Bagaimana Hendak Berlatih Seni Bela Diri Seorang Diri di Rumah?

Anda merupakan pesilat? Pengamal Taekwondo? Karate? Muay Thai? Tinju? MMA? Namun, anda tidak mempunyai beg tumbuk di rumah? Anda juga tidak mempunyai teman untuk berlatih bersama? Jangan khuatir, anda tetap boleh berlatih seni bela diri anda seorang diri di rumah!

Kursus Kecergasan 2025

Berlatih seni bela diri seorang diri di rumah memerlukan disiplin, dedikasi dan kreativiti. Tetapi, anda perlu fahami bahawa latihan ini tidak semestinya satu-satunya latihan yang anda lakukan. Anda tetap perlu ke dojo untuk berlatih dengan rakan sparing supaya anda mendapat pengalaman yang lebih menyeluruh tentang seni bela diri itu sendiri.

Sekiranya anda tidak ke dojo, anda tetap boleh berlatih seorang diri di rumah untuk memperkuat mana-mana aspek yang anda lemah. Latihan seorang diri di rumah ada kekuatannya yang tersendiri. Contohnya, memperkemas teknik (biomekanik), koordinasi badan dengan pergerakan seni bela diri, menguatkan otot (latihan kecergasan) dan sebagainya. Mungkin di dojo anda lebih memberi tumpuan kepada teknik berlawan, tetapi kurang tumpuan pada kekuatan fizikal. Jadi, ketika latihan seorang dirilah anda boleh mengisi kelompangan tersebut.

Apa yang ada patut buat?

Pertama: Latih teknik asas

Setiap jenis tumbuk, tendangan dan sebagainya, anda boleh latih setiap satu ini dengan kelajuan yang sederhana untuk memperbaiki teknik anda melakukannya supaya anda dapat melepaskan daya yang paling kuat dan pada masa yang sama mengelakkan kecederaan.

Anda boleh memanfaatkan cermin dan video untuk menyemak teknik anda. Teknik yang salah adalah amat perlu dibaiki. Contohnya, dalam banyak-banyak jenis menumbuk, tumbuk sauk dan silang anda belum kuasai. Anda tidak menggunakan keseluruhan badan sebagai momentum. Anda hanya menggerakan tangan sahaja. Ini adalah salah sama sekali kerana tumbuk silang dan tumbuk sauk itu berbeza dengan jab. Jab hanya menggerakkan tangan kerana antara fungsi jab adalah untuk mengacah lawan.

Jadi, anda perlu sentiasa mendapatkan kaedah yang tepat untuk menumbuk. Anda boleh merujuk video-video di YouTube dan sebagainya. Sekali lagi ditegaskan bahawa teknik yang salah akan menghalang anda daripada melepaskan serangan yang padu kepada lawan. Tambahan pula, teknik yang salah akan mencederakan anda.

Kedua: Tinju bayang atau shadow boxing

Pertempuran yang sebenar tidak akan memberi anda masa untuk berfikir panjang. Maka, setiap serangan atau kombinasi serangan perlu dibiasakan sehingga tidak memerlukan anda berfikir panjang ketika bertempur. Contohnya, bagi pengamal Taekwondo, anda berlatih kombinasi tiga tendangan. Dalam perlawanan sebenar nanti, kombinasi ini akan berlaku secara semula jadi.

Selain daripada menyerang, anda juga perlu berlatih untuk menepis serangan lawan. Bukan semua jenis menepis itu anda akan gunakan ketika bertempur. Jadi, latihlah daya menepis yang betul-betul berguna untuk anda.

Dan juga, anda perlu membayangkan seperti sedang berlawan dengan orang yang sebenar. Anda perlu mengagak serangan apa yang dia akan lepaskan kepada anda. Contohnya, situasi pisau dan parang. Anda perlu berlatih siap-siap bagaimana hendak menepis sekiranya anda berada dalam situasi begitu.

Ketiga: Menguatkan otot

Kekuatan otot ini terbahagi kepada dua: (1) Kekuatan dan (2) ketahanan. Pertama, anda perlu lakukan senaman dengan beban berat badan sendiri seperti tekan tubi, angkat badan, cangkung dan seangkatan dengannya. Ini adalah supaya kecepatan pergerakan seluruh badan anda dapat ditingkatkan. Sebab, otot teras anda akan menjadi semakin kuat dengan senaman-senaman ini.

Benarkah atlet seni bela diri yang besar ototnya merupakan kekurangan/kelemahan ketika bertempur? Ramai orang kata, otot ini tidak penting dalam sukan pertempuran. Ini adalah kerana otot boleh melambatkan kita. Sebenarnya, ada betul dan ada salah kenyataan tersebut.

Memang betul otot yang besar tidak membantu anda menjadi petempur yang hebat, sekiranya kardio anda di tingkat yang sangat lemah. Namun, jikalau anda mempunyai otot yang besar, ditambah pula dengan badan yang cergas, itu merupakan kelebihan yang sangat besar kepada anda. Bayangkan, otot anda kuat dan juga stamina kardio anda tinggi. Ini dapat menumbangkan lawan anda dengan cepat.

Keempat: Rehabilitasi

Selepas anda cedera, bersenam seorang diri di rumah adalah pilihan terbaik untuk rehabilitasi. Mengalakkan pengaliran darah dalam badan dapat menyembuh bahagian otot yang sakit.

Kesimpulan

Berlatih seorang diri di rumah ada kekuatannya. Anda perlu memanfaatkan masa anda di rumah supaya anda dapat memperkemas teknik bertempur. Teknik yang tepat dapat menghasilkan daya yang kuat.

Berikut merupakan artikel lain berkenaan seni bela diri:

  1. Sains di Sebalik Tumbukan 1 Inci oleh Bruce Lee
  2. Hubungan Bench Press dengan Daya Tumbuk
  3. How to Shadowbox

Sadiq Salihoddin

Saya mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia penulisan. Saya telah mengarang empat naskhah buku. Sekarang, saya sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya dalam bidang manuskrip Melayu. Kini, saya juga merupakan atlet amatur gusti lengan kategori paling berat (105kg+).

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: