Latihan Sehingga Kegagalan Otot

Pernah tak anda mengangkat besi dan menggunakan teknik yang dipanggil sebagai failure set? Hampir semua orang pernah melakukannya, tetapi berbeza pada maksud failure ataupun kegagalan otot tersebut. Ada yang memberi maksud kegagalan tersebut adalah pada teknik di mana tatkala teknik senaman anda merundum, itu bermakna anda telah mencapai technical failure. Ada yang lebih hardcore dan mendefinisikan kegagalan otot sebagai apabila kamu memang dah tak mampu nak tolak lagi bebanan senaman tersebut.
Selepas mendengar maksud failure set ini, saya yakin ramai daripada anda akan mengaku yang anda juga pernah melakukannya. Cuma, maksud failure sahajalah yang membezakan tahap kegagalan otot anda. Adakah anda mengikut maksud techincal failure ataupun anda menghentam otot anda sehingga lunyai? Itu terpulang kepada masing-masing, tetapi hari ini saya nak bercerita tentang teknik menghentam otot anda sehingga lunyai.
Macam Nak Mati Rasanya
Kalau anda buat betul-betul sehingga anda dah tak mampu nak angkat sebarang berat lagi, rasanya sangat memenatkan sehingga boleh membawa kepada overtraining. Jika anda bukan seorang yang berpengalaman berlatih secara intensiti tinggi, mungkin cara ini bukan untuk anda. Apabila anda menghentam otot anda sehabis boleh, bukan sahaja anda akan rasa penat semasa senaman, tetapi anda akan berasa penat untuk beberapa hari akan datang. Otot anda juga akan berasa sakit selalu, dan jika anda berterusan tanpa memberikan rehat yang cukup untuk otot anda, maka anda akan mendapati yang prestasi anda nanti semakin menurun. Jika lebih teruk lagi, fizikal anda juga akan mengalami kesan sampingannya seperti otot anda mula akan mengecil (kerana kadar pemecahan protein dalam badan anda terlalu tinggi berbanding sintesis protein). Kata mudah, anda merosakkan lebih banyak otot berbanding yang anda boleh baiki.
Tak dinafikan, untuk membina otot anda perlu berlatih dengan intensiti yang tinggi seperti menggunakan teknik failure set sebegini tetapi anda perlu berlatih untuk sampai ke tahap boleh gunakan teknik sebegitu dengan betul. Jika anda tak pernah melakukannya, dan tiba-tiba anda membaca artikel ini, kemudian anda berhasrat untuk mengamalkan teknik failure set (yang betul-betul menggagalkan otot) pula sekarang, anda akan mengalami sedikit penyesalan untuk beberapa hari akan datang. Jika anda nak lakukannya, jangan buat teknik ini untuk setiap set senaman anda. Sebaliknya, lakukan 1 set sahaja menggunakan teknik menggagalkan otot ini untuk 1 senaman sahaja. Pada minggu seterusnya, tambahkan 1 set pada senaman yang lain pula. Minggu yang lagi satu, tambah pula 1 set untuk senaman yang lain. Lama kelamaan, anda boleh lakukan teknik ini tanpa menyebabkan overtraining.
Kenapa Anda Perlu Berlatih Sehingga Failure
Ia bukanlah satu kewajipan belatih sehingga menemui kegagalan otot untuk membina otot, tetapi dengan latihan begini anda dapat memastikan kadar kerosakan metabolik maksimum bagi otot anda sekali gus merangsang kenaikan otot dengan lebih optimum. Ya, latihan yang lebih mudah pun boleh membina otot tetapi kadar pembinaannya biasa-biasa sahajalah. Kalau anda seorang yang benar-benar serius dan ingin mendapatkan kesan terbaik, maka latihan anda juga perlulah dengan teknik terbaik, bukan?
Apa-apa pun, saranan saya adalah utamakan keselamatan dan tingkatkan intensiti sedikit demi sedikit. Orang kata, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Dengan prinsip adaptasi di mana otot anda akan membiasakan diri dengan latihan yang semakin sukar, ini adalah jalan yang lebih baik untuk memastikan anda kekal dalam permainan ini untuk jangka masa yang lebih panjang. Apa guna buat secara hardcore awal-awal kalau ia boleh menyebabkan anda tercedera dan kena angkat bendera putih cepat?