Pola Pemakanan Sihat Semasa Perayaan Deepavali

Deepavali adalah perayaan kegembiraan, kebersamaan, dan menikmati pelbagai hidangan bagi komuniti India di Malaysia. Penuh dengan tradisi, perayaan Deepavali di Malaysia sering kali menampilkan sajian manisan tradisional, kuih muih atau makanan ringan serta hidangan yang enak bersama keluarga dan sahabat. Walaupun menikmati hidangan perayaan adalah sebahagian daripada kemeriahan, adalah penting untuk mengamalkan pemakanan yang sihat agar dapat menikmati perayaan ini dengan sepenuhnya. Berikut adalah beberapa panduan yang praktikal untuk membantu masyarakat India Malaysia dan juga rakyat Malaysia yang ingin menikmati dan menyambut perayaan Deepavali dengan cara yang lebih sihat.

 

Pada musim Deepavali, manisan tradisional seperti murukku, athirasam, dan payasam sering disajikan, yang kesemuanya mengandungi kandungan gula dan lemak yang tinggi. Sajian Deepavalai wajib dimakan jika anda tidak bersedia untuk bertanding dalam pertandingan bina badan maka, sebagai alternatif daripada mengelakkan hidangan ini, amalan kawalan saiz hidangan dapat membantu mengawal pengambilan kalori. Sebagai contoh, cuba ambil sajian yang lebih kecil daripada setiap sajian atau porsi dan nikmati setiap suapan dengan perlahan. Kajian menunjukkan bahawa kawalan saiz hidangan dapat meningkatkan kepuasan tanpa perlu makan berlebihan, menjadikannya pendekatan yang berguna semasa perayaan. (1)

 

Bukan itu sahaja para pembaca, malahan resipi tradisional Deepavali boleh disesuaikan dengan menggunakan bahan atau ramuan yang lebih sihat dan menepati cita rasa tempatan. Gantikan gula putih dengan alternatif seperti gula Melaka atau kurangkan jumlah gula dalam manisan seperti kesari dan ladoo. Untuk pilihan makanan ringan, cuba gunakan kaedah memasak seperti air fryer atau kurangkan minyak dalam sajian seperti masala vadai. Kajian menunjukkan bahawa perubahan kecil seperti ini dapat membantu mengurangkan pengambilan lemak tepu dan gula. (2)
Kursus Kecergasan 2025

 

Amalan makan secara berfokus, iaitu memberi tumpuan penuh saat makan membantu mengelakkan makan secara berlebihan. Di kalangan masyarakat India Malaysia, hidangan sering dinikmati Bersama ahli keluarga dan kawan-kawan yang melawat, menjadikannya waktu yang sesuai untuk mengamalkan tabiat makan secara berfokus. Kajian menunjukkan bahawa makan secara berfokus boleh membantu mengawal pengambilan makanan dan meningkatkan kepuasan. (3) Dengan melambatkan tempo makan, menikmati rempah dan rasa unik resipi tradisional, dan menyaji makan dalam suasana kekeluargaan menjadikan perayaan Deepavali lebih bermakna dan sihat.

 

Dengan penggunaan nasi dan kari dalam hidangan Deepavali, adalah baik untuk menyeimbangkannya dengan makanan yang mengandungi fibre atau serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Mulakan hidangan dengan pengambilan buah-buahan tempatan yang segar atau mengambil sajian berasaskan sayur-sayuran seperti thoran atau dal sayur untuk menambah serat dan menyokong sistem pencernaan. Diet tinggi serat dikaitkan dengan kesihatan metabolik yang lebih baik dan dapat mengimbangi kekayaan makanan perayaan, menjadikan anda lebih kenyang walaupun dengan pengambilan kalori yang kurang. (4)

 

Tanbahan, cuaca di Malaysia pada musim Deepavali tahun ini yang panas dan lembap menjadikan hidrasi penting untuk kesihatan. Kerap kali, tubuh keliru antara kehausan dengan kelaparan, yang boleh menyebabkan pengambilan makannan yang berlebihan. Minum sekurang-kurangnya lapan gelas air atau mengambil minuman seperti air kelapa dapat membantu. Mengekalkan hidrasi menyokong pencernaan dan tahap tenaga, memastikan anda kekal bertenaga sepanjang perayaan. (5)

 

Manisan Deepavali adalah sebahagian daripada kemeriahan perayaan dengan pelbagai pilihan seperti jalebi, kesari, dan halwa. Menikmati manisan ini secara sederhana membantu mengelakkan peningkatan gula darah sambil membolehkan anda menikmati keenakan manisan perayaan. Mengurangkan minuman bergula juga merupakan pendekatan yang baik dan sebagai alternatif cubalah teh masala tanpa gula atau lassi atau mooru yang rendah gula dan memberikan kesan penyejukan yang sesuai dengan iklim tropika. Kajian mengesahkan bahawa pengambilan gula secara sederhana membantu mengurangkan pengambilan kalori dan menyokong kesihatan keseluruhan. (6)

 

Untuk mengimbangi peningkatan pengambilan kalori, kekal aktif secara fizikal dapat menambah keceriaan dan tenaga kepada perayaan. Aktiviti seperti berjalan-jalan bersama keluarga, sesi tarian tradisional, atau bermain dengan kanak-kanak boleh membantu membakar kalori daripada sajian Deepavali yang enak dan lazat. Kajian menunjukkan bahawa aktiviti fizikal sederhana dapat membantu keseimbangan metabolik dan meningkatkan mood, yang secara langsung sangat bermanfaat untuk perayaan meriah seperti Deepavali. (7)

 

Deepavali adalah musim dan perayaan untuk meraikan tradisi, bergembira bersama keluarga, dan menikmati cita rasa unik masyarakat India di Malaysia. Bukan itu sahaja, malajan dengan mengamalkan amalan pemakanan yang seimbang dan berfokus, anda boleh menikmati perayaan dengan penuh kegembiraan tanpa mengabaikan kesihatan. Semoga Deepavali ini membawa cahaya, kesihatan, dan kebahagiaan kepada anda dan keluarga tersayang. Selamat Hari Deepavali!

 

Rujukan

  1. Wansink B, Sobal J. Mindless eating: The 200 daily food decisions we overlook. Environment and Behavior. 2007;39(1):106-23.
  2. Lichtenstein AH, Appel LJ, Brands M, Carnethon M, Daniels S, Franch HA, et al. Diet and lifestyle recommendations revision 2006: a scientific statement from the American Heart Association Nutrition Committee. Circulation. 2006;114(1):82-96.
  3. Mason AE, Epel ES, Aschbacher K, Lustig RH, Acree M, Kristeller J, et al. Reduced reward-driven eating accounts for the impact of a mindfulness-based diet and exercise intervention on weight loss: Data from the SHINE randomized controlled trial. Appetite. 2016;100:86-93.
  4. Slavin JL. Fiber and prebiotics: mechanisms and health benefits. Nutrients. 2013;5(4):1417-35.
  5. Popkin BM, D’Anci KE, Rosenberg IH. Water, hydration, and health. Nutrition Reviews. 2010;68(8):439-58.
  6. Rehm J, Baliunas D, Borges GLG, Graham K, Irving H, Kehoe T, et al. The relation between different dimensions of alcohol consumption and burden of disease: an overview. Addiction. 2009;105(5):817-43.
  7. Warburton DE, Bredin SS. Health benefits of physical activity: a systematic review of current systematic reviews. Current Opinion in Cardiology. 2017;32(5):541-56.
Dr. Vishnu Raj .S

Vishnu Raj

Saya adalah Dokter perubatan ( MD, Hasanuddin University), pemegang ijazah sarjana Masters in Public Health (MPH, University of Malaya) dan jurulatih peribadi bertauliah (CPT NASC) yang berminat dalam sukan bina badan dan pemakanan sihat. Objektif utama saya adalah memerangi ” Fad Diet ” dan ” Bro Science ” dengan mengongsi artikel yang disokong oleh fakta dan bukti saintifik.

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: