Sebab Bentuk Badan Cantik?

Terbaru viral pula topik bentuk payudara menjadi leper akibat dari pemakaian bra sukan, sebelum ini viral topik bentuk punggung. Pada mulanya saya timbul perasaan pelik, kenapa dia boleh berfikir begitu? Kemudian bila baca komen dan banyaknya perkongsian post tersebut, baru saya sedar masyarakat kita tidak tahu, dan sekiranya mereka tidak diterangkan fakta sebenar, mereka sangat mudah terpedaya.
Adakah benar bentuk badan termasuk payudara dan punggung disebabkan pemakaian?
Kita tengok dahulu apa faktor yang mempengaruhi bentuk badan seseorang?
1. Genetik
Sebagaimana kita menerima kepelbagaian warna kulit, jenis rambut. Kita menerima ada dikalangan kita tinggi lampai, ada yang rendah. Kita juga nampak pelbagai bentuk muka, bentuk mata begitulah juga bentuk badan termasuk bentuk payudara dan punggung. Ia ditentukan oleh genetik. Genetik ini seperti acuan bagaimana kita akan jadi, ia diwariskan dari ibu dan bapa.
2. Komposisi lemak
Walaupun bentuk badan ditentukan oleh genetik, komposisi lemak boleh mengubah bentuk badan seseorang. Kenaikan dan penurunan berat badan akan memberi kesan kepada bentuk badan, bentuk payudara & punggung juga. Payudara terdiri daripada tisu lemak jadi adalah normal bentuk payudara leper disebabkan peratus rendah yang terlalu rendah.
3. Senaman
Kita sedia maklum untuk dapatkan tubuh badan yang cantik hasil dari kerja keras senaman. Bentuk peha, punggung, lengan, belakang perlu diusahakan dengan membina otot. Otot perlu diransang dan dilatih kecuali seseorang mewarisi genetik elit tanpa perlu berbuat apa-apa. Jenis senaman yang dibuat seperti lebih banyak kardio atau senaman bebanan juga mempengaruhi bentuk badan.
4. Umur
Kita sudah melalui beberapa fasa peringkat umur, kita rasa perubahan bentuk badan kita dari semasa kanak-kakak, remaja, dewasa dan akan melalui fasa penuaan pula. Disitu kita akan ada perubahan bentuk badan lagi, menopause juga menyebabkan payudara dan punggung hilang keanjalan.
5. Pemakanan
Pemakanan tidak hanya pada hari ini apa yang kita makan, ia termasuk nutrisi semasa kanak-kanak untuk proses tumbesaran. Kanak-kanak yang kekurangan nutrisi terdedah kepada risiko kebantutan. Kita perlu pastikan anak-anak kita cukup nutrisi untuk membantu pertumbuhan yang maksima.
6. Postur
Ramai memandang remeh tentang postur, postur juga memberi impak kepada bentuk badan. Kerana itu, model dilatih dan menjaga postur mereka supaya dapat menjaga kecantikkan bentuk badan.
7. Kehamilan dan Penyusuan Susu Ibu
Selain semua diatas, bentuk badan juga berubah disebabkan kehamilan dan penyusuan susu ibu , ini adalah kerana perubahan hormon.
Berbalik kepada persoalan adakah benar bentuk badan termasuk payudara dan punggung disebabkan pemakaian?
Jawapannya: tidak
Kerana jika ia benar, maka senang mereka yang mempunyai masalah berat badan berlebihan dengan saiz payudara dan punggung yang besar boleh selesaikan masalah dengan hanya perlu pakai bra sukan dan seluar yoga ataupun cukup dengan berbengkung. Walau bagaimanapun, 1 faktor boleh berkait dengan faktor lain. Sebagai contoh, disebabkan pemakaian bra yang tidak sesuai terutama mereka yang mempunyai saiz payudara yang terlalu besar akan menganggu postur, berat payudara boleh menarik bahagian atas toraks dan vertebra ke hadapan, menutup dada seperti posisi membongkok(Greenbaum et al., 2003). Ini juga risiko untuk sakit belakang kronik dari semasa ke semasa.
Jadi perlu bra yang sesuai seperti bra sukan yang bantu mengangkat payudara untuk naikkan dada. Bentuk payudara tidak akan berubah disebabkan bra tetapi pemakaian bra sangat sesuai (well-fitted) penting menyokong tisu payudara dan membantu anda nampak elok. Ramai tidak tahu saiz yang sesuai serta tidak tahu saiz boleh dan telah berubah. Ramai juga tidak memakai bra sukan yang sesuai mengikut aktiviti senaman.
Perkara yang paling penting dalam jaga bentuk badan adalah jaga berat badan.
Rujukan :
-
Genetics of human body size and shape: body proportions and indices, PMID: 12031137
- Sports Bra Preferences by Age and Impact of Breast Size on Physical Activity among American Females, PMID: 34886465
- The impact of breast support garments on fit, support and posture of larger breasted women, PMID: 3515112
- An investigation of the suitability of bra fit in women referred for reduction mammaplasty