Bagaimana Bersenam Boleh Menyebabkan Kematian?

Apa-apa pun perkara di dunia ini boleh menyebabkan sesuatu yang bahaya pada badan. Makan secara berlebihan boleh menyebabkan diabetes dan akhirnya mengidap penyakit tertentu. Dehidrasi pula boleh menyebabkan badan tidak dapat berfungsi secara optimum. Asasnya, setiap perkara boleh mendedahkan diri anda kepada bahaya. Jadi, kita perlu belajar bagaimana hendak mengelaknya.

Kursus Kecergasan 2024

Bersenam Menyebabkan Kematian

Dalam artikel 5 Ways Your Workout Can Kill You tulisan Michael Rodio, terdapat lima jenis penyakit yang boleh membawa kepada kematian. Lima jenis penyakit ini boleh terjadi disebabkan senaman.

  1. Rhabdomyolysis: Rhabdo ini ialah sejenis penyakit yang merosakkan buah pinggang. Ia boleh terjadi apabila anda tidak berhenti selepas otot atau badan umumnya sudah tidak larat lagi. Anda langgar kemampuan diri sehingga menyebabkan dehidrasi. Ini bertambah teruk apabila berlaku pada cuaca yang panas terik. Seorang atlet MMA Dhafir Harris pernah mengalami dua kali serangan jantung. Kata beliau, ini adalah kerana rhabdo. Ini berlaku ketika mana beliau bersiap untuk melawan Kimbo Slice. Beliau terlalu memaksa badan sehingga terseksa dan hampir merosakkan buah pinggang secara kekal. Maka, pastikan anda tidak terlalu memaksa badan sehingga boleh mendatangkan rhabdo. Anda perlu sentiasa kekal hidrat supaya badan dapat berfungsi dengan optimum.
  2. Ketidakseimbangan elektrolit: Biasanya berlaku pada mereka yang mengamalkan rutin untuk menurunkan berat badan secara mendadak. Contohnya, 10 kg seminggu dan sebagainya. Ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan magnesium, kalsium atau potasium dalam badan. Akhirnya, boleh mengakibatkan serangan jantung juga. Jadi, janganlah menurunkan berat badan secara drastik, sebaliknya ikutlah program yang tidak menjejaskan kesihatan badan.
  3. Strok haba: Ini terjadi bilamana anda terlalu memaksa badan sehingga badan anda menjadi terlebih panas. Haba yang dihasilkan oleh badan telah melebihi hadnya. Antara simtom terawal strok haba ialah pening kepala, muntah, tekanan darah rendah dan sebagainya. Jangan main-main, Korey Stringer, seorang atlet NFL telah meninggal dunia kerana strok haba. Berlatihlah sesuai dengan kemampuan badan!
  4. Hipotermia: Kalau tadi disebabkan panas, maka yang ini disebabkan sejuk pula. Kebiasaannya, hipotermia ini berlaku pada atlet renang jarak jauh.
  5. Dehidrasi: Ini adalah yang paling penting. Anda memerlukan air untuk mengoptimumkan fungsi badan. Anda perlu minum sebelum, semasa dan selepas bersenam.

Sambung sedikit lagi berkenaan hidrasi. Kata Dr. Eric M. Ascher, kesemua penyakit yang boleh menimpa seseorang apabila bersenam lebih daripada kemampuan badan ialah cecair. Hidrasi adalah unsur terpenting untuk mengelak badan daripada ketidakseimbangan elektrolit, buah pinggang yang tidak berfungsi dan sebagainya. Pastikan anda minum dengan secukupnya!

Jadi, Macam Mana Hendak Tahu Kita Sudah Terlampau Bersenam?

Baik, secara asasnya, lebih bersenam adalah lebih bagus. Sebab, ketika kita memaksa badan untuk melanggar kapasitinya, serat-serat otot akan pecah dan pulih menjadi lebih kuat dan terbentuk. Jadi, di mana yang dikatakan sebagai terlampau bersenam atau overtraining?

Gabriell Kassell tulis dalam artikelnya How Much Exercise Is Too Much? memberikan formula berikut:

Terlampau bersenam + kurang tenaga + tak cukup rehat = Sindrom terlampau berlatih.

Jadi, ketiga-tiga elemen ini perlu berada pada kadar yang optimum. Anda tidak boleh melebihkan senaman, tetapi pada masa yang sama, anda tidak mempunyai tenaga yang banyak. Kalau mahu menambah beban senaman, pastikan tenaga anda juga boleh menampung intensiti tersebut. Lagi satu, anda perlu berehat dengan secukupnya. Biarkan otot anda pulih dan sebagainya.

Jadi, pegang kepada formula ini. Sekali lagi ditegaskan, ketiga-tiga elemen yang disebutkan perlu setara. Tidak boleh salah satunya kurang.

Kesimpulan

Terlampau berlatih boleh menyebabkan kematian sekiranya anda tidak berhati-hati dalam menjaga diri anda sendiri. Badan anda mempunyai hak-hak biologinya seperti air yang cukup, rehat yang cukup dan sebagainya. Tidak memenuhi hak badan akan membuatkannya jatuh sakit dan yang paling buruk ialah mati.

Sadiq Salihoddin

Saya mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia penulisan. Saya telah mengarang empat naskhah buku. Sekarang, saya sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya dalam bidang manuskrip Melayu. Kini, saya juga merupakan atlet amatur gusti lengan kategori paling berat (105kg+).

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: