Protein “Scam”: Kenapa Badan Masih Jadi?

Baru-baru ini, tular dakwaan bahawa beberapa jenama protein whey tempatan di Malaysia telah diuji oleh makmal pihak ketiga, dan hasilnya menunjukkan kandungan sebenar protein adalah jauh lebih rendah daripada yang dinyatakan pada label. Ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna suplemen dan komuniti kecergasan. Namun, ramai juga yang masih tertanya-tanya jika benar produk tersebut tidak mengandungi protein yang mencukupi, mengapa badan masih boleh “jadi”?

 

Jawapan kepada persoalan ini bergantung kepada banyak faktor. Peningkatan jisim otot bukan semata-mata ditentukan oleh suplemen protein sahaja. Ia juga bergantung kepada jumlah kalori harian, konsistensi latihan bebanan, kualiti tidur, tahap hormon, dan pemakanan keseluruhan [1]. Seorang individu mungkin mendapat cukup protein daripada makanan sebenar seperti ayam, ikan, telur dan susu, dan ini menyokong pertumbuhan otot walaupun suplemen yang diambil tidak berkualiti tinggi.

 

Namun begitu, mengambil produk yang tidak jujur dalam label pemakanan secara berterusan boleh membawa kesan negatif kepada kesihatan dalam jangka panjang. Jika produk itu sebenarnya tinggi kandungan gula atau karbohidrat ringkas, ia boleh menyebabkan peningkatan glukosa darah dan paras insulin, terutamanya jika diambil beberapa kali sehari [2]. Ini boleh menyumbang kepada rintangan insulin, iaitu keadaan di mana sel-sel badan menjadi kurang sensitif terhadap hormon insulin, sekaligus meningkatkan risiko pra-diabetes, obesiti, dan sindrom metabolik [3].

 

Bukan itu sahaja, malahan produk yang tidak diuji secara menyeluruh juga mungkin mengandungi logam berat, bahan cemar, atau bahan tidak dibenarkan seperti steroid tersembunyi [4]. Ini boleh memberi kesan buruk kepada fungsi hati, buah pinggang, dan sistem hormon dalam badan [5]. Sesetengah pengeluar juga menggunakan kaedah amino spiking, iaitu menambah asid amino murah seperti glycine atau taurine untuk meningkatkan bacaan nitrogen agar produk kelihatan seolah-olah tinggi protein ketika diuji secara makmal [6].

 

Walaupun kesan sampingan tidak kelihatan serta-merta, pengguna berisiko mengalami kerosakan organ secara perlahan-lahan, terutamanya jika produk diambil dalam jangka masa yang panjang. Selain itu, penggunaan produk yang tidak berkualiti juga adalah satu pembaziran dari sudut kewangan dan masa, kerana hasil yang diperoleh tidak setimpal dengan usaha dan pelaburan yang dibuat.

Kursus Kecergasan 2024

 

Dalam konteks ini, adalah penting bagi pengguna di Malaysia untuk menjadi lebih bijak dan berilmu dalam memilih suplemen. Pilih produk yang mempunyai label pemakanan yang telus, telah melalui ujian makmal pihak ketiga yang sah, dan mempunyai pensijilan seperti GMP, ISO, Informed-Sport, atau NSF Certified. Sekiranya ada sebarang keraguan, lebih selamat untuk mendapatkan protein dari sumber semula jadi yang terjamin kualitinya.

 

Kesimpulannya, walaupun ada individu yang masih boleh membina otot walaupun menggunakan suplemen yang diragui, ia bukan satu justifikasi untuk mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan jangka panjang. Matlamat membina badan bukan sekadar untuk “badan jadi”, tetapi untuk kekal sihat, bertenaga, dan berfungsi secara optimal dalam jangka masa panjang.

 

 

Rujukan

 

  1. Phillips SM. A brief review of critical processes in exercise-induced muscular hypertrophy. Sports Med. 2014;44(Suppl 1):S71–7.

 

  1. Ludwig DS. The glycemic index: physiological mechanisms relating to obesity, diabetes, and cardiovascular disease. JAMA. 2002;287(18):2414–23.

 

  1. Petersen KF, Shulman GI. Mechanisms of insulin action and insulin resistance. Physiol Rev. 2018;98(4):2133–222.

 

  1. Geyer H, et al. Nutritional supplements cross-contaminated and faked with doping substances. J Mass Spectrom. 2008;43(7):892–902.

 

  1. Maughan RJ, et al. Contamination of dietary supplements and positive drug tests in sport. J Sports Sci. 2004;22(9):697–706.

 

  1. Martinez-Sanz JM, et al. Safety of sports supplements: amino acids and protein. Nutrients. 2017;9(9):943.
Dr. Vishnu Raj .S

Vishnu Raj

Saya adalah Dokter perubatan ( MD, Hasanuddin University), pemegang ijazah sarjana Masters in Public Health (MPH, University of Malaya) dan jurulatih peribadi bertauliah (CPT NASC) yang berminat dalam sukan bina badan dan pemakanan sihat. Objektif utama saya adalah memerangi ” Fad Diet ” dan ” Bro Science ” dengan mengongsi artikel yang disokong oleh fakta dan bukti saintifik.

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: