Apakah itu Hidrasi? Bagaimana untuk Kekal Hidrat?

Untuk kekal sihat, kita sentiasa dengar perkataan hidrasi atau hidrat. Setiap orang perlu kekal hidrat dengan cara minum air kosong dengan secukupnya. Sebelum itu, adakah kita benar-benar faham tentang maksud hidrasi ini? Bagaimanakah sebenarnya badan kita kekal hidrat?
Mari kita bahaskan satu per satu.
Hidrasi itu sangat sinonim dengan air atau cecair dalam badan. Sebab inilah kita biasa dengar bahawa untuk kekal hidrat, kita perlu minum banyak air kosong. Ini tidaklah janggal sama sekali. Hidrasi menunjukkan keseimbangan cecair dalam badan kita. Oleh yang demikian, hidrasi adalah amat penting untuk kekal sihat.
Apakah itu Hidrasi?
Hidrasi merujuk kepada memasukkan air yang cukup ke dalam badan untuk menyokong kefungsian badan secara menyeluruh seperti pencernaan makanan, pengaliran darah, mengimbangkan suhu badan dan penyerapan kandungan nutrien. Tanpa badan yang hidrat, kesemua yang disebutkan ini tidak dapat berfungsi dengan baik. Kesannya, badan kita tidak akan bertenaga dan fungsional dengan kerja-kerja harian.
Badan kita adalah terdiri daripada kira-kira 60% sumber air. Dengan ini sahaja menunjukkan bahawa keseimbangan cecair dalam badan adalah amat penting untuk membantu fungsi fisiologi badan.
Badan kita memerlukan air dengan secukupnya. Untuk mengenal pasti berapa banyak air yang perlu kita minum, sila baca artikel berikut: Perlukah Kita Minum 8 Gelas Sehari?
Lapan gelas air sehari merupakan satu formula umum yang diguna pakai untuk menggalakkan kita minum air kosong dengan cukup. Hakikatnya, setiap di antara kita mempunyai keperluan yang berbeza-beza mengikut berat badan, tahap keaktifan badan dan sebagainya. Berapa Gelas Air Kena Minum Setiap Hari? membahaskan hal ini dengan ringkas.
Kepentingan Hidrasi
The Association of UK Dietitians menyenaraikan, terdapat beberapa kepentingn hidrasi kepada badan, iaitu:
- Regulasikan suhu badan: Berpeluh berperanan untuk menyejukkan badan. Hidrasi dapat membantu supaya badan berpeluh dengan baik. Ini bermakna, hidrasi membantu badan supaya meregulasikan suhu badan pada tahap yang optimum.
- Penyerapan nutrien: Setiap makanan yang kita makan ada sumber nutriennya. Maka, air berperanan untuk membawa sumber-sumber tersebut ke dalam sel supaya dapat menyokong kefungsian badan dengan menyeluruh.
- Buang bahan toksik dari badan: Anda perlu kekal hidrat supaya badan anda dapat menapis segala bahan toksik dalam badan. Kesannya, anda akan membuang (buang air kecil dan besar) bahan-bahan toksik tersebut. Ini menunjukkan bahawa hidrasi membantu kefungsian buah pinggang dengan baik.
- Pelincir kepada sendi: Hidrasi menyokong mobiliti dan fleksibiliti badan. Dalam erti kata yang lain, hidrasi bertindak sebagai pelincir dalam badan anda.
- Pencernaan yang baik: Pencernaan yang baik memecahkan kemasukan makanan supaya dapat diserap dengan baik. Jikalau anda tidak hidrat, anda akan cenderung untuk sembelit, sakit perut dan sebagainya.
Tanda-tanda Anda Tidak Hidrat
Antara tanda-antara yang menunjukkan badan anda tidak hidrat adalah seperti berikut:
- Air kencing berwarna gelap, hidrasi menunjukkan air kencing yang berwarna cerah
- Rongga mulut dan tekak yang kering
- Cepat lesu dan kepala pusing
- Sakit kepala
- Kurang kencing (bukan menipu rakan)
- Kulit kering
- Otot terasa kejang
Cara-cara untuk Kekal Hidrat
Antara cara-cara untuk kekal hidrat ialah:
- Minum air putih dengan konsisten dan berkala: Sekurang-kurangnya, anda perlu minum 8 hingga 10 gelas air setiap hari. Ini juga perlu mengambil kira faktor keaktifan badan, berat badan dan sebagainya.
- Makan makanan yang memudahkan hidrasi: Contohnya, buah-buahan yang mempunyai kandungan cecair yang tinggi seperti oren, tembikai, strawberi dan sebagainya.
- Mengimbangkan elektrolit: Sumber elektrolit akan banyak dilepaskan ketika anda melakukan aktiviti berintensiti tinggi. Jadi, anda perlu minum air yang mempunyai kandungan elektrolit seperti air kelapa, air isotonik dan sebagainya.
Kesimpulan
Hidrasi badan adalah amat penting untuk membantu kefungsian dalaman badan. Badan yang sihat adalah badan yang dapat berfungsi dengan sihat secara dalamannya. Ini dapat dicapai melalui mengekalkan hidrasi badan.