Adakah Sukan Bina Badan Menyihatkan?

Sukan bina badan mendapat tempat di hati rakyat Malaysia sejak beberapa tahun dahulu lagi. Ia seperti tren dahulu, di mana minat ini sekejap naik dan sekejap turun dalam kalangan rakyat tetapi kini aktiviti mengangkat besi semakin disukai serta mendapat tempat di hati kita semua. Kalau anda tak minat angkat besi, saya tak rasa anda membaca entri ini. Orang kata, aktiviti mengangkat besi adalah aktiviti yang menyihatkan. Adakah kenyataan ini betul?
Aktiviti fizikal amatlah penting untuk kesihatan kita kerana jika kita tak bergerak aktif, badan kita boleh “berkarat” lama-lama nanti. Sama seperti mesin, jika anda simpan sahaja dan lama tak bergerak bertahun-tahun, silap haribulan boleh rosak sahaja peralatan tersebut. Tetapi, senaman jatuh pada tangga kedua dalam penjagaan kesihatan (bagi saya). Yang paling penting untuk menjaga kesihatan ialah pemakanan kita dalam masa sama kita tidak mengetepikan senaman.
Sihat Jika Biasa-Biasa
Kalau anda buat latihan angkat besi anda secara biasa-biasa dan bukan ekstrim untuk menyertai pertandingan bina badan yang besar, maka ia memang membantu dalam menjaga kesihatan badan. Apa sahaja yang dilakukan secara ekstrim, kalau asalnya menyihatkan, pun boleh menjadi mudarat. Aktiviti bina badan tidak dinafikan sangat bagus untuk kesihatan badan dan kekuatan otot serta tulang, tetapi pertandingan bina badan bukanlah sesuatu yang sihat. Lagi-lagi kalau anda menggunakan bahan terlarang untuk mendapatkan kelebihan dalam prestasi bina badan anda, itu lagi mendatangkan mudarat. Diet yang diamalkan juga terlalu ekstrim untuk kesihatan orang awam (semasa hendak menyiapkan badan menjelang pertandingan). Seperti mengangkat bebanan yang terlalu berat juga, tidaklah begitu baik bagi orang biasa untuk melakukannya sebab lama kelamaan ia akan memakan sendi sendiri juga.
Adakah anda mengangkat besi sebagai hobi, atau anda mengangkat besi kerana ingin dapatkan sesuatu hasil yang orang biasa tak mampu dapatkan? Mungkin anda mahu jadikan minat mengangkat besi sebagai kerjaya utama dalam hidup anda? Jika anda menjawab ya, maka anda kena pula pertimbangkan, adakah dengan cara anda berlatih dan segala kesusahan serta kesakitan yang anda lalui berbaloi dengan apa yang anda (akan) terima? Jika tidak berbaloi, patutkah anda lalui semua ini ataupun patutkah anda berlatih seperti biasa-biasa sahaja?
Ikut Hati Sendiri
Semua orang mempunyai sasaran berbeza. Bukan semua orang yang mengangkat besi ingin menjadi dan memiliki badan seperti jaguh bodybuilder dunia. Sebaliknya, ada yang memang berhasrat untuk bawa nama mereka ke peringkat antarabangsa. Tidak lupa juga, ada yang hanya mengangkat besi untuk mendapatkan kadar kesihatan yang lebih baik. Apa-apa sahaja yang dilakukan secara ekstrim, pasti akan ada risikonya. Kalau anda bersukan sekali pun, mereka yang berada pada tahap ekstrim pasti lebih mudah mengalami kecederaan kerana risiko impak tinggi meningkat berbanding yang bersukan biasa sahaja. Sebagai contoh, anda suka bawa motor berkuasa tinggi, tapi anda bawa biasa-biasa sahaja mematuhi had laju. Maka, risikonya tidaklah setinggi mereka yang membawa motor berkuasa tinggi di litar lumba sebagai pelumba professional. Pemain bola di taman rumah tidak beraksi dengan intensiti setinggi pemain bola di padang dunia.
Jika anda hanya inginkan kesihatan, tidak perlulah anda gunakan pelbagai jenis cara untuk mempercepatkan hasil dan memaksimumkan dapatan anda. Sekarang ini, terlalu ramai yang muda-muda dan baru sahaja berlatih sudah pandai menggunakan pelbagai jenis kompaun luar untuk menaikkan otot mereka. Tidakkah mereka tahu yang penggunaan bahan sebegini (tanpa pengawasan) hanya mendatangkan bahaya pada diri mereka sendiri? Ini bercanggah dengan misi kita untuk menjadi lebih sihat dan kuat. Kecergasan bukanlah satu perjalanan yang kita lalui secara pecut, tetapi ia memakan masa yang lama. Lebih tepat lagi, perjalanan kecergasan berjalan sepanjang hidup kita.