Taylor Swift Akhirnya Bongkar Rutin Senamannya!

Akhirnya, Taylor Swift membongkar rahsianya bagaimana dia mendapat badan yang langsing dengan stamina yang tinggi. Dalam jelajah konsertnya, dia akan membuat persembahan selama 3 jam 44 minit tanpa nampak penat. Bukan itu sahaja, bagaimana dia boleh kekal positif sedangkan menjadi seorang selebriti sepertinya tidaklah mudah. Sudahlah perlu menjaga fizikal dan mental, datang pula kecaman dan sebagainya. Bagaimana dia menguruskan semua ini?

Kuncinya: Bermula dari penjagaan diri.

Kursus Kecergasan 2024

Menurut satu artikel dalam Popsugar, ada beberapa faktor yang membuatkan Taylor Swift sentiasa cergas:

Keseimbangan

Ketika ditemu bual dengan WebMD, Taylor Swift mengaku bahawa dia tidak mengamalkan diet yang sangat ketat. Dia tetap makan makanan yang sihat, tetapi dengan kadar yang sesuai. Maksudnya, dia ada juga mengambil makanan dan minuman manis, tetapi tidaklah secara berterusan.

Katanya, “During the week, I try to eat healthily, so that means salads, yogurt, and sandwiches.” “I love a burger and fries, I love ice cream so much, and I love baking cookies. Actually, I love baking anything.

Taylor Swift menegaskan, dia akan makan secara sihat pada awal minggu dan makan makanan manis di hujung minggu. Berdasarkan ini sahaja, terbuktilah bahawa dia mengamalkan diet yang seimbang dan tidak ekstrem. Dalam hantarannya di Instagram juga menunjukkan dia sangat suka minum vanilla latte di Starbucks.

Rajin Lakukan Kardio

Walaupun Taylor Swift makan makanan manis juga, tetapi dia rajin melakukan kardio. Ini menunjukkan dia tidaklah hanya makan dan kurang bersenam, malah dia seimbangkan dengan aktiviti berintensiti tinggi yang membakarkan lemak. Ini adalah amalan yang baik!

Namun, kardio gaya Taylor Swift ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Apa dia? Satu artikel di Women’s Health mengatakan: Taylor Swift akan berjoging di atas treadmill dengan menyanyikan kesemua lagunya selama 3 jam lebih. Makna kata, sambil bersenam, sambil membuat persiapan untuk jelajah konsert. Perlu ditegaskan juga, bersenam begini perlu digalakkan kepada semua masyarakat kerana kita bersenam haruslah dengan gembira. Maka, kita boleh isi dengan lagu dan sebagainya seperti yang diamalkan oleh Taylor Swift.

Makin seronok kita bersenam, maka makin keraplah kita melakukannya. Tambah lagi, ketika bersenam itu kita akan lambat penat kerana mental kita sedang menikmati lagu yang menjadi pengiring senaman tersebut.

Wah, terima kasih, Taylor Swift!

Latihan Beban

Siapa kata wanita tidak boleh melakukan latihan beban? Rata-rata wanita takut untuk ke gim dan melatih beban kerana mereka tidak mahu berbandan sasa seperti lelaki. Ini adalah mitos. Ini dijelaskan dalam satu artikel yang ditulis oleh Dr. Vishnu Raj.

Taylor Swift merupakan seorang yang rajin melatih beban di gim juga. Sebenarnya, ini tidaklah pelik di negara Barat kerana mereka memang dididik untuk bersenam di gim dan menguat otot. Menurut Eda Sharip, cuma di negara kita budaya mengangkat berat dalam kalangan wanita masih kelihatan aneh.

Jadi, angkat berat itu penting, ya!

Kekal Hidrat

Menurut The Everygirl, Taylor Swift akan membawa botol air ke mana-mana dia pergi. Ini menunjukkan kepentingan untuk kita kekal hidrat. Badan kita akan berfungsi secara optimum bilamana cecair dalam badan mencukupi.

Dia pernah berkata dalam satu temu bual, “I have so much water in my dressing room because I drink, like, ten bottles of water a day.”

10 botol setiap hari? Ini luar biasa. Tetapi, inilah asasnya untuk kekal hidrat. Kita perlu minum banyak air.

Menulis untuk Melepaskan Emosi

Nampak mudah dan remeh, tetapi amalan menulis jurnal atau diari adalah amat penting untuk melepaskan emosi. Juga, menulis dapat meluruskan cara kita berfikir. Sebab itu, orang yang rajin menulis, cara berfikirnya adalah sangat baik. Cara dia menyampaikan mesej juga berkesan.

Elak Minum Arak

Taylor Swift bukanlah seorang Muslim. Jadi, dia tidaklah meninggalkan arak secara total. Tetapi, untuk kesihatan dia, dia minum arak mengikut upacara-upacara tertentu sahaja seperti Anugerah Grammy. Sekiranya dia ada konsert, 3 bulan sebelum dia tidak akan langsung minum arak. Ini adalah untuk mencapai prestasi badan yang optimum. Jangan kata arak, merokok pun perlu dielakkan sekiranya kita mahu menggunakan kapasiti badan secara maksimum.

Kesimpulan

Selain daripada karyanya yang hebat, gaya hidup Taylor Swift juga perlu dijadikan sebagai contoh. Kita perlu menikmati proses pengamalan gaya hidup sihat. Kita mahu bersenam, pastikan senaman itu menyeronokkan.

Sadiq Salihoddin

Saya seorang penulis yang meminati sukan-sukan yang berorientasikan kekuatan (strength). Saya juga seorang atlet profesional gusti lengan yang bertapak di Kuala Lumpur. Saya menulis adalah untuk berkongsi pengetahuan. Saya berharap, perkongsian ilmu dengan cara begini secara tidak langsung dapat memperkembangkan literasi dalam bidang sains sukan umumnya. Selamat membaca!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: