Regangan: Sebelum atau Selepas Senaman?

Regangan dapat membantu darah membawa nutrien dan oksigen ke otot-otot yang bekerja

Aktiviti meregangkan badan merupakan aktiviti yang selalu dilakukan. Sewaktu di sekolah dulu pun, sebelum kita hendak bermain bola bersama rakan, cikgu-cikgu akan mengajak semua murid berkumpul dan melakukan regangan.

Alasannya, untuk mengelak kecederaan dan sebagainya. Namun, sebenarnya, regangan ini sesuai dibuat bila?

Sebelum itu, kita perlu ketahui bahawa regangan ini ada macam-macam jenis. Antaranya, regangan statik dan regangan dinamik.

Regangan statik ialah regangan yang dilakukan secara statik dan tidak bergerak untuk beberapa saat biasanya.

Contohnya, kita bongkokkan badan ke depan lalu cuba menyentuh tumit dan tidka bergerak selama 8 saat. Kita akan berasa tegang di bahagian kaki, terutamanya hamstring. Ini dinamakan regangan statik.

Regangan dinamik pula ialah regangan yang dibuat pergerakan secara berulang. Contohnya, menghayunkan kaki ke depan dan ke belakang sebanyak 20 hayunan. Ini juga meregangkan otot di bahagian pinggang dan pinggul.

Baik. Menurut pakar, jangan lakukan regangan statik sebelum kita bersenam. Hal ini kerana otot kita belum panas dan masih ketat.

Disarankan untuk kita berjoging atau apa-apa kardio ringan terlebih dahulu. Biar darah mengalir di seluruh badan dan otot-otot. Biar badan kita panas. Selepas itu, barulah sesuai dilakukan regangan statik. Otot kita sudah bersedia.

Kalau kita lakukan juga regangan statik sebelum bersenam apa-apa, ia sebenarnya tidak membawa kesan yang signifikan.

Sebab, otot belum menerima nutrien atau oksigen yang cukup yang biasanya dibawa oleh darah untuk ia bekerja dengan baik dalam suatu aktiviti sukan.

Jadi, mulakan suatu sukan dengan kardio ringan dahulu. Barulah lakukan regangan statik.

Selain itu, regangan statik juga sangat disarankan untuk dilakukan selepas habis sukan. Ketika itu, badan sudah panas dan otot telah bekerja dengan baik.

Regangan statik dapat membantu peredaran darah di otot-otot yang terlibat dengan lebih baik lagi. Kesan daripada itu, badan kita akan lebih sihat.

Regangan patut dilakukan secara berkala, sama ada untuk bersukan atau saja-saja. Sebab, regangan dapat memberi badan kita kesihatan yang baik. Ia juga mengekalkan postur badan yang elok.

Tanpa fleksibiliti badan, postur kita akan jadi ketat apabila kita tua nanti. Jadi, buatlah regangan sekurang-kurang dua kali seminggu.

Rujukan

  1. The Truth About Stretching. https://www.webmd.com/fitness-exercise/features/how-to-stretch#:~:text=Should%20You%20Stretch%20After%20Exercise,most%20benefit%20from%20them%20now.
  2. Should you stretch before or after your workout? https://www.cnet.com/health/fitness/stretch-before-or-after-a-work-which-is-best/
  3. Let’s Settle the Debate Once and For All: Should You Stretch Before a Workout? https://www.wellandgood.com/stretch-before-after-workout/

Saya seorang penulis yang meminati sukan-sukan yang berorientasikan kekuatan (strength). Saya juga seorang atlet profesional gusti lengan yang bertapak di Kuala Lumpur. Saya menulis adalah untuk berkongsi pengetahuan. Saya berharap, perkongsian ilmu dengan cara begini secara tidak langsung dapat memperkembangkan literasi dalam bidang sains sukan umumnya. Selamat membaca!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: