Bersenam Siang atau Malam Menurut Fakta Sains

Mari kita selesaikan perdebatan ini. Mana yang lebih baik? Bersenam pada waktu siang atau malam? Ada yang kata, bersenam pada waktu siang atau pagi adalah yang paling ideal kerana bersenam pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit. Sejauh manakah kebenaran dakwaan tersebut?

Artikel ini akan menyorot lebih daripada 10 artikel lain yang menulis tentang topik ini. Dalam 10 artikel tersebut, ada yang diterbitkan dalam jurnal, ada yang disiarkan dalam laman web sukan yang berwibawa dan sebagainya.

Tidak mengapa, demi mendapat jawapan yang pasti, sama-samalah kita membaca kajian-kajian terdahulu satu per satu.

Kursus Kecergasan 2025

Apa Kata Pakar?

Kata Amanda Capritto dan Giselle Castro-Sloboda dalam artikel mereka There Is an Ideal Time of Day to Exercise. Here’s What to Know, bersenam pada waktu siang (pagi dan petang) dan waktu malam masing-masingnya mempunyai kelebihan yang tersendiri.

Bersenam pada waktu pagi itu bagus untuk pembakaran lemak kerana perut kita masih kosong. Jadi, badan kita akan menggunakan lemak sedia ada sebagai tenaga untuk senaman tersebut. Kesannya, penurunan berat badan akan nampak lebih signifikan. Tetapi, kesan buruknya pula, badan kita tidak berada dalam keadaan yang optimum untuk bersenam. Contohnya, jikalau kita pergi ke gim di awal pagi, badan kita tidak “segar” seperti di waktu petang atau malam. Jadi, itulah antara kelemahan bersenam di awal pagi.

Bersenam pada waktu petang dan malam pula, kelebihannya ialah badan kita lebih segar dan optimum untuk melakukan kerja-kerja berat. Cuma, bersenam lewat sangat seperti pada waktu malam akan mengganggu tidur kita. Ini yang selalu dibangkitkan oleh mereka yang tidak pro kepada bersenam pada waktu malam. Sebab, tidur adalah sangat wajib bagi pemulihan otot, pengoptimuman metabolisme dan sebagainya. Kalau kita bersenam pada waktu malam, degupan jantung berlaku dengan pantas, maka akan mengganggu tidur kita. Kesannya, kitaran tidur akan terganggu.

Tetapi, penulis berpendirian bahawa tidak ada perbezaan yang signifikan pun antara bersenam pada waktu pagi, petang atau malam. Menurut mereka, yang penting adalah kita bersenam. Yang penting juga adalah kita menyusun jadual harian kita agar kita dapat bersenam tanpa mengganggu kitaran harian dengan baik. Jikalau kita berkelapangan pada waktu malam, maka jagalah masa bersenam dengan rapi agar sesi senaman tersebut tidak sampai mengganggu tidur kita.

Jamie Ducharme dalam artikelnya This Is the Best Time of Day to Work Out, According to Science berpandangan, tiada masalah pun untuk bersenam pada mana-mana waktu. Cuma, sekiranya kita harus memilih, waktu manakah yang paling ideal, maka waktu pagilah pemenangnya. Ini adalah kerana keadaan badan kita pada ketika itu adalah sangat ideal untuk menurunkan berat badan dan sebagainya.Tetapi, seperti yang dikatakan tadi, semua waktu adalah baik untuk bersenam kerana yang penting itu adalah kita bersenam.

Dr. Michael Dignault dalam Should you exercise first thing in the morning or at night? Here’s what research says mengklasifikasikan waktu bersenam mengikut matlamat senaman. Maksudnya, jikalau kita hendak membakar lemak dengan signifikan, maka dinasihatkan untuk bersenam pada waktu pagi kerana perut kita masih kosong. Namun, sekiranya kita mahu membina kekuatan otot dengan radikal, maka bersenam pada waktu petang atau malam adalah lebih ideal kerana badan kita pada waktu itu sudah bersedia untu kerja-kerja berat.

Gretchen Reynolds dalam artikelnya Is it better to work out in the morning or at night? mengemukakan kajian yang mengatakan waktu bersenam yang ideal ini adalah mengikut jantina. Lelaki lebih sesuai pada waktu petang dan wanita lebih sesuai pada waktu pagi. Kesimpulan ini didapati melalui satu kajian yang mengumpul ramai sampel antara lelaki dan wanita untuk melihat sejauh mana kesan senaman pada diri mereka. Hasilnya, perbezaan jantina membawa kesan yang berbeza mengikut waktu bersenam.

Eric Curry dalam Exercise Timing pula mengemukakan bahawa kajian terkini mendapati waktu bersenam yang ideal adalah pada waktu petang antara pukul 2 hingga 6 petang, khususnya untuk membina otot. Ini adalah kerana badan kita sudah bersedia untuk mencapai melakukan pergerakan maksimum. Dengan prestasi puncak badan ini dapatlah membakar kalori dengan banyak dan membina otot dengan signifikan.

Amanda Loudin dalam There is a best time of day to exercise and it may lead to better results menegaskan kajian yang pernah dibincangkan sebelum ini bahawa wanita lebih baik bersenam pada waktu pagi, manakala lelaki pada waktu petang. Kajian ini mendapati wanita lebih banyak membakar lemak, menurunkan gula darah dan sebagainya pada waktu pagi dan lelaki pada waktu petang.

Gabrielle Cassel dalam When Is the Best Time to Work Out? menyokong bahawa kajian kelebihan bersenam pada waktu pagi (tidak kira jantina) adalah lebih unggul berbanding pada waktu petang dan malam. Ini adalah kerana mempertimbangkan banyak perkara tahap emosi, kitaran tidur dan sebagainya. Bersenam pada waktu pagi lebih membuatkan kita gembira dan tidur kita lebih nyenyak.

Edward Cooper, Thomas Ling, Edward Lane and Annie Scott dalam Should I Work out in the Morning or the Evening? We Looked at the Science mengatakan bersenam pada bila-bila waktu pun bagus, bergantung pada matlamat kita: Pembakaran lemak lebih ideal pada waktu pagi, manakala pembinaan otot pada waktu petang dan malam.

Terdapat satu kertas kajian yang mengatakan bahawa bersenam pada lewat malam akan memberi kesan pada jantung kerana jantung berdegup dengan pantas akibat daripada senaman. Kajian tersebut berjudul Effects of vigorous late-night exercise on sleep quality and cardiac autonomic activity. Kata pengkaji, bersenam pada lewat malam tidaklah mengganggu tidur kita secara langsung, namun memberi kesan kepada autonomi jantung pada sejam awal kita tidur. Jadi, awal-awalnya, kita akan susah sikit untuk tidur.

Satu artikel di laman Harvard Health mengatakan bersenam pada waktu malam tidak mengganggu tidur, bahkan menggalakkan lagi tidur yang sihat. Siapa-siapa yang bersenam pada waktu malam, mereka akan tidur dengan lebih baik.

Dalam laman Healthline pula menyimpulkan bahawa bersenam pada waktu malam tidak memberi kesan apa-apa pun kepada badan, asalkan senaman tersebut sekurang-kurangnya selesai sejam sebelum tidur. Ini disimpulkan berdasarkan empat kajian yang disorot dalam artikel ini.

Satu artikel Kosmo! telah membincangkan bahawa berlakunya perbalahan antara bersenam pada waktu pagi dan malam di aplikasi X. Rata-rata warga maya telah berkongsi cerita bahawa ada kenalan mereka yang mati kerana bersenam pada waktu malam. Tambah mereka lagi, bersenam pada waktu malam melanggar fitrah kita.Hakikatnya, bersenam pada waktu malam (seperti dalam kajian sebelum ini) tidak dibuktikan dengan jelas bahawa ia berbahaya. Namun, kita hendaklah sentiasa berjaga-jaga dan bersenam mengikut kapasiti badan. Kalau kita lebih senang dengan bersenam pada waktu petang, maka lakukanlah sebaiknya. Jikalau kita lebih senang dengan bersenam pada waktu malam, maka lakukanlah dengan sebaiknya juga. Yang paling penting, listen to your body. Jangan badan sudah penat bekerja dan sebagainya, kita paksakan juga untuk bermain futsal atau badminton dengan intensiti yang sangat tinggi. Itu berbahaya, tidak kira waktu mana pun!

Nota: Setahun lepas ada diterbitkan artikel tentang bilakah waktu bersenam yang terbaik?

Kesimpulan

Hakikatnya, tiada waktu yang salah untuk bersenam. Kita boleh bersenam pada waktu pagi, petang dan malam. Kesemua waktu ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Dengan itu, kita harus peka dengan keperluan badan kita.

Kalau kita mahu membakar lemak dengan signifikan, maka bersenamlah pada waktu pagi. Kalau kita mahu membina otot dengan besar dan kuat, maka bersenamlah pada waktu petang. Kalau kita mahu memperbetul kitaran tidur kita, maka kita boleh pertimbangkan untuk bersenam pada waktu malam sebelum tidur. Semuanya ada manfaat. Pilihlah berdasarkan keperluan dan matlamat kita.

Yang penting, bersenam!

Sadiq Salihoddin

Saya mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia penulisan. Saya telah mengarang empat naskhah buku. Sekarang, saya sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya dalam bidang manuskrip Melayu. Kini, saya juga merupakan atlet amatur gusti lengan kategori paling berat (105kg+).

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: