Definisi Diet

Diet mengikut definisi adalah jumlah makanan yang diambil oleh seseorang atau organisma lain. Diet bukan bermaksud untuk pengurusan berat badan semata-mata. Diet boleh jadi baik, boleh jadi tak baik. Setiap individu ada diet yang spesifik. Mereka dengan masalah kanser, ada dietnya tersendiri. Perempuan mengandungi, ada diet yang perlu diikuti. Atlet sukan perlukan diet yang sesuai dengan sukan mereka. Diet atlet bina badan tak sama dengan atlet sumo sebagai contoh. Jadi diet bukan bermaksud turunkan berat badan.
Diet boleh dipengaruhi oleh budaya, citarasa peribadi, gaya hidup dan sebagainya. Diet yang disarankan adalah pemakanan lengkap dengan pengambilan kesemua makronutrisi iaitu karbohidrat, protein, lemak dan air. Selain itu dilengkapkan dengan vitamin, mineral dan serat. Peratusan makro ditentukan oleh keperluan individu tersebut. Kita tak boleh sama ratakan keperluan semua. Tabiat dan pilihan pemakanan memainkan peranan penting dalam kualiti kehidupan, kesihatan dan umur panjang.
Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi pemakanan kita iait faktor dalaman dan luaran. Faktor dalaman termasuk genetik, metabolisme dan sebagainya. Manakala faktor luaran termasuk kegiatan, aktiviti harian dan sebagainya. Keperluan kalori keseluruhan untuk setiap individu berbeza-beda bergantung pada jantina, usia, berat, tinggi dan sebagainya. Terdapat banyak formula mengira keperluan kalori. Pakar secara umum mencadangkan Formula Harris Benedict.