik adalah senaman yang berasaskan pergerakan eksplosif seperti jumping squat, clapping push up dan sebagainya.

Anda perlu lazim melakukan senaman-senaman pliometrik supaya pergerakan anda melemparkan sesuatu serangan adalah kuat dan eksplosif.

Kesimpulan

Untuk menguatkan tendangan, yang kita perlukan adalah yang asas. Jangan pergi menendang benda-benda keras seperti pokok pisang dan sebagainya.

Itu akan mencederakan kaki dan melambatkan proses untuk jadi kuat.

 

 

Sadiq Salihoddin

Saya mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia penulisan. Saya telah mengarang empat naskhah buku. Sekarang, saya sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya dalam bidang manuskrip Melayu. Kini, saya juga merupakan atlet amatur gusti lengan kategori paling berat (105kg+).

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: