Lompat Bintang dan Tali Skip: Banyak Bakar Kalori?

Dua senaman ini merupakan senaman pliometrik kerana kedua-duanya bersifat eksplosif. Untuk melakukan dua senaman tersebut, degupan jantung kita akan menjadi lebih laju. Kesihatan kardiovaskular kita juga akan bertambah baik.

Namun, mungkin kita tertanya-tanya, mana satu senaman yang lebih banyak membakar kalori, lompat bintang atau tali skip?

Kursus Kecergasan 2024

Artikel ini akan membincangkan perbezaan antara dua senaman kardio. Jikalau anda mahu belajar tentang perbezaan antara senaman angkat beban dan kardio, anda boleh baca artikel berikut: Senaman Kardio VS Senaman Bebanan: Pilih Yang Mana?

Apakah Perbezaan Lompat Bintang dan Tali Skip?

Dari segi pergerakan, kedua-dua senaman melibatkan pergerakan melompat. Namun, perbezaannya: Lompat bintang memerlukan anda untuk menghayunkan kedua-dua tangan ke atas dan ke pinggang, manakala tali skip memerlukan anda untuk menghayunkan tali melepasi keseluruhan badan anda. Kalau ikutkan pergerakan tangan sahaja, lompat bintang lebih memenatkan tangan anda kerana anda perlu menghayun dengan julat pergerakan yang lebih panjang. Tetapi, tali skip pula lebih memenatkan pergelangan tangan anda kerana anda perlu menghayunkan tali.

Dari segi kelebihan, kedua-duanya menyasarkan hal yang sama: Membakar kalori dengan signifikan, menguatkan otot kaki dan sebagainya. Namun, kalau dari segi pembakaran kalori, Inspire US berpandangan, lompat bintang adalah lebih baik. Pertama, mobilitinya lebih menyeluruh kerana lompat bintang menghayunkan tangan dengan julat pergerakan yang lebih panjang. Kedua, pergerakan. Lompat bintang mempunyai pergerakan yang lebih banyak berbanding tali skip. Jadi, tidak peliklah dalam konteks membakar lemak, lompat bintang lebih unggul.

Jadi, adakah ini bermakna kita perlu melakukan lompat bintang dan meninggalkan tali skip? Jawabnya, semestinya tidak. Sebab, setiap senaman itu mempunyai kelebihannya yang tersendiri untuk memenuhi keperluannya yang tersendiri juga. Apakah kelebihan tali skip? Jawabnya, koordinasi badan! Sebab, anda memerlukan koordinasi yang baik supaya dapat menghayunkan tali melepasi badan cara berterusan. Jadi, ada kesan yang signifikan pada otak juga! Ini disebut dalam satu artikel dalam Nike.

Namun, ini bukanlah pengakhiran. Ada juga kajian lain yang menunjukkan, tali skip lebih banyak membakar kalori berbanding lompat bintang. Contohnya, kajian yang dibentangkan dalam artikel Physiqz. Oleh itu, ini menunjukkan tidak ada ketetapan mana satu yang lebih banyak membakar kalori kerana ia masih bergantung pada banyak faktor seperti kelajuan melakukan senaman tersebut. Makin laju, maka makin tinggilah intensitinya. Jadi, boleh jadi tali skip lebih banyak membakar kalori dan sebaliknya.

Kesimpulan

Kedua-dua senaman ini adalah mudah dilakukan di mana-mana sahaja, terutama sekali di rumah. Sekiranya anda tidak ada tali skip, anda boleh dapatkannya di Decathlon atau Sport Direct dengan harga yang sangat murah.

Ingat, senaman ini bergantung pada usaha anda. Senaman mana pun, sekiranya anda tidak konsisten melakukannya, tidaklah berguna.

Sadiq Salihoddin

Saya mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia penulisan. Saya telah mengarang empat naskhah buku. Sekarang, saya sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya dalam bidang manuskrip Melayu. Kini, saya juga merupakan atlet amatur gusti lengan kategori paling berat (105kg+).

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: