Benda Yang Paling Mengganggu Semasa Nak Kuruskan Badan

Nak diet, nak kurus, nak kurangkan berat badan sebenarnya susah, tapi tidaklah begitu susah sampai ke tahap mustahil untuk dicapai. Namun, bukanlah terlalu senang kerana jika terlalu senang mesti semua orang dah berjaya lakukannya.

 

Jika anda nak mula membakar lemak, anda kena faham yang anda perlukan ambil tindakan. Anda kena bergerak, anda kena berkerja. Mana boleh duduk diam sahaja, pasang mesin atau alat lilit di perut, tiba-tiba terus jadi kurus. Lagi menarik, sapu-sapu sahaja pun ada yang kata boleh menjadikan anda kurus.

 

Tolak ke tepi benda-benda ini kerana jika anda nak mula membakar lemak dan mengurangkan berat badan menjadi lebih ramping, sihat, seksi, cantik, tampan, anda perlu “berkerja”.

 

Kursus Kecergasan 2021

Musuh Utama Dalam Misi Menguruskan Badan

 

Saya pernah kurus, saya pernah gemuk, saya pernah kurus semula, dan saya pernah gemuk kembali. Saya memahami beberapa kesukaran yang dihadapi semasa ingin menurunkan berat badan. Dah baca belum artikel sebelum ini? Kalau belum, klik di sini.

 

Benda yang menjadikan kita susah untuk turunkan berat badan bukanlah berpunca daripada kemalasan kita (utamanya). Ramai sahaja yang boleh merajinkan diri untuk pergi bersenam, dan ramai juga yang sudah memulakan langkah menjaga makan (banyak kali juga mula). Tetapi, kenapa masih tidak Berjaya lagi turunkan berat badan?

 

Ia bukan masalah wang, ia bukan masalah masa, ia bukan masalah tiada kekuatan untuk bersenam (utamanya). Kekangan paling besar yang menghindarkan kita daripada mencapai sasaran kita adalah ketidakbolehan kita untuk menahan nafsu makan.

 

Saya Sentiasa Lapar

 

Ramai mesti sudah tahu yang untuk menguruskan berat badan, anda wajib menjaga makan. Pemula kepada transformasi anda adalah cara anda makan. Pusinglah macam mana sekali pun, bacalah dekat artikel yang berjuta di dalam carian internet, semuanya akan membawa kembali kepada pemakanan.

 

Apabila and amula berdiet, pada definisinya, anda akan kurang makan benda-benda yang menyebabkan anda menjadi gemuk. Apa makanan yang boleh menyimpan lemak pada badan? Hampir semua makanan, kerana semua makanan mempunyai jumlah kalori tertentu. Anda tak boleh salahkan makanan-makanan spesifik. Bukan jenis makanan yang salah, tetapi anda yang silap mengatur kuantiti.

 

Untuk menguruskan berat badan, anda perlu berada dalam fasa defisit kalori. Badan anda perlu gunakan lemak dalam badan sebagai bahan tenaga dan inilah yang akan “menipiskan” lapisan lemak badan anda. Sudah pasti, anda akan berasa lapar kerana kekurangan kalori.

 

Cuma, anda bukannya perlu menahan makan sampai kebuluran. Itu yang ramai orang lakukan. Biarkan badan kebulur untuk beberapa hari dan apabila badan sudah tak tahan, mereka menyerah kalah kepada makanan-makanan dalam kuantiti yang banyak. Dekat buku mana yang mengajar anda supaya biarkan diri kebulur untuk jadi lebih kurus?

 

 

Anda Tak Perlu Merana

 

Proses untuk kuruskan badan mengambil masa dan anda bukannya sedang berlumba untuk lihat siapa sampai dulu. Sudah berbelas-belas atau berpuluh-puluh tahun anda biarkan badan anda gemuk, kenapa nak kurus dalam sebulan?

 

Disebabkan anda nak laju inilah yang selalu menjadi punca kepada kekalahan dan tidak boleh bertahan lama dengan sebarang diet. Sebaliknya, anda kena cipta strategi untuk anda kawal nafsu makan anda supaya tidak sentiasa berasa lapar. Kalau anda tak lapar, anda tak mencari makanan berlebihan. Ini akan membawa kepada kejayaan dalam jangka masa panjang.

 

Antara tips yang anda boleh amalkan untuk mengawal selera makan:

 

  • Makan lebih banyak sumber protein setiap kali masa makan.
  • Lebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Mulakan dengan meminum segelas air sebelum makan besar.
  • Makan dengan lebih perlahan, kunyah lebih lama.
  • Kurangkan kalori berbentuk cecair (terutamanya minuman manis).
  • Cuba amalkan pengganti gula seperti stevia.
  • Lebihkan tidur
  • Kurangkan berasa stress

 

Saya nak tekankan beberapa tips yang paling banyak membantu saya semasa ingin menurunkan berat badan iaitu melebihkan sayur-sayuran dan juga mula menggunakan pemanis tiruan (contoh boleh klik di sini). Saya juga banyak meminum minuman berkarbonat tetapi kosong kalori kerana ia membantu saya untuk berasa lebih kenyang untuk lebih lama.

 

Tidak lupa juga, tidur apabila anda mula berasa lapar dan tiada kerja. Kalau anda tidur, macam mana nak makan? Tapi, sebelum tidur pastikan semua kerja sudah selesailah. Jika tidak, nanti dikategorikan sebagai pemalas.

 

Paling penting sekali, berasa lapar adalah normal. Tindakan anda selepas anda berasa lapar yang akan menentukan sama ada anda akan berjaya dalam misi anda ataupun tidak. Boleh sahaja nak makan benda-benda yang anda teringin, tapi tak perlulah sampai melahap semua benda.

Aiman Radzi

Aiman Radzi

Penggemar sukan melibatkan kekuatan fizikal, Aiman Radzi kini kembali lagi untuk berkongsi perjalanan dan pendapatnya tentang latihan dengan pembaca semua!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: