Bolehkah Kita Sasar Tempat Bakar Lemak?
Boleh ke kita sasar tempat tertentu di badan untuk kita kurangkan saiz? Contoh, kecilkan lengan, buang lemak di perut dan sebagainya.
Setiap daripada kita memang ada sasaran tertentu. Saya sendiri sasar tangan 21 inci, perut 25 inci dan sebagainya. Tapi adakah ia mungkin terjadi? Perempuan biasanya masalah pada lengan, pinggul dan peha. Lelaki masalah di perut.

Di luar sana, terdapat banyak program yang sasarkan tempat tertentu, dan apabila anda ikut, disertai dengan pemakanan yang baik, ia beri kesan yang anda nak. Senaman perut akan menyebabkan lemak perut menurun contohnya. Walau bagaimana pun, ia bukan bukti kewujudan spot reduction. Tak semestinya anda hilang lemak daripada perut sahaja, boleh jadi daripada seluruh badan. Senaman meningkatkan penggunaan tenaga. Apabila anda bakar kalori lebih daripada yang masuk, badan akan mula menggunakan simpanan tenaga termasuk lemak. Ini lah prinsip keseimbangan dalam badan kita.
Seawal 1983, kajian daripada Katch et al, mengkaji adakah sit-up bantu bakar lemak di perut. Jawapannya tidak. Kajian-kajian seterusnya juga menunjukkan, anda boleh hilang jumlah lemak yang hampir sama walaupun tidak fokus kepada tempat tertentu saja. Kajian pada 2013, membawa 1 kumpulan peserta untuk berlatih leg press dengan 1 kaki, manakala sebelah kaki lagi tidak dilatih. Kaki yang dilatih tidak hilang lemak lebih banyak daripada kaki tidak dilatih. Pengurangan lemak lebih ketara di bahagian atas badan. Mereka yang gemuk lebih cenderung untuk turun bahagian perut dahulu termasuk lemak-lemak di sekeliling organ.
Ada banyak lagi kajian, dan boleh kata hampir semua kajian menunjukkan anda tidak boleh pilih lemak di bakar di bahagian mana. Ada juga kajian yang sokong spot reduction, cuma terlalu terhad. Kalau nak buat kesimpulan kata spot reduction adalah suatu mitos pun tak boleh. Masih banyak ruang kajian untuk dikaji. Mungkin entri akan datang saya akan kupas sendikit daripada kajian-kajian yang menyokong spot reduction itu wujud.




