Bolehkah Budak Sekolah Main Angkat Berat?


“Awak baru umur 13 tahun. Umur 16 baru boleh angkat berat. Nanti jadi pendek kalau angkat”
Semasa saya di tingkatan 3, minat terhadap bina badan amat membuak-buak, menyebabkan saya mempunyai keberanian masuk gym dan belajar mengangkat berat. Saya masih ingat suasananya, macam kandang latihan spartan dengan jeritan ‘One more reps lagi’
Walau bagaimanapun, seorang ‘sifu’ bina badan telah memberi ‘amaran’ kepada saya untuk angkat yang ringan sahaja dengan alasan ia akan merencatkan pertumbuhan badan saya jika angkat yang berat.
Dipendekkan cerita, saya mempunyai seorang kenalan yang bermain sukan Angkat Berat (Olympic Weightlifting). Pernah saya tanya bermula sejak bila lagi angkat berat. Dia jawab sejak sekitar tingkatan 2 lagi (saya tak ingat sebenarnya). Tingginya sama dengan tinggi saya iaitu sekitar 170cm.
Saya termenung sekejap. “kenapa dia angkat berat sejak sekolah tapi tak terencat pun ketinggian?”
Bagaimana teori ‘latihan bebanan tidak sesuai untuk kanak-kanak dan remaja’ boleh muncul?
Ia bermula dengan claim bahawa semasa mengangkat bebanan, ia akan menyebabkan berlakunya kerencatan dengan menekan Growth Plate pada tulang kanak-kanak/remaja yang masih membesar
Ditambah pula, ramai yang percaya bahawa tulang kanak-kanak dan remaja masih rapuh/tidak matang untuk menanggung beban. Dikhuatiri akan menyebabkan kecederaan, seterusnya menyebabkan kerencatan pertumbuhan. Tambahan pula, ramai juga atlet bina badan yang ‘katik’ jika bercakap dalam konteks tempatan. Maaf bukan body-shaming 😉
Terdapat satu laporan oleh Kato & Ishiko (1964) yang menyatakan bahawa kanak-kanak di Jepun yang bekerja sebagai buruh kasar memiliki paras ketinggian yang rendah. Ia secara tak langsung mengukuhkan lagi hipotesis bahawa sememangnya kerja berat akan menyebabkan berlakunya kerencatan kepada kanak-kanak.
Apa kata kajian moden kini?
Buat masa kini, masih BELUM ada lagi kajian yang menyatakan angkat berat bahaya untuk kanak-kanak/ remaja.
Berkenaan laporan yang dinyatakan tadi, ada beberapa perkara yang tidak dijelaskan oleh pengkaji iaitu dari segi nutrisi dan juga persekitaran. Faigenbaum (2001) menyatakan bahawa kanak-kanak jepun tersebut berasal di kawasan terpencil (Spesifiknya di kawasan pergunungan). Dengan persekitaran tersebut, semestinya sukar untuk mereka memperoleh nutrisi yang secukupnya untuk mereka membesar.
Pengkaji Robert M. Malina menyatakan bahawa latihan bebanan tidak akan menjejaskan tumbesaran dan kematangan sebelum dan semasa fasa akil baligh, selagimana ia dibawah pengawasan yang ketat oleh pelatih yang berpengalaman.
Faigenbaum et al pula menyatakan bahawa risiko untuk kanak-kanak/remaja cedera dalam sukan yang berimpak tinggi seperti ragbi, gimnastik, dan larian adalah lebih tinggi risikonya untuk mendapat physeal fracture dibandingkan dengan latihan rintangan dan sukan angkat berat.
Malahan, pengkaji D Caine et al menyatakan bahawa sukan bola sepak, hoki dan baseball mempunyai kadar kecederaan sebanyak 33.5%, disusuli dengan latihan rekreasi seperti berbasikal dan skateboarding (21.7%). Latihan angkat berat tidak mendominasi pun dalam kadar kecederaan. Hanya terdapat beberapa isu sahaja yang disebabkan oleh salah guna peralatan dan ketiadaan pengawasan yang ketat.
Beberapa pengkaji juga mendapati latihan angkat berat menguatkan formasi tulang dan kepadatan mineral tulang di awal usia . Ini secara langsung akan mengurangkan kecederaan semasa mereka bersukan.
Jadi, selamatkah untuk budak sekolah angkat berat?
Semestinya. budak sekolah masih selamat untuk belajar angkat berat dengan syarat adanya pengawasan daripada orang dewasa dan berpengalaman. Malahan, saya selalu berpendapat bahawa latihan bebanan mempunyai merit dalam meningkatkan lagi ketahanan badan dan juga kekuatan mental untuk anak-anak yang masih baru ini.
Terdapat satu kajian yang melakukan eksperimen terhadap kanak-kanak yang melakukan 1 reps max. Didapati bahawa kanak-kanak tersebut tidak mempunyai kecederaan di akhir kajian, apabila dilaksanakan dengan prosedur yang betul.
Namun, perlu saya ingatkan supaya tidak menyuruh anak anda untuk terus lakukan 1 reps max. Mulakan dengan asas teknik yang betul dan berat bebanan yang bersesuaian dengan kekuatannya.
Umur berapakah yang sesuai untuk mereka belajar angkat berat?
Setakat ini, kajian bercampur baur perihal usia yang sesuai. Namun pengkaji seperti Feigenbaum menyatakan bahawa usia yang ideal adalah sekitar 7 tahun keatas.
Antara figura terkenal yang berlatih bebanan pada usia muda

Antara atlet bina badan yang bermula angkat berat seawal 13 tahun adalah Lou Ferrigno. Dikatakan bahawa dia mula berlatih pada usia 13 tahun dek kerana terinspirasi dengan Steve Reeves. Lou juga ingin membina badan kerana ingin menjadi seperti watak komik kegemarannya, Hulk.
Ironinya, Lou mencapai ketinggian 196cm. Ironinya juga, Lou memegang watak sebagai Hulk ketika di usia 24 tahun.
Arnold Schwarzenneger juga berlatih pada usia 15 tahun. Ketinggiannya adalah 185cm.
Jadi, apa alasan tuan-tuan/puan-puan untuk tidak melatih anak anda berlatih bebanan?
Mesej yang disampaikan
Latihan bebanan bukanlah penyebab kepada kerencatan ketinggian. Isu seperti kecederaan adalah disebabkan oleh kurang pengawasan, teknik yang salah, dan salah guna peralatan bebanan. Pelbagai kebaikan jika anak anda memulakan latihan bebanan di awal usia seperti mengelakkan kecederaan jika bermain sukan yang lasak (Sukan tempur, ragbi, bola sepak dll), meningkatkan prestasi, dan meningkatkan kekuatan dan ketahanan.
Akhir kata, saya sentiasa berhasrat supaya latihan bebanan disinonimkan dengan anak muda di Malaysia. Sekiranya anda merasakan bahawa menghantar anak-anak ke latihan bola sepak adalah terlalu overrated, maka hantarlah anak anda untuk belajar mengangkat bebanan di gim.
Rujukan
1) Strength training for children and adolescents – A D Faigenbaum
2)Weight training in youth-growth, maturation, and safety: an evidence-based review – Robert M Malina
3) Physeal injuries in children’s and youth sports: reasons for concern? – D Caine et al
4) Bone mineral density in elite junior Olympic weightlifters- B P Conroy et al
5) Maximal strength testing in healthy children – Faigenbaum et al
Perkongsian yg sgt2 baik…teruskan brada
Terima kasih abg lan..Dah boleh ajar anak2 nanti angkat berat