Senaman 1 Inci Jan06

Kongsi

Senaman 1 Inci

Selamat tahun baru 2021. Tahun yang lalu tak berapa menarik pada kita dengan kehadiran pandemik covid-19, dan kesannya masih dirasai. Ramai yang dijangkiti. Malaysia mencecah angka 100 ribu dan lebih 2000 kes setiap hari. Dianggarkan sekitar 200 hingga 500 ribu hilang pekerjaan. Kes bunuh diri pun tertinggi tahun lepas mungkin disebabkan tekanan takde kerja, tekanan dikurung dan sebagainya. Saya harap tahun ini lebih baik daripada tahun lepas. Dengar cerita ramai juga sasaran dalam kecergasan pun sama ke laut. Salahkan PKP dan sebagainya. Kita sentiasa menyalahkan orang atau benda lain tapi diri sendiri tak bersalah.

Saya melihat ramai kongsikan video senaman di gim khususnya pada awal tahun baru ini. Tapi ramai juga yang masih abaikan cara senaman yang betul. Antara pergerakan yang biasa di buat tapi dengan cara yang tidak tepat adalah buat pergerakan 1 inci dalam senaman. Dalam sukan kes lain, ia disebabkan syarat dan keperluan sukan tersebut. Contohnya seperti sukan power lifting, pergerakan bench press di mana pesertanya lentikkan badan setinggi boleh. Syarat dalam pergerakan bench press power lifting, peserta cuma perlu turunkan barbell sentuh dada, tahan 1 saat dan naik. Tak dinyatakan di mana kedudukan dada. Jadi, ramai yang melatih kelenturan supaya badan boleh melengkung sebegitu. Ianya tak melanggar peraturan perlawanan.

Ulasan saya hari ini lebih pada senaman. Ada juga yang buat senaman dengan bebanan terlalu berat, diluar kemampuan sendiri. Contoh dalam pergerakan leg press, squat dan sebagainya. Pakai segala ikatan di lutut, beberapa orang turut hadir bantu menolak atau mengangkat. Akhirnya cuma turun se inci. Kalau anda buat leg press tapi turun 1 inci, bermaksud anda tak mampu nak buat beban tersebut. Kurangkan beban dan turun kaki serapat boleh dengan badan. Jika anda tak mampu turun ke bawah, anda ada masalah mobiliti. Buat regangan untuk betulkannya kembali.

Apa gunanya kita angkat bebanan tinggi tapi pergerakan itu tidak cantik. Semata-mata kerana ego? Memang betul, nak tambah otot kena angkat berat tapi dengan kaedah yang betul. Salah satu sebab tak digalakkan adalah disebabkan risiko kecederaan. Kita rasa kita boleh, tapi badan kata tak boleh. Otot, tendon, sendi kata tak boleh. Akhirnya menyebabkan kecederaan.

Contoh lain, dalam pergerakan bench press. Kita sasarkan otot dada tapi disebabkan teknik tak betul, kita menggunakan otot bahu dan trisep. Akhirnya menyebabkan otot-otot tertentu menjadi terlalu kuat, berlaku perubahan postur dan membawa kepada kecederaan. Perubahan ini mungkin bawa kecederaan seperti di bahagian belakang dan sebagainya.

Kalau ikutkan tiada cara yang sempurna untuk angkat bebanan. Teknik terbaik bergantung pada beberapa faktor termasuk struktur badan kita. Bila buat lunges, badan sepatutnya tegak. Teras yang stabil akan statikkan pergerakan badan kita. Bila kita buat lunges badan bergerak ke hadapan, terang-terang kita ada masalah dengan teras. Kita masih paksa badan untuk habiskan pergerakan lunges tersebut.

Banyak kalau ikutkan nak tulis tentang teknik senaman ini. Cuma pesan saya untuk penulisan awal ini, letakkan ego di luar gim. Latih dengan teknik yang betul. Jangan bandingkan diri anda dengan mana-mana atlet jika anda seorang yang bersenam pun hidup segan mati tidak mahu. Betul ke peribahasa itu?

Kursus Kecergasan 2020

Zaki Khan

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Facebook Twitter YouTube