Status Semasa Sukan Bina Badan di Malaysia
Sukan bina badan tanah air telah melalui perjalanan yang panjang sejak pengenalannya, dari sukan yang kurang dikenali hingga menjadi salah satu cabang sukan yang sangat diminati oleh golongan belia hingga warga emas. Sejak dekad terakhir ini, sukan bina badan telah mendapat perhatian sebagai salah satu aktiviti fizikal yang dapat meningkatkan kesihatan, kekuatan, dan disiplin diri. Walau bagaimanapun, sukan ini masih menghadapi pelbagai cabaran seperti kurangnya sokongan kewangan, pandangan stereotaip masyarakat, dan isu-isu berkaitan doping atau pengunaan supplement atau ubat terlarang. Artikel ini membahas status semasa sukan bina badan di Malaysia, termasuk pencapaian atlet tempatan, dan langkah ke hadapan dalam memajukan sukan ini.
Sejarah bina badan di Malaysia bermula pada tahun 1950-an, ketika sukan ini mula mendapat perhatian di kalangan masyarakat tempatan. Pertandingan bina badan peringkat kebangsaan pertama, Mr. Malaysia, telah dianjurkan pada tahun 1959, yang menjadi platform utama bagi atlet tempatan untuk menunjukkan bakat mereka. Organisasi seperti Persatuan Bina Badan Malaysia (MBBF) memainkan peranan penting dalam mempromosikan sukan ini melalui pertandingan tempatan dan antarabangsa. (1)
Sejak kebelakangan ini, atlet bina badan Malaysia telah mencatatkan kejayaan di peringkat antarabangsa. Contohnya, Sazali Samad, ikon bina badan negara, telah memenangi gelaran Mr. Universe sebanyak 10 kali di bawah Persekutuan Bina Badan dan Kecergasan Dunia (WBPF), menjadikan beliau sebagai simbol kebanggaan negara dalam sukan ini. (2)
Walaupun terdapat banyak pencapaian yang membanggakan, sukan bina badan di Malaysia masih menghadapi pelbagai cabaran. Masyarakat sering melihat bina badan sebagai aktiviti yang hanya menumpukan kepada pembesaran otot semata-mata tanpa mempertimbangkan aspek kesihatan dan disiplin yang diperlukan. Persepsi ini menjejaskan daya tarik sukan ini kepada golongan belia. (3)
Penggunaan bahan atau ubat terlarang seperti steroid menjadi isu serius yang mencemarkan reputasi sukan bina badan. Beberapa atlet tempatan dilaporkan gagal ujian doping dalam pertandingan, yang memberi impak negatif terhadap perkembangan sukan ini di Malaysia. (4)
Walaupun sukan bina badan diiktiraf sebagai sukan kompetitif, ia tidak mendapat sokongan kewangan yang mencukupi. Bukan itu sahaja, malahan kekurangan kemudahan latihan yang berkualiti juga membantutkan perkembangan atlet muda. (5)
Bukan itu sahaja, malahan kempen kesedaran perlu dilaksanakan untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap bina badan sebagai sukan yang sihat. Usaha ini boleh melibatkan sekolah, universiti, dan komuniti tempatan. Langkah lebih tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa sukan untuk menangani isu doping, termasuk ujian yang lebih kerap dan pendidikan mengenai bahan atau ubat terlarang pada atlet. (6)
Pihak kerajaan dan sektor swasta perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam menyediakan dana, kemudahan latihan, dan peluang kepada atlet bina badan tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.Khusus atau latihan yang disokong oleh jurulatih berpengalaman dan peralatan moden perlu disediakan untuk membina atlet yang kompeten dan bersedia untuk menghadapi cabaran dan pertandingan bina badan peringkat dunia.(7)
Sukan bina badan di Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus berkembang,namun memerlukan sokongan menyeluruh dari segi kewangan, infrastruktur, dan persepsi masyarakat. Dengan langkah yang tepat, Malaysia berpeluang menghasilkan lebih ramai atlet bertaraf dunia seperti Sazali Samad, yang bukan sahaja mampu bersaing di peringkat antarabangsa tetapi juga menjadi inspirasi kepada generasi muda.
- Malaysian Bodybuilding Federation. About MBBF. Available from: http://www.mbff.org.my.
- The Star. Sazali Samad – Bodybuilding Legend. The Star Online. 2015.
- Tan ST. Public Perception of Bodybuilding in Malaysia. Asian Journal of Sports Science. 2018;10(3):45-51.
- Anti-Doping Policies and Enforcement. World Bodybuilding & Physique Sports Federation. 2021.
- Ministry of Youth and Sports Malaysia. Sports Development Report 2023. Available from: http://www.kbs.gov.my.
- Lee WK. Promoting Fitness and Bodybuilding Among Youth in Malaysia. Health & Fitness Journal. 2019;15(4):60-65.
- Ahmad AR, Ismail Z. Corporate Sponsorship in Malaysian Sports: Challenges and Opportunities. International Journal of Sports Management. 2020;12(1):30-44.