Mitos Pemakaian Bengkung untuk Mengempiskan Perut

Kita selalu mendengar bahawa bengkung dapat mengempiskan perut. Hakikatnya, ini adalah mitos terbesar yang masih diamalkan oleh sebahagian besar masyarakat. Bengkung bukanlah satu alat magik yang boleh secara tiba-tiba mengempiskan perut. Bagi mereka yang memahami asas biologi, maka pasti tidak akan mudah tertipu dengan produk sebegini.

Jadi, adakah ini bermakna bengkung itu tidak berguna langsung? Tidak juga. Ada gunanya, tetapi bukanlah untuk mengempiskan perut!

Bagi wanita, boleh baca artikel berikut untuk memahami konsep badan cantik: Sebab Bentuk Badan Cantik?

Kursus Kecergasan 2024

Apa itu Bengkung?

Dalam istilah bahasa Inggeris, bengkung disebut sebagai waist trainers. Asasnya, bengkung ini ialah sejenis bahan yang boleh diregangkan dan dililit keliling perut untuk menekan perut supaya kempis. Rata-rata orang yang mengenakan bengkung ini beranggapan bahawa bengkung dapat mengempiskan perut dan membakar lemak badan. Selalunya, para wanita suka memakai alat ini kerana hendak mendapatkan bentuk badan seperti jam pasir.

Hakikatnya, berdasarkan pembacaan saya yang menyeluruh, tidak ada satu pun kajian yang dapat menyokong dakwaan bahawa bengkung itu mengempiskan perut. Namun, sebaliknya ada banyak tulisan yang menggagaskan: Bengkung itu membahayakan.

Dalam Medical News Today dinyatakan, bengkung itu membahayakan badan kerana:

  1. Merosakkan organ dalaman: Bahagian perut yang dililit itu dapat merosakkan organ dalaman kerana tekanan yang sangat kuat daripada bengkung. Contohnya, bahagian perut dan rusuk. Dari segi jangka masa panjang, memang perlu dielakkan daripada menggunakan bengkung ini kerana lebih membawa kemudaratan berbanding kebaikan.
  2. Menghalang pencernaan: Apabila terlalu ketat sangat bengkung itu dililit pada perut, itu akan mengganggu secara langsung proses pencernaan. Itu semestinya perlu dielakkan kerana pencernaan adalah amat penting untuk kefungsian badan yang menyeluruh.
  3. Sukar untuk bernafas: Untuk apa digunakan bengkung ini sehingga sukar untuk bernafas? Ini adalah satu bentuk penyeksaan kepada badan tanpa keperluan.

Pemakaian bengkung ini adalah sama sahaja matlamatnya dengan sesetengah orang yang percaya pada spot reduction, iaitu membakar lemak di bahagian tertentu badan. Walhal, jikalau kita hendak membakar lemak badan, itu perlu dilakukan kepada keseluruhan bahagian badan, bukan satu bahagian sahaja. Saya pernah menulis artikel tentang ini: Membongkar Mitos Spot Reduction.

Kata seorang pakar perunding endokrinologi, Dr. Alexender Tan Ton Boon:

“Pakailah bengkung seketat mana pun, kalau diet tak dijaga, perut buncit tetap buncit.”

Berdasarkan kenyataan pakar ini menegaskan kepada kita bahawa elemen yang paling penting untuk mendapatkan bentuk badan yang ideal ialah:

  1. Diet
  2. Bersenam

Carilah alternatif mana pun, tetap tidak boleh melanggar prinsip asas dalam pembentukan badan, iaitu diet dan bersenam.

Masyarakat Kita Suka kepada Jalan Pintas

Salah salah mentaliti yang tidak sihat dalam masyarakat kita ialah mereka sentiasa mencari jalan pintas dalam sesuatu perkara. Mereka malas untuk diet dan bersenam, maka mereka mencari alternatif seperti pemakaian bengkung. Tidak kisahlah pemakaian bengkung itu sudah dibuktikan tidak berkesan sejak sekian lama pun, mereka tetap percaya. Ini menunjukkan betapa mereka sangat obses dalam mencari jalan pintas.

Bukan dalam dunia kecergasan sahaja, tetapi secara umumnya menjadi manusia, kita haruslah elak daripada mempunyai mentaliti ini, iaitu mencari jalan pintas. Dalam kehidupan kita, Tuhan sudah menetapkan hukum alam. Maka, dengan akal yang sihat, manusia perlu belajar tentang hukum alam tersebut supaya kita dapat hidup dengan harmoni dengan alam semesta.

Maka, hukum alam sudah menetapkan bahawa badan manusia itu begini dan begitu. Jadi, janganlah cuba untuk mencari jalan yang lain (tidak ada bukti keberkesanannya). Akurlah pada hukum alam.

Maka, diulang semula: Untuk mendapatkan bentuk badan seperti jam pasir, kita perlu mengamalkan diet yang betul dan bersenam dengan tepat.

Kesimpulan

Penggunaan bengkung pada perut tidaklah mengempiskannya, sebaliknya pengempisan perut itu dicapai melalui diet dan senaman.

Sadiq Salihoddin

Saya seorang penulis yang meminati sukan-sukan yang berorientasikan kekuatan (strength). Saya juga seorang atlet profesional gusti lengan yang bertapak di Kuala Lumpur. Saya menulis adalah untuk berkongsi pengetahuan. Saya berharap, perkongsian ilmu dengan cara begini secara tidak langsung dapat memperkembangkan literasi dalam bidang sains sukan umumnya. Selamat membaca!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: