Lakukan Jalan Itik untuk Kekuatan Kaki yang Luar Biasa!

Sama seperti ketuk ketampi, jalan itik atau lompat itik selalu dijadikan salah satu hukuman di sekolah. Sekiranya terkena apa-apa denda, maka perlu ketuk ketampi. Namun, tahukah anda bahawa jalan itik merupakan satu senaman untuk kaki yang sangat baik? Sekiranya anda mahu berlari dengan lebih laju, anda tidak wajar meninggalkan senaman ini. Sekiranya anda merupakan seorang pengamal seni bela diri, senaman jalan itik juga membantu anda menguatkan tendangan.

Mari kita belajar satu per satu tentang senaman yang jarang dipandang penting ini!

Kursus Kecergasan 2024

Sepertimana yang kita semua sudah ketahui, senaman yang paling popular untuk kaki ialah squat. Anda boleh membaca artikel berikut tentang squat dan variasi-variasinya: Variasi Squat dan Kelebihan-kelebihannya untuk Otot Kaki.

Jalan Itik

Menurut satu artikel di Inspire Us, jalan itik merupakan senaman untuk keseluruhan kaki. Senaman ini lebih biasa diamalkan dalam program senaman di rumah kerana ia tidak melibatkkan apa-apa beban bebas seperti dumbel, sebaliknya menggunakan berat badan sahaja sebagai beban. Dengan bahasa yang lain, jalan itik merupakan bodyweight exercise.

Cara-cara Melakukan Jalan Itik

Jane McGuire menyenaraikan:

  1. Tetapkan jarak kaki sama paras dengan bahu.
  2. Cangkung. Pastikan, lutut tidak menyentuh lantai.
  3. Dada dan belakang hendaklah sentiasa tegak.
  4. Berjalan.

Dari segi cangkung, sebenarnya ada beberapa variasi. Sekiranya anda masih pemula, anda boleh cangkung habis seperti hendak membuang air besar di jamban cangkung.

Sekiranya anda lebih mahir, maka anda boleh lakukan separuh cangkung atau setengah squat. Posisi ini lebih memberi intensiti kepada otot kaki anda.

Kelebihan Melakukan Jalan Itik

  1. Menguatkan otot fleksor pinggul, betis dan punggung.
  2. Bersifat fungsional. Maksudnya, otot kaki yang kuat sangat bermanfaat untuk aktiviti harian anda seperti berjalan naik bukit, mengangkat barang dan sebagainya.
  3. Menambah baik mobiliti pinggul dan lutut. Kesannya, sendi-sendi ini akan susah untuk terdedah kepada risiko kecederaan.
  4. Menaikkan stamina. Senaman jalan itik ini juga membantu meningkatkan stamina badan kerana rata-rata senaman kaki memberi impak yang signifikan kepada kardiovaskular.
  5. Membakar lemak. Disebabkan posisi jalan itik tersebut meletakkan tekanan atau intensiti yang berterusan kepada kaki, maka ia akan membakar lemak dengan banyak.

Kesalahan Lazim Melakukan Jalan Itik

Menurut McGuire, kesalahan yang paling lazim ketika melakukan jalan itik ialah tidak menegakkan badan. Kalau kita tidak menegakkan badan, maka kita tidak mengaktifkan otot teras badan. Otot teras badan adalah sangat penting untuk dilatih kerana ia mengimbangkan fizikal.

Setiap sukan yang anda lakukan memerlukan otot teras badan yang kuat, baik berlari, bermain ragbi, bola sepak, seni bela diri dan lain-lain.

Kesimpulan

Terbuktilah bahawa senaman jalan itik memberi manfaat yang besar kepada otot kaki. Sekiranya anda mahu menguatkan otot kaki tanpa ke gim, anda bolehlah mempertimbangkan senaman ini.

Sadiq Salihoddin

Saya seorang penulis yang meminati sukan-sukan yang berorientasikan kekuatan (strength). Saya juga seorang atlet profesional gusti lengan yang bertapak di Kuala Lumpur. Saya menulis adalah untuk berkongsi pengetahuan. Saya berharap, perkongsian ilmu dengan cara begini secara tidak langsung dapat memperkembangkan literasi dalam bidang sains sukan umumnya. Selamat membaca!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: