Serigala Parsi Tampil Juara di Arnold Classic 2024

Juara Mr. Olympia 2022, Hadi Choopan atau lebih dikenali sebagai Serigala Parsi telah berjaya merangkul kejuaraan Arnold Classic 2024 mengalahkan juara Arnold Classic 2023, Samson Dauda. Kemenangan ini memberi mesej kepada Lunsford!

Sebelum Mr. Olympia yang akan diadakan tak lama lagi di Las Vegas, Arnold Classic diadakan dahulu sebagai salah satu pesta sukan angkat berat terbesar di dunia. Bukan sahaja acara bina badan sahaja yang ada, malah acara orang kuat juga diadakan dengan kemenangan oleh Juara World’s Strongest Man 2023, iaitu Mitchell Hooper dari Kanada.

Kursus Kecergasan 2024

Biograf Ringkas Hadi Choopan

Hadi Choopan lahir pada bulan September tahun 1987 di satu wilayah di selatan negara Iran. Dia lahir dalam keluarga yang susah sehingga dia terpaksa bekerja di usia muda. Antara pekerjaan yang pernah dilakukan ialah pembinaan dan menjaja di gerai.

Dia mula meminati sukan bina badan sejak tahun 2002. Dia telah dilatih oleh Jamshid Owji sehingga berjaya memenangi kejohanan bina badan kebangsaan selepas lima tahun mula berlatih.

Pada tahun 2013, untuk pergi lebih jauh seperti bersaing di peringkat Asia dan sebagainya, Hadi telah berlatih di bawah Ali Ne’mati. Pada tahun itu juga, dia telah muncul sebagai juara di kejohanan Asia WBPF dan tiga tahun berturut-turut juara di kejohanan dunia WBPF dari tahun 2013 hingga 2015.

Pada tahun 2017, dia telah dilatih oleh jurulatih bina badan terkenal: Hany Rambod. Pada tahun tersebut juga, Hadi telah merangkul kejuaraan di Mr. Olympia amatur. Ketika inilah beliau mendapat julukan sebagai The Persian Wolf atau Serigala Parsi.

Pada tahun 2022, beliau muncul sebagai juara Mr. Olympia sekali gus dianggap penerus kepada Big Ramy. Pada tahun berikutnya pula, beliau kalah kepada Lunsford lalu menempatkannya di tempat kedua. Ketika ini, dia dikritik hebat oleh komuniti bina badan dan para peminat umumnya kerana ketika di peringkat akhir, dia telah mencabut pingat perak dari lehernya seolah-olah menunjukkan kekecewaan. Disebabkan ini, para audiens menganggap dia tidak ada semangat kesukanan yang baik.

Corak Latihan Hadi Choopan

Hadi Choopan bukan sahaja berlatih dari segi pembesaran otot (hipertrofi), malah kekuatan otot juga. Dia telah mengadunkan antara latihan dengan bebanan berat dengan isi padu latihan yang tinggi.

Sebagai contoh, pada hari isnin, dia akan melatih otot dada dengan beban berat sahaja: 5 reps x 5 sets. Manakala, pada hari khamis atau jumaat, dia akan melatih bahagian badan yang sama dengan beban sederhana, tetapi isipadu latihan yang tinggi.

Untuk kardio pula, dia tidak akan melakukannya melainkan hampir dengan kejohanan. Maka, 3 minggu sebelum kejohanan, dia akan melakukan kardio dengan berintensiti tinggi (HIIT) untuk mendapatkan badan yang terbentuk.

Kesimpulan

Hadi Choopan merupakan seorang ahli bina badan Iran pertama yang telah merangkul kejuaraan bina badan sehingga ke peringkatan antarabangsa. Kita juga berharap adanya atlet dari negara seperti kita yang boleh menjadikan Hadi Choopan sebagai contoh. Ini adalah kerana Hadi Choopan menunjukkan bahawa atlet “kecil” dari Asia juga mampu bersaing dengan atlet Barat yang rata-ratanya besar.

Sadiq Salihoddin

Saya mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia penulisan. Saya telah mengarang empat naskhah buku. Sekarang, saya sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya dalam bidang manuskrip Melayu. Kini, saya juga merupakan atlet amatur gusti lengan kategori paling berat (105kg+).

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: