100 Tekan Tubi Setiap Hari, Adakah Akan Membuatkan Kita Semakin Sado?

Tekan tubi merupakan senaman yang bagus untuk otot dada, bahu dan trisep

Jawapan mudahnya, tidak.

Saya lihat sudah ramai yang mempromosikan 100 tekan tubi setiap hari. Ramai juga youtuber, tik toker dan sebagainya melakukan rutin begini. Satu perkara yang menjadi masalah kepada saya ialah ketidakfahaman orang ramai terhadap bagaimana otot kita mengadaptasi terhadap suatu senaman.

Sebelum itu, saya perlu melakukan penafian:

  1. Saya tidak menentang untuk orang melakukan 100 tekan tubi setiap hari
  2. Saya tidak mengatakan ini merupakan rutin yang buruk
  3. Saya tidak menyuruh semua orang untuk berhenti melakukan tekan tubi

Tekan tubi merupakan satu senaman yang sangat bagus. Ia mengaktifkan otot dada, bahu depan dan trisep kita. Ia merupakan senaman yang mengaktifkan pelbagai jenis otot dan tidak berbentuk isolasi seperti tricep pushdown dan sebagainya.

Apa yang orang ramai terlepas pandang dengan rutin 100 tekan tubi ini?

Berapa banyak itu tidak penting

Ya, repetisi itu tidak penting. Yang penting ialah bagaimana kita mengawal pergerakan badan kita ketika melakukan senaman tersebut supaya otot mendapat kesan yang maksimum.

Sebab itu ramai sarjana yang mengutara repetisi dalam lingkungan 8 hingga 12 untuk hipertrofi. Sebab apa? Sebab repetisi sebanyak itu sahaja yang diperlukan. Jangan terlalu sibukkan repetisi banyak. Jangan cepat terpegun dengan kuantiti 100 tekan tubi itu. Tetapi, fikirkan tentang biomekanik ketika kita melakukan senaman berkenaan. Apakah kita melakukan tekan tubi yang julat pergerakannya penuh? Ada TUT (time under tension) yang mencukupi?

Ini perkara yang lebih kritikal untuk difikirkan. Bukannya “100” tekan tubi itu.

Quality over quantity. Selalu kita dengar, bukan? Maka, aplikasikanlah dalam sukan angkat berat ini. Kualiti sentiasa datang dahulu.

Otot kita mengadaptasi

Mungkin, awal-awal kita akan rasa sakit selepas melakukan 100 tekan tubi. Selepas itu, otot kita akan mengadaptasi dengan senaman tersebut, jadi bagaimana kita hendak beransur maju sekiranya kita kekal dengan kuantiti 100 tekan tubi sahaja?

Otot kita memerlukan cabaran lebih untuk ia terus berkembang dan menguat. Bukannya asyik mengulangi apa yang telah biasa ia lakukan.

Sibuk hendak menghabiskan senaman

Apabila kita mengangkat berat, kita perlu memberi intensiti yang tinggi kepada otot supaya ia berkembang dan menyesuaikan dirinya dengan cabaran atau beban baharu. Kuantiti tidak penting. Yang penting, kita berlatih dengan intensiti.

Jangan asyik nak menghabiskan kuantiti tekan tubi, tetapi feel tatkala melakukan senaman tersebut.

Apa matlamat anda?

Kalau matlamat anda adalah untuk membesarkan otot, maka 100 tekan tubi bukan satu rutin yang ideal. Anda perlu melakukan rutin yang berbentuk hipertrofi.

Cadangan

Cadangan saya cukup mudah. Kita perlu beri cabaran yang lebih kepada otot supaya ia terus beransur maju. Contohnya bagaimana? Begini:

  1. Cuba lakukan variasi tekan tubi yang berbeza seperti diamond push up, one handed push up, decline push up, dan sebagainya.
  2. Tingkatkan repetisi dalam satu set. Contohnya, dalam satu set itu, kita mampu melakukan 20 tekan tubi. Cuba lakukan 25. Paksa badan kita. 5 repetisi yang terakhir itulah yang membuatkan otot kita semakin menguat.
  3. Tambah set, maknanya daripada 100 tekan tubi, kita tambah sikit-sikit. Minggu ini, 100 tekan tubi. Minggu depan, 150 tekan tubi. Begitulah seterusnya.

Jangan lakukan perkara yang sama untuk terus beransur maju. Sebelum saya mengakhiri artikel ini, saya mengakui bahawa tekan tubi merupakan satu senaman yang sangat bagus. 100 tekan tubi juga merupakan satu rutin yang bagus. Cumanya, kita perlu memahami kembali lumrah angkat berat supaya kita tidak tersasar daripada matlamat sebenar kita.

Sadiq Salihoddin

Saya seorang penulis yang meminati sukan-sukan yang berorientasikan kekuatan (strength). Saya juga seorang atlet profesional gusti lengan yang bertapak di Kuala Lumpur. Saya menulis adalah untuk berkongsi pengetahuan. Saya berharap, perkongsian ilmu dengan cara begini secara tidak langsung dapat memperkembangkan literasi dalam bidang sains sukan umumnya. Selamat membaca!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: